Sealam-alam Mukim Sega
sebelum 1856M, telah wujud
penduduk berbagai-bagai etnik. Ada etnik
rawa, banjar, kampar, mandailing, Melayu
Pahang dan entik lain hidup bercampur-gaul bermasyarakat. Akan Penghulu Sega diberikan arahan kepada semua penduduk di mukim itu mengamalkan
adat istiadat yang sudah berjalan di
Sega. Akan adat istiadat itu sudah
terpakai di negeri Pahang sekian lama.
Dalam kehidupan bermasyarakat, jalinan maufakat sentiasa diutamakan. Bidalan Melayu ada menyebut ,
" Kalah adat kerana maufaka.". Ini bermaksud, walaupun sudah difahami
dalam satu-satu bangsa itu ada peraturan atau adat tertentu untuk menguruskan
sesuatu hal, tetapi jika pada masa itu, semua ahli masyarakat bermuafakat hendak
melaksanakan urusan tersebut dengan cara berbeza dengan apa yang biasa dibuat,
maka pada waktu itu, tidak diperlukan aturan dan adat istiadat tersebut. Dengan
ini, muafakat adalah keperluan sosial yang amat dititikbengikkan.
Namun begitu bagi menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dalam banyak urusan
kehidupan, adat istiadat digunakan juga. Ini bertujuan untuk memudahkan
perjalanan kehidupan. Bidalan Melayu menyebut perihal ini seperti berikut:
Alam beraja, mukim berpenghulu, kampong berketua. Adat itu berhukum.
Orang-orang Melayu hidup mengamalkan adat istiadat sejak wujudkannya tamadun
orang-orang Melayu di Nusantara Melayu ini. Apabila Islam datang ke alam
Melayu, segala adat istiadat Melayu disesuaikan dengan ajaran Islam. Berhubung
hal ini, pantun Melayu ada menyebut;
Kalau jagung kulitnya putih
Tidak berbunga masa berbuah
Di laut Temenggung di darat Pepatih
Adat berpunca kitab Allah
Untuk
mengembangbiakkan keturunan, proses perkahwinan dipandang sangat suci. Untuk itu segala proses ke arah mengahwinkan
pasangan lelaki dan perempuan dihalusi agar keharmonian hidup dapat dicapai. Demikian sealam-alam mukim Sega itu menjalankan istiadat yang sama.
Proses ke arah pertunangan dimulakan
dengan berbisik-bisik. Ada juga yang
tidak melalui proses ini iaitu pihak keluarga menikahkan sesuatu pasangan
secara paksa. Ini dibuat bagi tujuan
merapatkan tali keluarga yang semakin jauh .
Proses Berbisik-bisik
Apabila seseorang lelaki dan seseorang perempuan sudah sampai ke tahap boleh
berumahtangga, maka antara keduanya mula berkenal-kenalan dan sudah mulai
bercita-cita untuk mendirikan rumahtangga. Dalam kehidupan seharian, sudah
pasti proses bertanya khabar atau berbisik-bisik dibuat untuk mengetahui status
diri masing-masing sama ada masih bujang atau pun sudah berpunya. Jika dalam
proses berbisik-bisik ini, antara mereka bersependapat ingin mendirikan
rumahtangga, maka pihak lelaki akan memaklumkan kepada keluarganya untuk
merisik ke pihak keluarga perempuan.
Proses merisik
Proses merisik ialah satu kaedah iaitu keluarga lelaki menghantar wakil untuk
berbincang dengan keluarga perempuan. Wakil kedua pihak biasanya ialah ibu bapa
atau seseorang yang sangat dipercayai boleh menyimpan rahsia. Pertemuan
diadakan di rumah keluarga perempuan dan semasa pertemuan diadakan, pihak
lelaki membawa sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda.
Laksamana berbaju besi,
Masuk ke hutan melanda-landa;
Hidup berdiri dengan saksi,
Adat berdiri dengan tanda.
Sekiranya cincin itu tidak dibawa, maka semasa majlis pertunangan dijalankan
nanti, pihak lelaki hendaklah membawa 2 bentuk cincin iaitu cincin belah rotan
dan cincin bertunang.
Tujuan merisik adalah bagi mendapatkan kemungkinan untuk menjalinkan hubungan
keluarga atau menjalinkan ikatan perkahwinan dengan pihak keluarga yang
dirisik. Jika risikan berjaya, pertunangan boleh dijalankan namun sebaliknya
jika perempuan yang dirisik itu berpunya, maka hasrat tersebut terpaksa dibatalkan.
Dengan sebab itu, tujuan merisik boleh mengelakkan daripada meminang orang yang
telah berpunya sesuai dengan ajaran Islam.
Perkara yang dibincangkan dalam proses merisik ini ialah mengenalpasti status
anak pihak perempuan sama ada masih berpunya atau pun tidak. Jika masih belum
berpunya, pihak lelaki akan menyatakan hasrat untuk meminang anak
gadis/perempuan tersebut.
Sekiranya pihak perempuan berasa curiga atas keterangan pihak lelaki atau ingin
menangguhkan persetujuan menerima masuk peminangan, pihak perempuan boleh
meminta tempoh tertentu sebelum memutuskan jawapan setuju hendak menunangkan
anak perempuannya atau pun tidak. Sekiranya sehingga habis tempoh itu, pihak
lelaki tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak perempuan, ini bermakna
pihak perempuan bersetuju untuk menunangkan anak perempuan mereka dengan anak
lelaki pihak lelaki. Tetapi jika dalam tempoh diberikan oleh pihak perempuan
itu, pihak perempuan menziarahi pihak lelaki dan menyatakan tidak bersedia
menunangkan anak perempuan mereka, maka majlis peminangan dibatalkan. Selain itu, pihak perempuan mesti memulangkan cincin belah rotan kepada
keluarga lelaki.
Melalui proses merisik ini, sekiranya pihak perempuan berpuas hati dan
bersetuju atas semua keterangan semasa perbincangan, pihak perempuan boleh
menyatakan persetujuan terus untuk menunangkan anak perempuan mereka dan
seterusnya menerima cincin belah rotan sebagai tanda jadinya pertunangan yang
bakal dilaksanakan itu.
Semasa majlis merisik ini juga disebut soal langkah bendul. Ini berlaku
sekiranya anak gadis keluarga perempuan yang hendak dipinang itu mempunyai
kakak, maka pihak lelaki wajar menyediakan sedikit hadiah berupa sepersalinan
baju kepada si kakak bagi menghiburkan hati kakaknya. Ini menggambarkan
kehalusan budi orang Melayu dalam menjaga hati kakak dan merupakan amat penting
menjaga kerukunan di dalam keluarga.
Sesudah kampung-kampung dibuka dalam kawasan
diselia oleh Penghulu Sega, bermacam-macam adat istiadat berbeza wujud di
antara kampung-kampung. Ini disebabkan
kehadiran orang-orang dari Sumatera mempunyai adat istiadat yang berbeza. Dalam hal ini, orang tua-tua dalam kawasan
seliaan Penghulu Sega itu berpandangan perlu ada penyelarasan terhadap adat
istiadat bermasyarakat supaya kerukunan bermasyarakat itu dapat dijaga.
Asas berperaturan untuk membina rukun bermasyarakat itu dikukuhkan
dengan termeterai peraturan
pertunangan dalam wilayah penguasaan
Penghulu Sega. Tidaklah boleh sesuka
hati anggota masyarakat berbuat aturan sendiri. Maka peraturan ini dipakai sejak
terlantiknya Penghulu Sega Pertama iaitu Tok Mat Amin bin Mat Salleh dan kemudiannya diikuti oleb Penghulu lain menurut pertimangan penuh
bijaksana.
Diamalkan masyarakat di
permukiman Penghulu Sega itu aturan
kerja merisik, kerja bertunang-lanang dengan teliti supaya tidaklah ada yang mendakwa selain yang
disepakati. Sepanjang tempoh di antara
majlis merisik ke majlis pertunangan, kedua keluarga dibenarkan berhubung untuk
mengetahui perkara-perkara berhubung perminangan seperti tarikh pertunangan,
jumlah belanja hantaran, cincin pertunangan, hadiah sepersalinan yang patut
dibawa oleh pihak lelaki dan jumlah ahli keluarga lelaki yang akan hadir
menghadiri majlis pertunangan.
Dalam masalah belanja hantaran pula, ada tiga jenis kategori belanja boleh
menjadi pilihan sama ada belanja sama naik iaitu sama-sama mengeluarkan belanja
hantaran, belanja hantaran serta serba satu iaitu sebagai contohnya jika
belanja hantaran RM 5000.00, ada hadiah iringan selengkapnya dan belanja
hantaran luar serba satu, luar Mas Kahwin dan luar upah nikah iaitu nilai
selain wang hantaran tidak disebut dalam pertunangan. Selain itu, dibincangkan
jumlah wang belanja yang akan dibawa ke majlis pertunangan sama ada semua
sekali, separuh sahaja atau tidak membawa langsung wang belanja tersebut. Dalam
amalan masyarakat di Pahang, pihak lelaki akan membawa separuh wang hantaran
sebagai menyatakan komitmen untuk mengikat pertunangan.
Dalam tempoh ini, kedua-dua keluarga boleh menentukan wakil yang akan bercakap
dalam majlis bertunang nanti. Namun begitu, hal-hal berhubung jenis bentuk
cincin pertunangan, wang hantaran dan hadiah sepersalinan yang telah dibincang
dalam majlis merisik tidak boleh diubah atau dibincangkan lagi menurut adat di
negeri Pahang. Perbincangan berhubung tawar menawar jumlah wang hantaran akan
dianggap mengaib dan tidak sesuai dengan budi luhur orang Pahang.
Semua perbelanjaan mengadakan majlis pertunangan ditanggung sepenuhnya oleh
keluarga pihak perempuan. Dengan itu, keluarga pihak perempuan akan menentukan
jumlah jemputan ke majlis tersebut mengikut keupayaan kewangannya. Dengan erti
kata lain, tidak semua ahli kariah dijemput menghadiri majlis pertunangan ini.
Kebiasaannya ketua keluarga akan menjemput waris-waris terdekat, ketua kampung
dan ahli-ahli agama menghadiri majlis pertunangan tersebut. Ini bertujuan untuk
mengesahkan majlis tersebut adalah majlis yang sangat penting di dalam sesuatu
kampung.
Semasa majlis pertunangan
Ibu dan bapa perempuan yang dipinang, ketua kampung, Imam dan ahli agama dan
waris terdekat keluarga perempuan akan berada di ruang perbincangan sementara
sekumpulan ahli keluarga pihak perempuan yang lain akan menunggu di halaman
rumah bagi tujuan mengalu-alukan kedatangan rombongan keluarga lelaki
seterusnya menyambut hadiah sepersalinan yang dibawa oleh keluarga lelaki.
Setelah rombongan ahli keluarga pihak lelaki sampai, mereka dijemput naik ke
ruang perbincangan. Semua alatan dan hadiah yang dibawa diletakkan ditengah-tengah majlis.
Biasanya diletakkan bersebelahan dengan barangan hadiah pihak perempuan untuk
diberi kepada pihak lelaki. Susunan barang-barang pihak lelaki itu diletakkan
mengikut tertib iaitu tepak sirih, sirih junjung, cincin pertunangan, wang
hantaran dan barang-barang hadiah sepersalinan.
Sesudah tampil jurucakap pihak lelaki dan pihak perempuan, pengerusi majlis
akan memaklum kepada hadirin akan tujuan berhimpun itu. Sesudah itu pengerusi majlis akan menyerahkan
majlis perbincangan kepada kedua-dua jurucakap
kedua keluarga.
Sebelum jurucakap berbincang panjang,
setepak sirih disuguhkan oleh jurucakap pihak lelaki dan jurucakap pihak
perempuan mengapur sirih lalu memakan sirih itu bersama-sama jurucakap
lelaki. Para hadirin tidaklah digalakkan
memakan sirih itu kerana tiada apa-apa kepentingannya kepada mereka. Ini disebabkan acara memakan sirih oleh kedua
jurucakap itu sebagai sapaan hormat dan untuk
melancarkan perjalanan air liur memudahkan bercakap, menenangkan debaran
jantung dan menerbitkan rasa bersama-sama menjayakan majlis.
Hal-hal yang dibincangkan ialah setuju atau menolak peminangan,
syarat-syarat semasa bertunang, jumlah hantaran dimuktamadkan, tarikh
perkahwinan dan mengisytiharkan
pertunangan itu kepaa semua yang hadir di majlis itu. Berhubung terma dan
syarat pertunangan itu, ada keluarga yang membaca satu persatu terma tersebut dan ada yang memberi gambaran
secara umum sahaja. Terma-terma dan
syarat pertunangan yang menjadi rujukan di
permukiman Sega seperti berikut:.
1. BERTUNANG
Hendaklah perunding pertunangan
mengisytihar dalam majlis persetujuan menerima peminangan.
2. PERILAKU YANG TERMASUK DALAM ISTILAH ENGKAR
2.1. Semata-mata tidak mahu berkahwin tanpa sebarang sebab.
2.2. Salah seorang berkahwin cara senyap-senyap dengan orang lain.
2.3. Sabit kesalahan berkhalwat atau berzina dengan orang lain.
2.4. Helah - Apabila genap tiga kali bertangguh untuk melangsungkan
perkahwinan mengikut tarikh yang ditetapkan dalam istiadat pertunangan.
3.TINDAKAN TATA TERTIB YANG DIKENAKAN JIKA
ENGKAR
3.1. Pihak Lelaki - Hilang semua wang hantaran dan cincin yang
telah diserahkan pada hari pertunangan.
3.2. Pihak perempuan - Hendaklah mengembalikan semua wang hantaran
dan cincin pertunangan yang diterima. ( Jika cincin itu hilang atau
rosak, hendaklah diganti dengan nilai yang sama). dan diiringi dengan wang
sebanyak wang hantaranan yang diterima dari pihak lelaki.
3.3. Tanpa wang hantaran awal, maka mana-mana pihak yang engkar
dikenakan membayar kepada pihak yang satu lagi sebanyak RM... ( dan cincin akan
hilang atau dikembalikan (mengikut pihak mana yang melakukan keengkaran.)
4.CACAT (MENGENAI ANGGOTA BADAN
4.1. Berpenyakit yang membawa kejijikan kepada pihak sebelah
seperti kudis, kurap, sopak dan lainnya.
4.2.Berkeadaan tidak normal pada fizikal/mental disebabkan oleh
kemalangan seperti hilang penglihatan/pendengaran atau kecacatan pada
tangan/kaki atau hilang daya ingatan atau sebagainya.
5.CELA (MENGENAI PERBUATAN/PERILAKU
5.1. Berkelakuan kurang sopan pada penilaian waris-waris atau
masyarakat seperti tidak menghormati bakal ibu bapa mentua atau keluarganya
atau bersikap di luar budaya Melayu beragama Islam.
5.2. Melakukan jenayah yang memalukan keluarga seperti terbukti
pemabuk /pencuri /penipu dan sebagainya.
Tindakan yang patut diambil dalam perkara cacat-cela
ini ialah:
Kedua belah
pihak hendaklah berunding semula untuk mendapatkan kata sepakat. Jika
bersetuju berkahwin maka dikahwinkan. Jika tidak bersetuju berkahwin,
maka ' berpulangan " .
6. BERPERILAKU DI LUAR BATASAN (SAWAN
GILA)
6.1. Berdua-dua di tempat sunyi atau di khalayak ramai atau di
rumah kedua belah pihak.
6.2. Salah seorang memaksa supaya mereka dikahwinkan dengan segera
sebelum tarikh yang ditetapkan.
6.3. Sabit kesalahan berkhalwat atau berzina di antara mereka
berdua.
Tindakan patut diambil dalam perkara ini ialah:
Hendaklah dilaporkan kepada orang kenamaan tempatan supaya mereka dinasihatkan
supaya menghentikan perbuatan seumpama itu untuk kebaikan, dan menjaga maruah
keluarga. Jika tidak boleh ibendung/dikawal
lagi, maka orang kenamaan tempatan hendaklah menyuruh warisnya menyegerakan
perkahwinan mereka.
7.KEMATIAN
Satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Maka sebelah pihak
yang satu lagi patutlah bersimpati kepada pihak yang terlibat. Jika
ditakdirkan kedua-duanya berlaku serentak, maka rundingkanlah untuk kebaikan
bersama.
8. MEMUTUSKAN PERTUNANGAN
Mana-mana pihak yang memutuskan pertunangan sebelah pihak yang satu lagi telah
membuat persediaan untuk kenduri perkahwinan, maka pihak yang memutuskan
pertunangan mesti membayar ganti rugi jika pihak yang satu lagi membuat
tuntutan.
9.BARANG SERBA SATU
Tidak termasuk dalam perjanjian ini. Itu adalah
pemberian/hadiah sahaja.
10. MASKAHWIN DAN UPAH NIKAH
Sebanyak mana yang teradat dalam negeri ini dan juga adat tempatan
hendaklah dinayar oleh pihak lelaki; berasingan dengan wang hantaran.
11.TEMPOH BERTUNANG
Dinyatakan tempoh bertunang itu dalam berapa waktu jangkamasa
12. MAHAR KAHWIN
Dalam hal menentukan mahar kahwin, maka hal itu menurut diputuskan
oleh pejabat Baginda Sultan Pahang. Akan
hal ini pada tahun 1925, telah
diseragamkan di Pahang dan Johor bahawa nilai mahar kahwin itu ialah Dua Puluh
Dua Ringgit Lima Puluh Sen. Akan nilai
sebesar itu mampu membeli seekor ibu
kerbau dan anak kerbau jantan yang jaras.