BILA PENULIS MENULIS

 

Dialah penulis yang menulis

Dari nuraninya  berbekas kasih

Akalnya disepuh  geliga kebijaksanaan

Jiwanya adalah pengasah budi 

Bertebaran sesempurna akal  menerobos

ke setiap pelosok hati

 

Dari karya tegar dibaca

Jalinan kata itu menjalin jiwa gersang

mencantum kesedaran di luar kotak kesedaran

lalu tertusuk insaf  merenggut keangkuhan dan

pintu taubat terbuka menadah

syukur.

 

Betapa penulis yang menulis ini

adalah jiwa-jiwa   berbakti pada zat kata.

Muntahkanlah seribu aksara dari

akal  yang jernih berbalut embun kebenaran

Bergesel mengikis karat kejahilan

yang  selama ini menghitam kelam kewarasan

pertimbangan.

 

Bila penulis menulis

yang ditulis adalah kebenaran

yang ditulis menyerang kemungkaran

yang ditulis teguh mengusir kealpaan

yang ditulis menaut jiwa

menyayangdi Tuhan-Nya

menyayangi saudaranya.

 

 

 

 

Sempambaru

 


 



AKU, ALAM DAN PERJALANAN HIDUP

 

Ketika rakan taulan bicara indah perjalanan

pelancongan warna warni  mendaki gunung

menuruni lembah  meredah belantara

dan bergayung di lautan dalam pakej murah mahal.

 

Aku masih di sini melayani rutin mengerah kudrat

kerana berhujung minggu   kaku menuntut biaya

sebuah dompet baru di isi note berwarna

nilainya sebuah basihal kayuhan berpasukan.

 

Aku menjadi sangat pasif

untuk dirakam sekeping potret  memerlukan jurugambar

sudut ambil dari tujuh penjuru

untuk satu senyuman menggambar ria.

 

Aku menghadap alam.

Hadap mengadap rindu merindu.

Aku berbisik di angin lalu

dan alam mengolah sejumlah cabaran.

Aku dan alam sesekali adalah

sahabat yang melekakan menyajikan kisah tawa ria.

 

Sesekali antara kita  saling melupa  kerana.

sejarah tidak dicatat dan

peristiwa tidak dirakam.

Perjalanan hidup bukan kenangan

Manis bukan untuk diingat dan

pahitnya bukan untuk dikenyam.

 

Perjalanan  ini menjadi payah.

Kemahuan tidak serentak mengia.

Sesekali bertingkah bertelingkah  sesama sendiri

meski dalam soal remeh

hal makan

hal minum

hal berpakaian

hal berpesatuan

hal berpolitik

 

Izinkan aku di sini

merakam deria dan rasa dalam

catatan yang tidak sudah.

 

 

Sempambaru

Raub


 



PENGIKUT FB

 

Di muka buku ada

yang ingin dikenali mengenali,

yang berkenalan  terkenal. 

Lalu perjalanan maya bersebar jejak

dalam status pelbagai cerita komen mengomen

juga berkongsi-kongsian.

 

Ada status tidak dipeduli,

tiada like,

tiada komen dan

tiada dikongsi.

Gambaran tawar membosan,

hambarnya berhari-hari menjangkau bulan

lalu setiap hantaran tidak menjentik rasa.

 

Semangat melemah untuk berumah di FB.

Ada menyaran untuk terus menerima rakan

Mungkin ada nada sehaluan sefikiran.

Dengan bergagah untuk beramal seni bikinan

status  syahdu mencubit rasa.

Lihatlah Like, komen dan share bersahutan.

Lalu   berbekas di hati berharap

berulang lagikah gemilang status berwibawa.

 

Dalam FB,

rakan taulan ingin melihat normal kehidupan ,

tidak kejam,

tidak kecam,

tidak bungkam.

Yang mengikuti ada rasa dalam jiwa pemerasaan,

ada naluri dan akal pertimbangan waras.

Bacalah   keperluan setiap rakan

untuk menulis setiap luahan

dalam status keramat.

 

 

SEMPAMBARU

10 July 2024


 



ANAK BAPA DAN  LAGU RINDU

Anak bapa

Yang rindu itu adalah perasaan tidak disi
dari sekeping hati

yang longkah tidak bersalut sejuk dan sepi

seperti azan keimanan tidak berkumandang.

Anak bapa

Yang rindu itu adalah mata   tidak menembus,
kabur melihat dada-dada hidayah
dihambar resah jiwa yang
berkelana dari lembah ke lembah

Ibarat penyair mensyair apa yang tidak dia tahu

tidak dia rasa,

tidak dia meruju pada Sang Pencipta.

Ibarat jua seperti helaian Al-Quran

tidak disimpan dalam jiwa

terlerai di sisi raga.

Anak Bapa

Yang rindu itu adalah pertemuan yang masih ditangguh,
Oleh usia yang sedang dipinjam
tidak pasti akan tarikh dan waktu
izrael menggamit menjemput hormat

ke sisi Tuhan.

 

Anak bapa

Lagu rindu yang sudah didendang
liriknya dari lubuk hati bapa yang berbisik
Iramanya digubah dari lenturan getaran muzik takwa
dari kesedaran  fikir ingin menyentuh cinta Ilahi 

dari keinginan rindu seorang hamba.

Dengarlah alunan jiwa bapa,

mesej lagu terhunjam jauh ke tasik kalbu
lalu membentuk jiwa takwa
menebar makruf  ke jiwamu,

menebar jihad ke  serata alam

 

 

Sempambaru

Raub


 


DINIHARI KUHIJRAH DIRI

 

Dinihari sepi sunyi ini,

Terlonta diri membebaskan diri

Bangun mengadap Ilahi

Dahi bersujud menyentuh bumi.

Lidah basah oleh tasbih, tahmid dan takbir

Mohon kasihan Tuhan

 

Allah berfirman: Hai jiwa yang tenang.

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan

hati yang puas lagi diredhai-Nya.

Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku

dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.

Al-Fajr: 27-30

 

Di dalam sujud ini

Sedu-sedan tangis keharuan

Teringat dosa diheret sepanjang liku-liku penghidupan

Terimalah aku Ya Allah

Bersimpuh di bawah duli kebesaran-Mu

 

Dinihari ini aku bersujud

mengadu dan menangis mengenang hayat

yang masih ada diselaputi dosa-dosa

yang tiada kesudahan tiada tamat.

Apakah aku sudah alpa akan janji.

atau leka ria akan terus meratah dunia indah ini.

Dari belahan hati terdampar

kepastian dari tuturan Muhammad Rasul-Mu

“Ampunan Allah lebih besar dari kesalahan insan”

Tangisku meninggi , kesal sebak menahan rasa

Di dinihari ini,

Mohon aku redha Allah,

Mohon aku syafaat Muhammad

Lentur hidupku ke jalan kebenaran..

 

Duhai Allah yang maha berkuasa.

Duhai Allah yang memberi sakinah.

Duhai Allah yang memberi Maghfirah .

Sujudku dinihari ini untuk mencintai-Mu.

Mengukir jalan hijrah diri.

 

 

Sempambaru

Raub


 



MERINDUIMU


Pinjamkan aku secebis rindu

yang mampu mengasyik

fikirku mengingatimu  

kerana merinduimu menjadikan aku

seteguh kasyani disepuh.


Pinjamkan aku  selembar rasa

Untuk kukecap pedihnya rindu

Yang selama ini menanar jiwaku

mengingati segumpal kenangan

yang melukakan kulit jiwaku.


Sentuhkanlah rindu itu  untuk

mengusik pintu rasaku

untuk aku mengenal erti

satu kehilangan yang menyamping

datang dan pergi

 pada waktu bunga rindu tidak berputik.


Merindumu adalah nikmat menyapa

yang bergeseran di dinding kalbu.

Berkapuk  di dalam makrifat

yang menguat dan melemah secebis

iman yang tunduk menunduk

seberkas  nafsu  yang terlonta.


Apakah tidak cukup dalam merinduimu  

membisikkan rindu di angin lalu.

Atau menghirup sayu yang masih bersisa

di batas kehidupan.


Sempambaru

Raub

 




BERIKAN AKU SEBUTIR BUMI

Kiranya bumi ini ada kembarnya
Golekkan aku kembar itu untuk
kularik secebis impian yang
tona warnanya memekat lembut membasahi
Kehijauian pemikiranmu

Seketika di lerengan gondolan ini mengingatkan aku
pasir dan tanah sering bersengketa dan
alur yang jernih airnya merajuk lalu terjun ke perut bumi.
Deburan ombak tidak berbisik ke birai pantai
dan pelancong tidak berdiri lagi di situ memetik
picu sebuah kamera yang rabak kantanya
yang dulu sangat megah menghasilkan sebuah anugerah.


Hadirlah wahai hati untuk bercerita
Kisah lembutnya belaian bayu atau
basahnya lembah ketika pejur
atau siulan tiung mematuk dada pokok
yang semakin kehilangan daunnya.
Anak-anak sudah kehilangan petua
Sedang sang berkuasa masih melangir bumimu
dengan seberkas serakah nafsu

Bumi
Kembalikan kembarmu pada sejarah asalnya.

 

 

Hasanuddin Md Isa

Sempambaru. Raub


 


Catatan  dari Sahabat

 

Terima kasih sahabat.

Terima kasih membongkar

segala rahasia terungkai di dada.

Terima kasih memberi ruang

mengenal dikenal nilai diri.

Terima kasih atas penerimaan penolakan

Pada permintaan hajat tidak seberapa.

.

Hidup itu berjalan dari detik ke detik

mengumpan pengalaman duka suka.

Detik waktu itu adalah kenangan

padat peristiwa menyenak lengkungan memori

setiap detik masih menagih bahagia di sebalik derita.   

 

Sesekali menolehlah ke belakang

terlihat segala cacat bertapuk

di lembaran sejarah ramai mencatat gagal jaya.

Betapa sejarah hidup ini tidak sempurna

mencipta kesaktian usah diimpi sehari dua.

 

Sesekali mahu saja mengusir segala kenangan

nilainya berpaut pada fikir yang masih benar.

Ada berasa hampa   oleh

catatan dilempar tidak dapat merubah zaman.

Ada berasa bangga oleh kecil jiwa lantaran

pujian bukan penggalak hakiki

dan celaan bukan pendera memati.



Sempam baru

Raub

 


 


SALAM UNTUK ALAM

 

Dinihari tadi sembah sujud ke hadrat Ilahi.

Ada petunjuk ingin direbut. 

Dingin alam memujuk hati

berdamai dengan bara yang

membakar di dada.

 

Assalamualaikum Ya Nabiyullah s.a.w.,

para sahabat,

tabien,

tabi'  tabien dan

 ulama Mujaddid setiap abad.

 

Assalamualaikum buat sekelian ulama' akhirat pejuang agama,

Pak Kiyai,

Pak Lebai,

Ustaz-ustaz, 

Ustazah-ustazah,

cendekiawan,

Chegu-chekgu

pecinta kebenaran.

 

Assalamualaikum untuk

sekelian muslimin muslimat baik

yang masih hidup

mau jua yang sudah mengadap Ilahi.

 

Assalamualaikum untuk ibu bapa,

anak isteri,

anak angkat,

adik angkat,

sepupu sepakat,

sejalur Silah waris warah.

 

Assalamualaikum buat sekelian kenalan,

rakan FB,

rakan tweet dan

rakan sekelian group whatsapp.

 

Assalamualaikum buat alam tumbuhan,

 tanah gunung,

tanah pamah,

tanah bencah,

api memanas,

air mendingin dan

 hidupan unggas terlata-lata.

Di puncak gunung ini

pandangan menerobos ke alam malakut,

ke alam lahut tembus

ke maghrifat diri akan kedudukan

hina diri di sisi Tuhan.

 

Sejatinya hidup pada bahagia

adalah bergelumang hidup bermasyarakat.

Hidup menyendiri   sangat merugi.

Perintah Allah

Hablumminallah

Hablumminanass

 

“ Hubungkanlah tali kecintaan kepada Allah

Lalu berkasih-sayang dengan sesama manusia,

saling mengingatkan   dan menjunjung tinggi yang benar,

Saling memperingatkan pula mana yang salah,

agar yang salah itu sama-sama dijauhi.”

 – HAMKA (Tafsir al-Azhar)


 



PANCARAN HIKMAH

 

Kiranya yang terbit daripada

hati bapa adalah cinta dan mendalam   sayang kasih.

Bapa menjadikan dirinya mercu semangat

mengukuh untuk anak berjuang mengukir jaya.

 

Sesekali bapa memandang,

ada ihsan memikat memancar hikmah kehidupan.

Bapa menghulurkan kedua tangan

terpenuh hikmah untuk disuap

ke dada anak-anak kosong lompang ilmu dan

pengalaman.

Dengan menyentuh ubun-ubun kepala,

anak-anak terasa belai manja,

asuhan dan

tertib aturan hidup.

 

Dengan mengadah wajah,

tangan bapa diangkat memohon terpenuh

berkat rezeki untuk diri dan seisi keluarga.

Anak-anak mengamin sekelian doa dan

turut berdoa demi kesejahteraan bapa berbaca

mustajab sekelian doa

ALLAHUMAGHFIRRLI WALIWALIDAYYA

(Ya Allah, ampuniku dan ampuni kedua orang tuaku)

 

Ada hikmah ingin menumpah

tersimpan di hati bapa genap bulan

genap tahun.

Bapa menatap wajah setiap anak.

Setiap satunya   dititip permata hikmah

mengikut mampu dan  asa upaya

Hiduplah anak pada jalan-jalan

Taqwa.

 

 

SEMPAM BARU

RAUB 2024


 


ISI HATI


Tidak mudah untuk mengenali,

tidak mudah untuk bersapaan,

jua tidak mudah menabur janji

pada sesosok tidak dikenali ISI HATI. 

Yang tampak pada raut wajah 

adalah kulit kasar bertempelan adunan pelembab, 

lalu calitan wangian cuba mengusir satu perasangka 

akan keberadaan BAIK 

di pertimbangkan akal ingin diwaraskan.


Dalam menilai ISI HATI

Ada kebaikan yang dipuji

Ada kejahatan disembunyi

Ada teguran yang ditunda

kerana ISI HATI akan tampil 

akan melebar ke raut wajah 

dalam duka, 

dalam suka, 

dalam tawa,

dalam tangis, 

dalam diam 

dan 

dalam kata yang memengkis. 


ISI HATIKU

Aku mengikhlas untukmu

ISI HATI KAU

Aku minta Allah jalurkan di garis lurus

Kerana ISI HATI itu

Ada disebut dalam kitab panduan...

AL QURAN

"Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) 

yang terkandung di dalam dada." 

(Surah Al-Mulk : Ayat 13)




Sempambaru

2024

 



PILIH RAYA SUNGAI BACK UP


Tiba-tiba ada pilih raya lagi

Katanya kecil tidak sebesar dulu

Bersabit mati Tok Wakil yang tidak

meninggalkan wasiat waris 

mendakap PESAKA 


Kempen untuk undi pilih raya Sungai BACK UP

Kata

Berkata

Kata berkata

Berkata-kata

Terkata-kata

Mengata-ngata


Kempen lagi

Mengata-ngata

Berkata-kata

Terkata

Kata-mengata


Kempen-kempen lagi

Terkata

Dikata

Kata mengata

Mengata mengata

Kata untuk undi

Berkata untuk undi

Terkata untuk undi

Dikata untuk undi

Mengata untuk undi


Entah berapa dosa

Entah berapa pahala

Catatan Raqib Sang Malaikat catat data

bersiaplah di pertimbangan Masyhar.

 


ISI HATI

 

Tidak mudah untuk mengenali,

tidak mudah untuk bersapaan,

jua tidak mudah menabur janji

pada sesosok tidak dikenali ISI HATI.

Yang tampak pada raut wajah

adalah kulit kasar bertempelan adunan pelembab,

lalu calitan wangian cuba mengusir satu perasangka

akan keberadaan BAIK

di pertimbangkan akal ingin diwaraskan.

 

Dalam menilai ISI HATI

Ada kebaikan yang dipuji

Ada kejahatan disembunyi

Ada teguran yang ditunda

kerana ISI HATI akan tampil

akan melebar ke raut wajah

dalam duka,

dalam suka,

dalam tawa,

dalam tangis,

dalam diam

dan

dalam kata yang memengkis.

 

ISI HATIKU

Aku mengikhlas untukmu

ISI HATI KAU

Aku minta Allah jalurkan di garis lurus

Kerana ISI HATI itu

Ada disebut dalam kitab panduan...

AL QURAN

"Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati)

yang terkandung di dalam dada."

(Surah Al-Mulk : Ayat 13)



 

 

Sempambaru

Raub


 



PEDIH  DILUKAI

 

Bagai pendeta yang tersisih,

betapa di puncak gunung ini jemari menjahit

carit-carit rasa yang bercalar

diguris onak duri perjalanan hidup.

 

Ketika menghirup debu awan,

alam bersenandung merai hadir.

Ada unggas berbisik.

Ada tumbuhan melambai dan bayu   

menjilat carit-carit luka pedih membungkus

imbauan gumpalan kecewa.

 

Biarkan aku di sini.

Biarkan kugenggam resah di daerah rasa.

Hidup di wilayah gunungan membenih ilham.

menzahir waras fikir bernas membiak  lalu

menyimpul rumus untuk memecah buntu

sejarah jumud membisu menyendiri.  

 

Selamat datang cebisan cinta

Parutnya mencacat  dijahit angin rindu lalu

sekuntum senyum dipaksa untuk menceria

sebuah kemaafan dalam doktrin sabar.

Dengan hati  mula mampu mengunyah takdir

Sebuah tugu keinsafan memacak

erti kasih itu satu perkongsian

untuk yang ingin hidup cekal tabah.


 



DENAI RASA


Untuk sekian kali

 aku lagi datang untuk

 mengusap segar manjaan.

Rumpun hijau dan bukit bukau menyapa.

Mengapa rajuk itu

memanjang melintas musim.

 

Sebenarnya perjalanan itu melelahkan.

Liku jalan runcing rencam

mengacau mimpi episod dulu.

Betapa  gemalai lembut bayu gunung membelai tubuh.

Ada rindu menebal

 bercantum dalam kolam rasa sendu rindu.

 

Marilah ke sini.

Ada sesuap cinta

pada segar pandangan menghidang.

Secawan teh dan juadah manisan menemani bual

yang tertangguh itu selesaikan.

Keriuhan di sebuah cafe berbeda ria

berbanding pasar ikan

tepi Pelabuhan sepi sunyi.

 

 

Di Cameron Valley Yes

16 August 2023


 



BAPA TERUS MELANGKAH


Bapa masih di sisimu di  fana alam ini. 

Bapa di sini membilang bakti belum tertunai,

 belum secubit beras dapat ditamsilkan.  

Sedang usia  bapa merangkak 

tidak berjanji di mana penghujung. 


Lihatlah

 bapa melangkah lagi menabur  bakti benih 

di kebunan subur dan gersang kontang.

 Lihat sejauhnya dalam firasatmu akan 

tuju arah bapa mendada. 


Lihat dan  berdoalah. 

Lihat ayunan   langkah bapa 

kejap memasak bumi. 

Bapa ingin terus mengatur langkah ke destinasi amalan.  

Kelak di titik itu ,

bapa pasti melambai tangan mengisyarat penghujung perjalanan . 

Waktu itu bapa dan kau diingati kebaikannya 

oleh sekelian pencinta yang mencinta.


Demikian diharap bergema di lubuk rasa 


Kau mencintai Allah, manusia mengasihimu.

 

Doa Para Sahabat 


Kukirim doa di angin lalu

untukmu

untuk sekeping hati

untuk satu jiwa 

yang saling berdamping rasa menjiwai.


Sahabat,

Aku sudah berada jauh di tepi langit lambai melambai memandang pada jarak waktu terpisah. Kau tentu terlihat telunjuk hatiku mengisyarat SATU 




Doakan untukku sahabat

adalah itu  permintaan sesuci hati,

adalah juga bayangan  tautan tangan mengamin permintaan.


Kali ini aku kesungguhan berdoa agar tabahmu sekeras kasyani besi kuning.  Ada doamu terjerlus bergelumang dalam rasa menyebak di jiwaku.


Sahabat,

Jangan sampai tertundanya kurnia Tuhan kepadamu, setelah kau mengulang-ulang doamu belum dikabul. 

lalu itu membuatmu putus asa. 

karena Dia menjamin pengabulan doa sesuai pilihan-Nya, 

bukan sesuai pilihanmu.

kerana Dia menjamin tepat waktu pada waktu yang diinginkan-Nya, 

bukan pada waktu yang kau inginkan.

Bergembiralah kau kerana hidupmu senantiasa dalam prihatin ihsan Tuhan.


Sahabat

Ada doaku untukmu dan yakin aku,

ada doamu untukku.

Amin mengamin

Mengamin amin

 10 SOALAN BERITA HARIAN

Seperti yang dimaklumkan tadi, saya ingin menjemput tuan menjadi tetamu kolum Nuansa Pengarang di BH yang disiarkan setiap selasa.

 

Berikut adalah soalan berkaitan;

 

1) Apakah yang mendorong tuan untuk menulis?

 

                Bidang penulisan adalah bidang penyebaran ilmu dan maklumat.  Itulah tarikannya.   Saya sebagai guru rasanya tidak cukup menyampaikan ilmu dan maklumat itu cuma di medan bilik darjah sahaja.  Alangkah eloknya segala perolehan ilmu  dikongsikan dengan seramai mungkin khalayak masyarakat .

 

2) Umumnya, apakah yang mencetuskan karya, pembacaan, pengalaman atau isu lain?

 

            Seorang pengarang akan mengarang karyanya untuk bacaan masyarakat; untuk karya itu itu dapat dikutip ilmu dan teladannya.   Untuk itu, segala potensi yang dimiliki pengarang mesti digembeling untuk mengelokkan rupa bentuk pengarangan yang hendak disampaikan.   Dengan itu, segala perolehan ilmu baik sedia ada atau melalui kajian terbaharu serta kesan amalan daripada perolehan ilmu diadun dalam wacana yang dikarang.

            Pengarang tidak boleh menyembunyikan pengakuannya bahawa apa yang ditulis itu sebahagian atau sedikit daripada pengalamannya.  Bagaimana dapat pengarang menghantar bahasa yang indah dalam karyanya jika apa yang ditulis itu tidak benar-benar difaham, dihadam,   dirasa  dan diamalkannya?   Dengan kata lain, isi karya itu itu bercampur baur juga dengan segala pengalaman, perolehan ilmu dan daya kekreativiti pengarang mengolah karyanya.

 

3) Kalau ada siapa yang banyak mempengaruhi kepengarangan tuan?

 

            Seorang penulis yang ingin berjaya dalam bidang penulisan perlu mempunyai keazaman yang tinggi,  penyelidikan bebas yang berkesan, ketajaman dalam pengolahan bahasa dan kerja yang berterusan.  Itu memang milik penulis.  Namun faktor di luar diri penulis seperti dorongan keluarga, rakan-rakan sepenulisan , rakan-rakan alam maya  dan minat masyarakat  memberi  peratus  pengaruh mendorong penulis  untuk berkarya.  Jadi memberi item tertentu secara rijid  dalam nilai peratus  sebagai faktor dominan pendorong kerja penulisan seorang penulis tidak dapat dikeluarkan dengan tepat.  Apa pun dalam setiap situasi  kerja penulisan itu, ucapan terima kasih disampaikan kepda semua yang mendorong saya menulis.  Allah jua yang membalasnya atas sekelian semangat yang dikongsikan dan doa yang dipanjat ke hadrat Ilahi  mendoa kesejahteraan saya.

 

 

4) Tuan selalu tampil dengan persoalan serius dalam karya, yang membabitkan persoalan nasionalisme dan jati diri mungkin tuan ada ulasan untuknya?

 



            Seorang penulis karya kreatif bukan menulis untuk menghiburkan pembaca semata-mata.  Ada mesej  dan pengajaran yang hendak disemat ke hati pembaca.  Untuk itu, saya fikir aliran pemikiran pembaca itu perlu dicabar.  Bahan yang disajikan mesti menggugah pendiriannya.  Persoalan yang dilontar perlu berjejak di hati pembaca  untuk pembaca mempertimbangkan  satu pendirian baru dalam kehidupan. Isi cerita  adalah pengkongsian jiwa pengarang dan pembaca.  Di situlah ada penghayatan pembaca  terhadap isi karya.  Pembaca berasa dia dan karya itu  ada kesinambungan rasa.   

            Lalu sejumlah karya seperti Mereka Yang Tertewas  (DBP 1990),  Halangan dan Rintangan (DBP 1991) ,  Sentuhan (Creative Enterprise – 1996)  Al-Abrar (Creative Enterprise Sdn. Bhd), Bidak-Bidak Di Papan Perjuangan  (Ilham Baru – 2010) Cebisan Mantera Terakhir (ITBM 2012), Sarjana Bangsa (ITBM 2015), Hijrah Diri (ITBM 2015)  dan lain-lain karya dihasilkan

 

 

5) Siapa pengarang yang tuan kagumi, jika ada

 

            Saya kagum  pada Hamka.  Karyanya sarat dengan ilmu dan pengajaran.  Penceritaannya  meluncur dari satu episode ke satu episode  ibarat air mengalir  tidak berhenti-henti; demikian inti pengajaran daripada tulisan beliau itu terus terjerlus ke kalbu, timpa-menimpa menerbitkan keinsafan  dan kewaspadaan.

            Pengarangan Anwar Ridhwan menimbulkan kekaguman dengan permainan bahasa yang tidak ‘ klise ‘.  Saya fikir itu kekuatan yang patut dicontoh  oleh penulis-penulis lain.

 

 

6) Bilakah tuan menulis? Pagi, petang atau malam?

 

            Bagi seorang penulis, masa itu anugerah terbaik untuk dimanfaatkan.  Dengan itu juga setiap masa adalah sama bagi seorang penulis.  Namun dalam menulis karya yang keras jua sarat  tema dan persoalannya,  masa yang cukup tenang itu diperlukan.   Jadi bila masa yang tenang itu?  Masa tenang semula jadi ada   apabila semua manusia dan unggas beristirahat.  Masa tenang itu juga boleh diperoleh apabila pengarang melarikan dirinya daripada bersibuk-sibuk dengan   persendirian, urusan keluarga dan masyarakatnya.  

 

            Selain itu penulis menulis bukan ditentukan oleh faktor masa sahaja.  Faktor lain seperti  ketenangan fikir,  tubuh yang sihat, jiwa yang membara berkarya  dan perolehan ilham berterusan  mengasak penulis  berkarya.  Tentu sekali urusan  membariskan setiap kata itu memerlukan ketenangan dalam dan luar diri penulis.   Maka ketenangan di luar diri penulis itu sahaja yang selalu diperhatikan oleh manusia.

 

7) Adakah tuan menulis secara tetap, berjadual, dalam bilik khas atau boleh menulis di mana-mana sahaja.

 

            Seoran penulis yang konsisten dalam dunia pengarangan  perlu menjadualkan kerja penulisannya.  Dia perlu menulis dan terus menulis  tanpa  mengira masa dan tempat  dan tanpa  perlu memikir akan kesusahan  hilangnya idea  dan kesinambungan berkarya.  Setiap yang dipandang, dilihat, didengar, dirasa dan ditaakul adalah bahan terbaik yang patut dirakamkan.  Jadi pemikiran mencapah itu perlu untuk mendapatkan sebanyak mungkin perolehan bahan.  Apa pun istilah ‘ pemeraman’  yang dipopularkan bagi mendidik penulis baru itu  adalah baik juga di peringkat awal.  Namun bagi penulis, ‘ pemeraman’ itu akan merosakkan  jiwanya jika tempoh  ‘ pemeraman itu terlalu lama.

 

            Walaupun begitu, selepas penggunakan teknologi perkomputeran diperkenalkan  dan akses internat bertambah pantas; patutnya proses ‘ pemeraman’ itu berlaku singkat.  Penulis boleh mencari bahan melalui akses internet dalam dunia tanpa sempadan ini.   Namun begitu, bagi melancarkan  kerja penulisan, penulis perlu  ada pekakasan Note Book  ATAU  LapTop yang boleh dibawa ke sana ke mari.  Ini penting untuk merakamkan segala maklumat dalam fail  ‘ pemeraman ‘.

            Selain itu, melalui penggunaan  pekakasan  IT ini,  penulis dapat  mengumpulkan  genre tulisannya  dalam bentuk fail khusus  seperti i. Karya dalam perancangan   ii. Karya dalam penyelidikan  iii. Karya yang sedang ditulis   iv. Karya yang ditangguhkan penulisan    v. Karya yang siap dan belum disemak   vi. Karya yang sudah siap dan bersedia dihanatr ke penerbitan.  Vii.  Karya yang sudah dihantar ke penerbitan.

 

 

8) mungkin tuan ada ritual tersendiri sebelum/semasa menulis misalnya sukakan muzik dipasang, atau suka bersunyi-sunyian?

 

            Sebagai penulis yang menggarapkan unsur  Islami dalam karya, maka ritual ibadah yang dianjurkan oleh Islam itu satu asset dalam terapi diri.  Maka hendak diceritakan satu persatu boleh dianggap riak oleh pembaca.  Tidak menceritakan ritual yang dilakukan menutup ruang dakwah kepada  manusia.

            Apa pun sebagai seorang muslim, beristighfar itu itu kunci kepada keinginan mendampingi Pencipta.  Dan segala zikir  yang ma’thur  diamalkan berterusan menundukkan diri mahkluk kepada Pencipta. Maka mengerjakan segala kefarduan ibadah itu menenangkan hati manusia.  

            Dalam berhubung dengan manusia, amalan amar makruf dan nahi munkar berjalan seiring dengan  kerja-kerja  pengkaryaan.  Tidak ada rasa serba-salah  tidak menyampaikan apa yang hak disampaikan.  Namun bagi pengarang kreatif, pemakaian bahasa beralas, berkias dan kelunakan gaya bahasa adalah kebijaksanaan untuk mengajak kepada kebaikan dan menegur  hal-hal kemungkaran.

 

9) Biasanya berapa masa yang tuan ambil untuk menghasilkan karya bermula dengan proses memeram idea.

 

Tempoh masa penghasilan sesuatu karya  bergantung kepada tema dan persoalan yang hendak ditampilkan kepada pembaca.  Bagi tema yang ringan berkisar dari segi mengeratkan silaturahim sesama manusia; masa yang digunakan tidaklah lama. Bagitu juga bagi karya yang tidak memerlukan plot yang rumit, jalinan ceritanya dapat ditulis dengan pantas.  Maka masa yang diambil juga singkat.  Sebagai contohnya sewaktu penghasilan  novel  GENERASI  (Creative Enterprise 1994).  Oleh kerana novel ini cuma menceritakan kehidupan  biasa belia-belia di  Pulau Tanggul, Terengganu. Pengarang cuma pergi sekali ke sana, melihat kehidupan belia yang mencari arah kehidupan lalu sepulangnya terus menulis karya kreatif setebal 240 halaman. Karya itu Cuma memakan waktu 24 hari sahaja penulisannya.

            Namun menghasilkan karya berat seperti MEREKA YANG TERTEWAS, AL ABRAR, SENTUHAN, CEBISAN MANTERA TERAKHIR , SARJANA BANGSA, HIJRAH DIRI; kerja penyelidikan memakan waktu bertahun-tahun, kerja penulisan tersangkut-sangkut oleh kekurangan sumber ilmiah dan perbandingan.  Namun Alhamdulillah, kegigihan itu menghantar pengarang  ke nokhtah akhir penulisan.  Dengan kata lain, bagi karya yang memuatkan tema berat, penjanglah tempoh penyelidikan dan panjang juga tempoh penulisannya.

 

10) Karya yang manakah tuan fikir paling susah/lama untuk dihasilkan dan yang mana pula mudah disiapkan.

 

Semua karya yang saya hasilkan  saya fikir susah juga hendak disiapkan.  Setiap satu karya itu membawa tema, persoalan dan penceritaan yang berlainan.  Maka menulis setiap karya yang berbeza itu memerlukan penyelidikan  yang panjang juga.
































Dari segi tempoh masa  menyiapkan sesuatu karya itu, tentulah ramai berpendapat karya yang nipis itu cepat disiapkan.  Karya remaja lebih cepat disiapkan berbanding karya untuk golongan dewasa.  Itu pendapat umum.  Dalam praktikalnya ada karya remaja dan nipis yang saya hasilkan memakan masa lama juga.  Contohnya novel MISTERI KOTA GELANGGI  terbitan Ilham Baru- Kuala Lumpur 2010.  Kisah di dalamnya cuma kisah pengembaraan sekumpulan remaja ke Gua Kota Gelanggi.  Semasa berkhemah di kawasan gua tersebut, mereka terserempak dengan sekumpulan penjahat yang memproses dadah.  Lalu  mereka diperangkap  dan kemudiannya dapat melepas diri dengan bantuan orang kampung.  Dari segi penceritaannya mudah, tetapi  penulis novel terpaksa berkali-kali memanjat kompleks Gua Kota Gelanggi itu untuk melihat secara dekat pelataran tempat.  Terpaksa juga mencari kisah silam Gua Gelanggi itu untuk dipaparkan kepada pembaca.

Telahan lagi sewaktu menulis karya SARJANA BANGSA yang sarat dengan perbahasan falsafah dan pemikiran moden, cabaran semasa dan cadangan penambahbaikan masyarakat.  Penulisan karya kreatif berunsur ilmiah ini bukan setakat sukar dari segi kerja penyelidikannya, malah sukar juga dalam menyusun plot dan pengolahan bahasanya.  Namun begitu, penulis yang inginkan pemikirannya ditatap oleh masyarakat mesti berusaha merungkai segala kesukaran yang dihadapainya dengan cukup tabah.