PEMBUKAAN KAMPUNG TEMAU

  
Kedatangan penghijrah dari Sumatera ke kawasan Lembahan  Sungai Lipis menumbuhkan kampung-kampung baru.  Di petempatan asal di Terap Budu hingga ke Cherang tidak mampu lagi menampung pertambahan penduduk lalu dibuka kampung Budu Chat, BuduEmpau, Budu Macing, Telapis hingga ke Peruang.

Di sebelah hulu Sungai Lipis , kaum keluarga Tok Kaya Ibrahim (Orang Kaya Lipis ke-10), kaum keluarga Tok Baginda Demu dan Tok Mansor Bugis  dan kaum kerabat Raja Ahmad @ Tok Prak.   berlumba-lumba membuka kampung baru.  Maka   dibangunkan Kg. Tersan, Kuala Atok, Sega Lama. Sengkela, Batu Talam dan juga Ajai.  Kawasan hutan yang masih kosong ketika itu berada di hulu Ajai dan  di kiri   Sungai Dong dan Sungai Gali.

Sesudah Kampung Ajai dibuka oleh  anak cucu Raja Ahmad @ Tok Prak, perkembangan kampung itu tersekat di sebelah kanan Sungai Dong sahaja.  Maka di sebelah kiri Sungai Dong itu , oleh anak menantu cucu Raja Ahmad berusahalah untuk  membuka tanah untuk kediaman dan bertani.

Akan Tan Fakeh  orang Kampar  yang bernikah dengan Madunah, (anak Mas Suka anak Tok prak)   mula meneroka  membuka satu kawasan anak Sungai yang ditumbuhi pokok limau yang besar.  Daripada perkataan ‘  Limau ‘  itu, secara beransur-ansur disebut ‘ Temau ‘.

 Sesudah enam tahun di situ datanglah  Tok Paduka (orang Kampar) yang bernikah dengan Halimah anak Tok Prak  serta    Tan Ibrahim  (bernikah dengan  Banun anak Lipah anak Tok Prak)  dan Tok Baginda orang Kualuh, Kubu, Sumatera (bernikah dengan Maimunah cucu Tok Prak) membuka kampung halaman.  Kawasan yang dibuka ialah di tanah pamah antara Bukit Pak Asin dan Bukit Kepayang dan antara Kuala Temau dan Kuala Beniat.  Sejumlah wang diberikan kepada sakai yang mendiami di situ untuk menebas-menebang  dan mereka berempat berbahagi  tanam pamah itu mengikut banyak mana belanja yang diberi kepada sakai-sakai yang menebas-menebang.  Di atas tanah itu, dipanggillah rakan taulan mereka bercucuk tanam dan mendirikan rumah kediaman. Akan urusan ini selesai pada sekitar 1805M.

Sesudah dapat dijayakan bercucuk tanam di tanah pamah itu, datang pula Tok Malim Pendita dari Selayang, Sumatera (bernikah dengan Intan Zubaidah anak Mas Suka  anak Tok Prak)  membuka tanah di Bukit Asin.

Setelah 11 tahun kampung Temau itu dibuka, Datok Paduka meninggal dunia dan dikebumikan di Bukit Kepayang.  Dalam tempoh itu juga Tan Fakeh diangkat menjadi ketua dan pawang.   Dalam tempoh ini juga datangnya    keluarga  Haji Muhamad Salleh lentor   dan keluarga Teuku Ali @ Tok Shaharom di kalangan orang Rao  dan lain-lain ke Temau.

Teuku Ali@Tengku Ali  itu berasal dari Bilah Paning, Pagarruyung . Beliau    berhijrah dari Sumatera ke Tanah Melayu (1780M) bersama adiknya yang tengah  bersama 300 orang pengikut mereka dengan menaiki 12 buah kapal menyusur muara Sungai Perak, lalu singgah di sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Bidor .  Sebahagian pengikutnya mengambil keputusan untuk tinggal menetap di Bidor (Perak), manakala sebahagian lagi meneruskan perantauan mengikut Teuku Ali@Tengku Ali dari Ulu Sg. Perak menjelajah hingga ke Ulu Sg. Lipis, lalu menghilir Sg. Lipis sampai ke Temau (Raub).
Di Kg. Temau, Teuku Ali@Tengku Ali bertemu jodoh dengan seorang gadis Temau bernama Siti Hajar@Tok Dinar. Setelah mengahwini Siti Hajar@Tok Dinar, lalu Teuku Ali@Tengku Ali menukar namanya kepada Tok Shahrom. Tidak lama kemudian, orang kanannya yang bersama-sama merantau bernama Malim Yunus(seorang ulamak Mendailing) telah mengambil keputusan meneruskan pengembaraan mereka menghilir Sg. Lipis, dan Sg. Jelai sehingga tiba ke suatu petempatan yang cukup sesuai kerana kawasannya tinggi, dan  berhampiran sungai pula, lalu diberi nama tempat itu Pulau Tawar.
Perkahwinan Teuku Ali@Tengku Ali dan Siti Hajar@Tok Dinar  telah melahirkan lima orang cahaya mata : Ranting Mas , Hajjah Maimunah, Rasu Abdul Salam (Tok Gajah), Khatib Mohd Amin dan Khatib Mohd Arif. Antara anak-anaknya itu Rasul Abdul Salam  muncul sebagai pahlawan  ternama   dalam sejarah Pahang sebagai Tok Gajah..

Namun suasana tenang  di Temau itu tiba-tiba kembali huru hara apabila berlaku perang saudara di Pahang  1857  bersabit perebutan takhta di antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir.   Di pihak pembesar hulu  Pahang ketika itu tiadalah menyokong Wan Ahmad.  Maka Dato’ Bahaman  yang menyokong Wan Ahmad  telah berhubung dengan Wan Daud bin Wan Pahang  meminta menyokong Wan Ahmad.  Atas sikap  pihak Wan Mutahir yang kurang menghargai sokongan  orang di hulu, maka Wan Daud telah mengumpulkan 400 pahlawan di hulu  untuk membantu Wan Ahmad menaiki takhta.   Wan Daud campurtangan dalam konflik itu kerana  hendak membalas dendam kepada Wan Mutahir yang telah memerintah hulubalang Wan Mutahir membunuh sepupunya Wan Embong bin Tok Raja Wan Idris. Maka dalam konflik ini, orang Temau turut terlibat.  Antara mereka ialah Rasul Abdul Salam @ Tok Gajah bin Tok Shahrom @ Tengku Ali. Selain itu  Panglima Haji Muhamad Salleh lentor orang Rawa, Haji Muhamad Baki  dan Imam Perang Haji Yusuf bin Tan Ibrahim dan ramai lagi.

 Akan kemaraan tentera  Wan Aman  hingga ke Mukim Sega     banyak menganggu  penduduk Temau.   Hasutan dan paksaan agar penduduk di situ menyertai pasukan Wan Aman  menjadikan penduduk berasa serba-salah.   Akan kaum kerabat Tok Prak di kampung Temau ini tidaklah mahu terlibat dalam pergolakan politik tempatan.    Lalu penduduk awal Temau ini berpindah ke rumah kaum kerabat mereka di Sengkela, Gesing dan Batu Talam.  

Setelah masalah politik Pahang selesai  dan setelah tiga tahun kampung Temau itu ditinggalkan,  mereka pun kembali semula  mendiami kampung tersebut.

Bagi menegakkan rukun bermasyarakat  sesudah pembukaan kali kedua kampung Temau ini,  bersepakat penduduk Temau itu melantik  keturunan dan kaum kerabat   Tan Fakeh sebagai ketua di Temau.

Di kemudian hari, kampung Temau ini melebar hingga terbuka pula  Kampung Sungai Jahit (Dong).

Ketua Kampung Temau  dan Penghulu Mukim Dong
i. Tan Fakeh
ii. Tan Ibrahim
iii. Hj. Muhamad Baki (menantu Tan Fakeh)
iv. Imam Perang Hj. Yusuf   (1828-1914)  (anak Tan Ibrahim)
v. Tok Muda Hasan (menantu Imam Perang Yusuf dan cucu Tan Fakeh)
v. Bakhtiar (anak Tok Muda Hasan dan ccicit  Tan Fakeh)
vi. Muhamad Amin (anak Tok Muda Hasan dan Cucu Imam Perang Yusuf)

vii. Mahmud

3 ulasan:

  1. Semua saudara saya. Says lahir ditebing Sg Sengkela.

    BalasPadam
  2. Arwah bapa saya Idrus bin Hijau berasal dari Kg Temau juga.

    BalasPadam