BERBARISLAH RINDU


Mungkinkah ada rasa percaya pada kata , 

pada rasa tidak diungkap , 

tidak dilihat ,

tidak berbahasa 

tidak dapat dikenyam manis kelat selain 

berbaris seraut rindu di hujung rasa, 

di hujung mata yang terperangkap di penjara jiwa


Sebaris rindu adalah runtunan jiwa 

merincis secebis rasa . 

Sekian lama resah memeram segala

gelora pada musim bergelora , 

pada detik tidak pasti ditunggu,

pada janji yang menghampiri kemungkiran.


Berbarislah rindu dari seraut jiwa bergoncangan.

Jeritlah dari batin kosong bersipongang. 

Jeritan cuma sekehendak 

rasa hambar yang bergelodak sekolam kalbu. 

Rintih mersik dari hulu tidak

menghilir ke kuala simpati 

lalu menjadi nanar bergundahan hati

kemurugan   ditambat di gedung sisi diri.


Berbarislah rindu atas resah, 

atas gulana, 

atas silu sedih tiada ketemu. 

Berbarislah rindu dari titik rasa ke titik resah.

Dari huruf alif menjangkau ke hurug ya.

 


JUADAH MATA


Hidangan itu adalah 

segemal rasa tidak tertanggung. 

Lihatlah.. ..

Perayu itu menarik tangkai hati 

menghampir selunggun juadah impian 

yang belum tertunai.

Derap kaki melangkah 

dari satu bujukan ke bujukan

lalu memilih  cebis-cebis keinginan 

dalam resah kecukupan upaya perbekalan.

Lalu segayut  jari hantu ditatang

Daripada beberapa kepingan kuasa beli.

Marilah pulang... 

Pelaung si lelaki mencuka muka

Suaranya mematikan nafsu masih berdenyut

Juadah segar harus dipunggah

dari maksimum upaya baki tersisa

kerana jauhnya perjalanan pergi.

Tidak berbaloi menggayut juadah

Hanya di hujung jari.



Pasar Brinchang

 

DETIK INDAH KEHIDUPAN











DETIK INDAH KEHIDUPAN
Doa bapa berpanjangan, sejahtera sekelian anakandaku menempuhi kehidupan, diberi rezeki yang baik, dikekalkan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran dan teguh berdiri sebagai seorang muslim.
Allahumasolli ala Syaidina Muhammad.
Merujuk tahap kehidupan. Manusia bermula dilahirkan hingga usia 25 tahun itu adalah usia menyediakan diri dengan ilmu dan kemahiran. Usia 25-40 tahun adalah usia pembinaan kerjaya dan pengukuhan peribadi. Usia 40-60 tahun itu adalah usia pemantapan kerjaya dan daya kepimpinan. Bapa telah melalui semua tahap yang getir segala pancaroba itu dengan segigih usaha dan meraih sejumlah jaya. Bapa mencukupkan pengajian hingga ke tahap ijazah lanjutan. Bapa mencukupkan khidmat pada gred gaji cukup selesa. Bapa meraih sejumlah pengiktirafan dalam berkerjaya dan di luar kerjaya.
Sedikit waktu lagi tercapailah usia bapa 63 tahun berjejak di atas muka bumi ini. Terhadap usia ini, teringat bapa kepada kata-kata Muawiyah bin Abi Sufyan. Muawiyah berkata usia wafat Nabi s.a.w. itu pada 63 tahun, usia wafat Abu Bakar 63 tahun dan usia wafat Umar 63 tahun. Kini aku sudah sampai ke usia 63 tahun itu.
Inilah usia emas yang dinanti oleh sekelian manusia. Usia ini jugalah yang dinanti oleh manusia yang rindu kepada Nabi s.a.w. Ketika bapa ayahanda, Almarhum Md Isa bin Omar mencapai usia ini, beliau berkata dengan penuh insaf di hadapanku dengan membaca sepotong hadis Nabi. S.A.W.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ، وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ
Maksudnya: “Umur-umur umatku di antara 60 hingga 70 tahun dan amat sedikit yang lebih daripada itu.” [Riwayat al-Tirmizi (3550)][Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi]
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ عُمِّرَ سِتِّينَ سَنَةً، أَوْ سَبْعِينَ سَنَةً، فَقَدْ عُذِرَ إِلَيْهِ فِي الْعُمُرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang sampai usianya 60 tahun atau 70 tahun, maka Allah tidak menerima alasan (lalai mengerjakan perintah Allah) disebabkan umurnya itu.” [Riwayat Ahmad (9251)][Hadith ini dinilai sahih oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]
Sebagai warga emas, tempoh usia bapa bersama-sama kalian di atas muka bumi ini tinggal secubit beras waktu di sisi Allah. Tentu saja ingin bapa penuhi sisa baki usia ini dengan amalan terbaik bekal akhirat.
الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِى بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنّنَّ رَجُلاً قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ قَالَ فَأَىُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ
Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapaknya, bahwa seorang laki-laki berkata, “Wahai Rasûlullâh, siapakah manusia yang terbaik?” Beliau menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya”. Dia bertanya lagi, “Lalu siapakah orang yang terburuk?” Beliau menjawab, “Orang yang berumur panjang dan buruk amalnya”
Waktu semakin singkat usia bapa bersama-sama kalian. Maka waktu yang berbaki ini bapa ingin penuhi membuat persediaan ke alam abadi dan mengukuhkan silaturrahim sesama manusia moga dipermudahkan mencapai Syurga Allah sesudah dihisab.
تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِيْ نُوْرِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا
Terjemahan
Itulah surga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.
(Maryam:63)

 ORANG TIDAK BERPANGKAT


Menjadi orang satu anugerah indah mulia. Mesti hidup meraih rezeki dari sisi tidak dipandang. Tidak punya gelaran dan panggilan khusus. Tidak punya pingat kemilau bintang.


Orang tidak berpangkat punya bebas kehidupan, punya pendapat akui sendiri, punyai kenalan setaraf yang tidak silu segan bertukar fikir di gerai secawan kopi.


Orang tidak berpangkat usah dipujuk menerima sanjung. Kerana kehidupan yang jernih tidak keruh oleh senila pujian

 


DI BIRAI MALAM


Bukan resah   ditunggu mengisi  ruang waktu

Dingin malam   mengusap  syahdu ke kolam rasa

Cengkerik tidak melagu  rentak harapan

Tidak juga cecacing merindui  hadir embun menitis

yang tampak sekepal cahaya menabiri

birai malam yang berlabuh menawarkan

sekelumit pengertian daripada keinsafan hati


Bertahajjudlah dikau sahabat ketika tirai malam belum diangkat

Ada segumpal zikirmu dicatat dan

ada sendumu memekat  yang dipahat

Ada tilawahmu  mengecap dengar yang diukir pada 

sejarah seorang sahabat menitis air jernih

membasahi sekebun taubat nasuha

di taman gulana gundah seorang abid.


Doamu sebening embun sesuci salju

hambur-menghambur tertancap tepat pada ingin yang diidam.

 


UNTUK HARI YANG INDAH

Bahagia itu pada akal

apabila dapat menaakul kusut masalah

lalu pintalan jawapan

menghurai kerumitan  di penghujung persoalan.

 

Bahagia itu apabila

hati upaya mekar membuah liris

senyuman mengisi jiwa.

Bahagia itu ketika nafsu

upaya ditahan tidak resah menggelodak

ingin dipenuhi serakah .

Bahagia itu tiba dipuncak

ketika RUH mula berbisik

ingin mendampingi kudrat Tuhan

jiwa membuka lebar seluruh redha.

 

Bahagia usahlah derita.

Usah juga berniat untuk kembali sengsara.

Usah jua berusaha membongkar

kisah duka berdekad lalu  sudah dilipat

dalam sejarah kehidupan tawa hiba itu adalah

catatan ingatan bekalan hidup.

 

 

Sempambaru

Raub.

 


BIAR KUTULIS NAMAMU


Biar kutulis namamu

Biar kutulis daripada  ketulusan hati

Biar kutulis daripada renjisan keinginan

Biar kutulis mengikut rentak jiwa


Aku terdaksima pada namamu

Ukirannya bertebaran di jauhan sudut jiwa.


Namamu adalah satu rahasia

Bila kuukirnya di bibir langit

Namamu menyusup dalam senyum pelangi lalu

pelangi menambah tona warna menjadi delapan


Namamu melambai pandang setiap detik aku takut kehilangan satu bacaan.

Seperti separuh bulatan lagi yang tidak menjenguk wajah,namamu memujuk untuk melingkari sudut pandang yang sempurna 


Pada detik-detik yang berlalu, aku menghafaz namamu seperti  abid menghafaz zikir  menyerap seluruh rasa , menyentap Qalbu oleh sirr. Lalu setiap sirr yang bergentanyang

bersatu menyatu segala bathiniah tunduk merangkum sekolah mawaddah, syahdu lalu mendamba secangkir ingin.  Namamu mengocak  berrgelombangan segala sir

berlimpahan mawaddah dan namamu menjalar mengikut nadi darah menyelongkar

segala resah yang mencakar wajah jiwa


Biar kutulis namamu setiap detik berdetik-detik bersama ini.  Biar nadi darah menjalar menongkah arus resah menyata ingin.


Biar kutulis namamu

Biar menjadi zikir dalam bathinku

Biar mengalir mengurat darah

Biar semadi sirna di mata hati.

Namamu menemaniku ke hujung nafas 

 


Sempambaru, Raub

 



DATANG MENGADAP

Atas membuak rasa cinta,

cucunda datang mengadap.

Sempena kunjungan,

sekalung doa dianyam

dengan selawat dan zikrullah dipanjatkan

ke hadrat Ilahi

dengan harap membulat.

 

Ada gerak mesra

hadir nenda dalam rasa.

 Ada bisikan alam menjemput

bersimpuh merendah jemala.

 

Datang mengadap

bukan meminta hadiah pemberian.

Benang silaturrahim yang

kusam ingin dikilatkan dan dikukuhkan.

 

Lalu benang silaturrahim itu

mengikat sekelian titis

berkasih cinta membina hidupan.

 

Datang mengadap

dan mohon  undur diri adalah lumrah

jodoh pertemuan.

 

Ada renjisan mawar mewangi pertemuan.

Ada lipatan doa tutup buka

dalam nafas tertahan sendu.

 

Lubuk Yong

Jelai

30.5.2024

 


BICARA PAMAN

(sekalung bunga buat Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Mansor bin Abdullah. Ketua 1 DPMP)

 

Memanas dingin malam.

Kubuka liang dengar tika paman lancar berbicara. 

Bernasnya kata di titian ilmu

mengusir jahil yang bertenggek.

Aku menjadi penikus berdecit.

Takutnya tergelincir faham.

Kata Paman berhamburan menebar segar.

Katanya menukang

mengikis jumud yang

sekian lama mendakap di kolam rasa.

 

Terima kasih paman yang

menebar senyum berbahasa itu

berbunga di hati.  

Ada kudrat menumbuh

untuk menyisih buruk baik berkarya itu dengan teguh diri.

Ada yakin memengkis

benar kata di medan kemanusiaan.

 

BARA MEMBAKAR RASA


Bagai pendeta yang tersisih,

betapa di puncak gunung ini jemari menjahit

carit-carit rasa yang bercalar

diguris onak perjalanan hidup.

 

Ketika menghirup debu awan,

alam bersenandung merai hadir pendeta tua .

Ada unggas berbisik.

Ada tumbuhan melambai dan bayu bertiup

menjahit cinta membungkus

imbauan jasa.

 

Biarkan aku di sini.

Pendeta tua mengenggam resah di daerah rasa.

Hidup di wilayah gunungan membenih ilham.

Ada fikir bernas membenih lalu

menyimpul rumus untuk memecah

buntu sang penguasa jumud tindakan.

 

Bringchang

5 Disember 2023

 ANAKANDA 

Anakanda,

Demikian disebut oleh Hamzah Al Fanshuri,

Demikian lagi Allah Subhanahu wa Taala

tiada bercerai dengan 'alam .

Tetapi tiada di dalam 'alam dan

tiada di luar 'alam dan

tiada di atas alam,

dan tiada di bawah '

dan tiada di kanan 'alam dan

tiada di kiri 'alam, dan

tiada di hadapan 'alam dan

tiada di belakang 'alam, dan

tiada bercerai dengan 'alam, dan

tiada bertemu dengan 'alam, dan

tiada hampir kepada 'alam, dan

tiada jauh daripada' 'alam.

Fikirkan akan kebesaran-Nya.



 10 TAHUN OPERASI PERSATUAN SAHABAT TAHFIZ AL FALAH RAUB (SAHABAT TAHFIZ @ ST)

Terawal kata diucapkan tahniah dan Syabas kepada Us. Mohd Zaki bin Sulaiman, Pengerusi Persatuan Sahabat Tahfiz Al Falah Raub atau kejayaan dan daya usaha keras memajukan Persatuan dan program tahfiz di SMA Al Falah. Kira-kiranya sudah menjangkau 10 tahun usia operasi Persatuan Sahabat Tahfiz Al Falah Raub. Meski didaftar pada 28 Oktober 2015, gerakan membantu Pembangunan program tahfiz di Sekolah Menengah Agama Al Falah Batu Talam (SMAAFBT) itu sudah bermula pada 2014 dengan perbekalan dua orang guru pembimbing. Itu lanjutan daripada kesukaran Almuni Sekolah yang mengemas jentera pentadbiran disebabkan setiap ahli berada di lokasi saling berjauhan.
Program tahfiz yang dijalankan itu adalah program yang diadaptasi daripada kurikulum tahfiz Darul Quran JAKIM. Tempoh masa pelaksanaan cuma satu jam 20 minit @ 6.20 pagi hingga 7.40 pagi pada setiap hari persekolahan. Pelaksanaan kelas di dalam kawasan sekolah dengan setiap guru membimbing sekitar 12 hingga 17 orang pelajar. Guru pembimbing diambil daripada sukarelawan yang mempunyai asas Pendidikan Islam dan ilmu al-Quran yang baik. Sebahagian guru itu ada pengkhususan dalam bidang tahfiz al-Quran.
Atas kesedaran untuk melihat pelajar-pelajar upaya menghafaz Al Quran, Sang Pengetua telah berbincang panjang dengan Us. Mohd Zaki bin Sulaiman, bekas ketua pelajar SMAAFBT juga Pembantu Hal Ehwal Islam ( Bahagian Penguatkuasa) JAIP bagaimana rencana untuk mengujudkan satu dana khas sumbangan awam bagi membantu Pembangunan Program Tahfiz di SMAAFBT Raub itu. Maka di hujung perbincangan itu , satu pertubuhan berdaftar di bawah ROS ditubuhkan atas nama Persatuan Sahabat Tahfiz Al Falah Raub . Fungsi utamanya mencari dana untuk membantu kos kewangan yang akan digunakan bagi menjayakan program tahfiz sepanjang tahun. Bersabit hal itu, di dalam perlembagaan persatuan dimasukkan usaha memungut dana awam untuk melaksanakan aktiviti dan alhamdulillah, item perlembagaan itu diluluskan di peringkat ROS.
Us. Mohd Zaki bin Sulaiman selaku Pengerusi Persatuan Sahabat Tahfiz dengan susunan oraganisasi yang lebih teratur telah mencari penyumbang yang berminat menaja Program Tahfiz Al Falah yang dijalankan. Modus operandi membuka tajaan RM10.00 sebulan disambut masyarakat Islam yang punyai kesedaran tinggi kepentingan menghafaz al-Quran. Maka daripada sumbangan itu, Persatuan Sahabat Tahfiz berupaya menaja perbekalan pembimbing tahfiz daripada dua orang kepada tujuh dan kini seramai sebelas orang guru. Setiap pembimbing tahfiz diberi honorarium @ sagu hati sebanyak RM600.00 sebulan. Itu yang upaya diberikan setakat ini bagi urusan kerja selama satu jam dua puluh minit itu.
Bagi memantapkan Program Tahfis Al Falah 2024 ini, selain menaja honorarium bulanan untuk sebelas orang guru, pihak persatuan juga membantu menaja Program Hari Anugerah Tahfiz, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC ) bagi guru tahfiz dan guru-guru bukan kakitangan tetap,menaja Hadiah Galakan Murid Program Tahfiz, menaja Kursus Peningkatan Kemahiran Guru Tahfiz, menaja bayaran Ceramah dan Kuliah Agama, menaja Bantuan Murid Miskin Yang Memerlukan Bantuan, menaja Sumbangan Hari Raya untuk semua pelajar, menaja Sagu hati Imam Terawih di kalangan Pelajar, menaja bantuan kepada penitia mata Pelajaran agama Islam dan akademik, menaja kos aktiviti kokurikulum dan hal ehwal pelajar dan sedikit tajaan untuk penyelenggaran kompleks sekolah. Alhamdulillah, atas segala keihlasan semua penyumbang yang memberi sumbangan ke tabung Persatuan Sahabat Tahfiz sepanjang 2023-2024 ini, pihak Persatuan Sahabat Tahfiz berupaya menyediakan satu dana berjumlah RM117,700.00 (SATU RATUS TUJUH BELAS RIBU dan TUJUH RATUS RINGGIT SAHAJA) bagi menaja aktiviti Program Tahfiz al-Quran dan aktiviti-aktiviti berkaitan memantapkan Pendidikan Islam di SMA Al Falah, Raub ini.
Saya selaku Penasihat Persatuan Sahabat Tahfiz Al- Falah ,Raub dengan rendah hati mengucapkan ribuan terima kasih atas kesungguhan semua penyumbang bagi menyediakan dana membantu program tahfiz ini. Allah juga membalas segala budi baik tuan puan. Dengan iringan doa mudah-mudahan Allah memberkati kehidupan tuan puan seterusnya, senantiasa dalam keampunan Allah dan diluruskan jalan-jalan ke Jannah.
Wassalamu’alaikum warrahmatullahi wabarokatuh

 MERAPATKAN SILATURAHIM DALAM JALUR KEKELUARGAAN

Demi melaksanakan ajaran yang suci, diusahakan juga pertemuan sekelian ahli keluarga Baginda Demu Edisi 2024 pada 4.5.2024 di pedesaan Penjom, Kuala Lipis.
Seruan Allah dalam firmanNya:
وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
Surah al-Nisa’ (1)
dan juga melalui satu Hadis Rasullullah:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557}

  100 TAHUN MAS KAWIN DI NEGERI PAHANG RM22.50

Alhamdlilah Tuanku Sultan Pahang dalam titah, perkenan pindaan Kadar Mas Kahwin Negeri Pahang bermula dengan RM100 ke atas bagi menggantikan kadar RM22.50 .
Alhamdulillah. Kata orang yang dah bernikah. Itu kadar ketetapan yang masih rendah berbanding kadar mas kawin di negeri lain.
Kadar RM22.50 sen itu dibuat pada 1925 @100 tahun lalu. Kadar yang sama ditetapkan di negeri Johor. Kenapa ditetapkan pada nilai itu? Itu tak dapat dijelaskan kerana tidak beroleh sumber dokumen yang menceritakannya .
Pada waktu itu(1925) nilai RM22.50 sen itu bolehlah membeli seekor ibu kerbau dan seekor anak kerbau sedang naik jaras.
Nilai duit itu bersamaan nilai RM sekarang ini:
Seekor ibu kerbau RM6500.00
Seekor anak kerbau sedang naik jaras RM3800.00
Nilai RM22.50 sen pada tahun 1925 itu bersamaan RM10,300.00 pada tahun 2024.
Patutlah P.Ramlie dalam adegan filem sambut akad nikah ditutur, " Aku terima nikahnya dengan mas kawin RM22.50 HUTANGGG."
Penonton pun ketawa terbahak-bahak. Nampak seperti lucu tetapi realitinya wujud kes berhutang mas kawin itu.
Dalam kajian kes dari buku daftar nikah di Pejabat Qadhi Daerah Kuala Lipis, Pahang diberitakan ada catatan sekitar tahun 1940-an, ada bakal suami menyambut akad nikah dengan HUTANG mas kawin
‌Dalam kajian kos sara hidup awal 1900 di Pahang, ada kes orang Jawa yang duduk di Damak, Jerantut. Ditanya macam mana boleh datang ke Damak. Mereka memaklum mereka ditangkap oleh Belanda lalu dijual kepada pedagang Inggeris di tengah laut. Mereka dibawa ke Kuantan dan kumpulan mereka diarah membuat jalan Kuantan ke Benta. Gaji yang diberi Inggeris sekitar 25 sen sebulan.
Nilai 25 sen pada awal 1900 itu dianggap mewah pada waktu itu.
Tahun 1925 itu, mas kawin RM22.50 wajib disedia pihak lelaki. Akan kenduri kendara dibuat di rumah perempuan sahaja dengan maufakat tanggung kos bersama. Tidak ada kenduri kendara di sebelah lelaki melainkan sambut menantu dengan baca tahlil dan doa selamat diikuti jamuan ringan.
Berlalu masa dibuat orang berkenduri kendara di rumah pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Maka adat berkenduri dua belah pihak itu asalnya khas kepada adat raja raja dan pembesar bergelar. Jika dibuat oleh rakyat biasa, terasalah sangat terbeban dalam urusan pernikahan. Namun hal berkenduri kendara di dua belah pihak itu dianggap wajib. Maka tidaklah tertanggung beban oleh pengantin lelaki sehingga ramai berhutang piutang untuk melaksanakan kenduri.

APRIL FOOL TRAGEDI PENYEMBELIHAN MUSLIM YANG TRAGIS

 

Itu tragedi pedih yang membeka pilu di hati umat Islam. Betapa penyembelihan itu dirancang rapi dan disengajakan tanpa ada rasa peri kemanusiaan. 

Sejak bumi Sepanyol itu dibebaskan Islam pada abad ke-8 M oleh Panglima Thariq bin Ziyad, Sepanyol tumbuh menjadi satu negeri yang makmur secara beransur-ansur. Pasukan Islam tidak setakat berhenti di Sepanyol, namun terus melakukan pembebasan di negeri-negeri sekitarnya menuju Perancis. Perancis Selatan dengan mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours, dan sebagainya jatuh. Walau sangat kuat, pasukan Islam masih memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang terletak di pergunungan.

Islam telah menerangi dan mengemilangkan Sepanyol hamper enam abad. . Ini kerana sikap para penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka banyak orang-orang Sepanyol yang kemudian dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Muslim Sepanyol bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mengamalkan kehidupan secara Islami. Mereka tidak hanya membaca Al-Quran, tetapi juga bertingkah laku berdasarkan Al-Quran. Mereka menghindari minuman keras , bergaul bebas, dan segala macam hal yang dilarang oleh Islam.

Tidak terduga sama sekali. Dalam tempoh amat dan penuh gemilang itu, kaum kafirin mulai secara diam-diam mengirim alkohol dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk membujuk kaum mudanya agar lebih suka bernyanyi dan menari berbanding membaca Al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya adalah untuk menyemarakkan perpecahan di dalam tubuh umat Islam Sepanyol. Lama-kelamaan upaya ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan berjaya dikuasai pasukan Salib. Penyerangan oleh pasukan Salib benar-benar dilakukan dengan kejam tanpa mengenal peri kemanusiaan. Tidak hanya pasukan Islam yang dibunuh tetapi juga rakyat biasa, wanita, anak-anak kecil, orang-orang tua, semuanya dibunuh dengan sadis dan kejam. Satu persatu daerah di Sepanyol ditakluki. Granada adalah daerah terakhir yang ditaklukkan. Penduduk Islam di Sepanyol (juga disebut orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian terus mengejar mereka.

Ketika jalan-jalan mulai sepi, yang tinggal adalah ribuan mayat yang bergelimpangan dan bermandikan aliran darah. Tentera Salib mengetahui bahawa banyak Muslim Granada yang masih bersembunyi di rumah-rumah. Dengan lantang tentera Salib itu meneriakkan pengumuman, bahawa para Muslim Granada boleh keluar dari rumah dengan aman dan dibenarkan berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka. “Kapal-kapal yang akan membawa kalian keluar dari Sepanyol sudah kami persiapkan di pelabuhan. Kami menjamin keselamatan kalian jika ingin keluar dari Sepanyol, setelah ini maka kami tidak lagi memberikan jaminan!” demikian bujuk tentera Salib.

Orang-orang Islam masih curiga dengan tawaran ini. Beberapa dari orang Islam dibenarkan melihat sendiri kapal-kapal penumpang yang sudah dipersiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat ada kapal yang sudah dipersiapkan, maka mereka segera bersiap untuk meninggalkan Granada bersama-sama menuju ke kapal-kapal tersebut. Mereka pun bersiap untuk berlayar.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada yang keluar dari rumah-rumahnya dengan membawa seluruh barang-barang keperluannya beriringan jalan menuju pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai tentera Salib bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumahnya. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan cepat tentera Salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan penghuninya. Lidah api terlihat menjilat-jilat angkasa ketika para tentera Salib itu membakar rumah-rumah tersebut bersama orang-orang Islam yang masih bertahan di dalamnya.

Manakala ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan berasa terkejut ketika tentera Salib juga membakar kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal itu dengan cepat tenggelam. Ribuan umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa kerana sama sekali tidak bersenjata. Mereka juga kebanyakan terdiri dari para perempuan dan anak-anak yang masih kecil. Lalu tentera Salib segera mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan dari pemimpinnya, ribuan tentera Salib itu segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir membahana. Dengan buas tentera Salib terus membunuh orang awam yang sama sekali tidak berdaya.

Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah menggenang di mana-mana. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Tragedi ini bertepatan dengan tanggal 1 April. Inilah yang kemudian diperingati oleh dunia Kristian pada setiap tanggal 1 April sebagai “The Aprils Fool Day”

MARUAH MELAYU BERSUMBER ILMU DAN AKHLAK

 
Aku ditakdirkan berbangsa Melayu. Aku terima takdir itu dengan redha dan berusaha memajukan diri dan bangsaku, bangsa Melayu. Aku amat menyedari sejak mengalami kejatuhan yang trauma pada abad ke-18, umat Melayu berhempas pulas untuk hadir dan beraksi semula di pentas sejarah. Perjuangan menepati sumpah ‘ takkan Melayu hilang di dunia ‘ yang diluah oleh Dato’ Paduka Lamsamana Hang Tuah ternyata tidak mudah dipertahan. Selama berabad-abad umat Melayu bergelut dengan pelbagai bentuk penjajahan politik, ekonomi dan budaya. Segala sumber sejarah bangsa ini dibawa ke tanah jajahan sehingga tiada satu pun dapat dirujuk sehingga dimunculkan semula Sulalatus Salatin ke Nusantara Melayu. Itu pun dalam beberapa versi dan ada juga memaklum beberapa keratin persejarahan itu telah hilang daripada susunan helaian. Lalu bangsa ini mulai dijajah pembudayaannya. Fenomena penjajahan budaya itu tampak menggejala pada abad ke-19. Ketika itu sudah ada sebilangan umat Melayu yang mulai tercabut dari akar budaya tradisi.

Dalam suasana krisis pertembungan budaya itu munculnya Raja Ali Haji, ilmuan umat Melayu Islam yang telah berusaha membentengi warisan tamadun Melayu-Islam daripada terhakis dalam landasan arus pembaratan. Beliau mengajak umat Melayu mempertahankan kelangsungan budaya bangsa di samping mengingatkan kaum elit bangsawan agar kembali kepada etika tradisi kesultanan Melayu-Islam.

Sebahagian orang Melayu benar-benar telah mengalami krisis identiti menjadi manusia dua kerat, Inggeris celup dan penderita penyakit rendah diri yang sangat parah. Mereka tidak percaya kepada diri sendiri dan hilang kenyakinan terhadap tamadun dan budaya sendiri

Penjajah pula menabur benih-benih nasionalisme dalam bangsa Melayu. Nasionalisme adalah acuan Barat yang memang ingin memerangkap umat Islam. Barat sendiri memperoleh kecurigaan dan kerenggangan kaum hasil berjuang atas landasan nasionalisme itu. Meskipun tampak luarannya sempurna tetapi hakikat masyarakat yang dibentuk oleh acuan nasionalisme itu amat goyah, rapuh dan saling curiga-mencurigai antara bangsa-bangsa. Malah ramai juga cendekiawan Islam menolak nasionalisme sebagai alat perjuangan. Contohnya Iqbal di tanah Hindustan dan Faruqi di benua Amerika. Iqbal dengan rasa berat hati beranggapan nasionalisme merupakan sejenis ethnocentrism yang kemudiannya melahirkan raciam yang angkuh. Iqbal pula menolak nasionalisme sebagaimana difahami dan diamalkan di Eropah. Nasionalisme itu dianggapnya mengandungi kuman-kuman materialism ateistik yang mengancam kemanusiaan.

Pemikiran lain seperti Hasan al-Banna sebagai contoh. Beliau menerima apa yang diistilahkan sebagai wataniyyatu ‘Ihanin (cinta Negara), wataniyyatu ‘l-hurriyahwa ‘l-mujtama (semangat setiakawan serantau) dan wataniyyatu ‘l-fath (semangat juang untuk mengembangkan Islam). Sementara itu beliau menolak apa yang disebutnya sebagai wataniyyatu 'l-hizbiyah iaitu dasar memecahbelahkan umat kepada kelompok-kelompok yang saling bermusuhan. Mengenai nasionalisme atau al-qaumiyyah pula, Hasan al-Banna menerima apa yang dinamakan sebagai qaumiyyah ‘l-ummah iaitu sikap mengutamakan khidmat bakti kepada kerabat dan ummah. Sementara itu beliau menolak qaumiyyah ‘l-jahiliyyah iaitu nasionalisme yang berusaha menghidupkan semula budaya jahiliyah dan ingin melepaskan diri daripada peraturan dan ikatan Islam, juga qaumiyyah ‘l-‘udwan iaitu nasionalisme yang beritikan kesombongan diri sehingga membawa kepada pencabulan terhadap hak-hak bangsa lain.

Bangsa yang merdeka adalah bangsa yang sensitif dengan maruah dan martabatnya. Mereka tahu betapa mahalnya harga maruah dan martabat itu dan mereka tidak dapat hidup tanpa maruah dan martabat. Sebaliknya bangsa yang berjiwa hamba ialah mereka yang rela diperlakukan orang seenak-enaknya hatta dihina dan diremehkan sekaligus. Mereka tidak pernah merasa maruahnya dicabul kerana memang mereka tidak pernah merasa punya maruah. Bangsa yang merdeka ialah bangsa yang kaya dengan cita-cita dan daya usaha. Mereka tahu apa yang harus dikerjakan tanpa dikerah, tanpa diperintah. Tidak seperti mereka yang berjiwa hamba yang hanya bergerak apabila dibelasah dengan cemeti kerana memang hanya bahasa cemeti itu sahajalah yang dimengerti oleh mereka.

Aku fikir bangsa ini dalam sepuhan baru itu memerlukan minda yang disuburkan dengan ilmu pengetahuan dan pembinaan budi pekerti yang luhur. Itulah pencetus perubahan sebaik sahaja Melayu itu meninggalkan fahaman Hindu-Buddha dan beralih kepada Islam. Ilmu adalah sumber yang dapat mengilhamkan pemikiran baru yang segar dan dinamik. Ilmu itulah penggerak dinamik menggilap tamadun Melayu. Bangsa menjadi orang yang berpengetahuan dan beradab. Kita hanya mampu mencipta kegemilangan dengan kembali kepada akar budaya sendiri, bukan dengan cara menunjukkan emosi dan menciplak budaya asing

Pada saya Melayu itu sesuatu yang unik. Melayu menurut perlembagaan ialah seorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa Islam lalu menjadilah bahasa yang mengekspresikan world view Islam, sementara adat Melayu telah mengalami tranformasi keislaman, nyatalah tanpa Islam Melayu kehilangan segala-gala termasuk keperibadiannya. Melayu Baru dalam konteks negara ini bukan Melayu yang menanggalkan keislamannya. Menanggalkan Islam bererti menghilangkan Melayu itu sendiri. Melayu Baru ialah Melayu yang mengalami tajdid, pembaharuan komitmen, kefahaman dan penghayatannya terhadap Islam. Nilai-nilai Islam yang mendasari pembinaan budaya dan watak Melayu Baru itu akan menjadikan mereka umat yang benar-benar competent dalam menghadapi cabaran abad ke-21
Melayu itu dijelmakan sebagai Melayu berjiwa merdeka yang sujud, ruku’, dan setia mutlaknya hanya kepada Allah. Melayu yang telah mendapat semula kemuliaan status dan martabat keinsanannya. Melayu yang bangga menjadi khayra ummah, umat terbaik kerana imannya, Melayu yang tahu erti hidup mati sebagai persaingan prestasi amal cemerlang (ayyukum ahsanu ‘amala ).

Melayu pejuang yang dengan semangat jihadnya sanggup menghadapi segala cabaran dan dengan semangat mujahadahnya pula, ia memperoleh kekuatan ruhaniah untuk menghayati kemakrufan dan menghindari yang kemungkaran

BANGSA MELAYU ITU PERLU KENAL JATI DIRINYA

 
Sumber yang dapat menunjukkan identiti Melayu menjadi terbuka ialah kitab berjudul Faridatu al-Faraid karangan Syeikh Ahmad Bin Muhammad Zain Bin Mustafa al-Fatani, seorang penulis peribumi yang hidup pada bahagian kedua abad ke-19. 

Dalam kitab ini bukan sahaja disebut istilah “Melayuwiyah” malah telah memberi penjelasan secara terperinci mengenainya: Iaitu himpunan kaum-kaum Melayuwiyah nisbah kepada Melayu dengan kasrah [baris di bawah bagi huruf] mim atau difathahkan [baris di atas]nya dan dammah [barisan di depan bagi huruf]ya. Mereka itu adalah suatu kelompok atau golongan yang besar daripada manusia.

Negeri mereka adalah sesubur-subur negeri di dunia. Ianya terletak di antara negeri Hindi dan China dan kebanyakan dari pulau Waq-Waq. Dan ahli ilmu geografi menganggap sebahagian negeri-negeri mereka sebagai negeri-negeri Indo-China. Penduduk Hejaz menamakan mereka dan golongan-golongan selain mereka dari wilayah itu dengan sebutan “Jawa”, dan mereka [orang jawa sebenarnya] itu golongan yang menduduki sebuah pulau besar di sana, dan mereka bukan orang Melayu.

Dan bahasa mereka [Melayu] adalah bahasa yang paling ringan di kalangan penduduk rantau itu. Maka kerana inilah ianya telah diguna-pakai kebanyakan ahli Hejaz di dalam muamalat dengan golongan-golongan yang tersebut itu [walaupun mereka] mempunyai bahasa-bahasa yang berbeza.

Mereka adalah Kaum yang bersifat ikhlas, lemah-lembut, lunak, berperibadi baik. Maka setengah daripada keistimewaan mereka sesungguhnya tiada terlihat di negeri mereka dan di negeri lainnya seorangpun daripada mereka menjadi pengemis walaupun mereka bersangatan faqir. Bagi mereka ketertiban di dalam urusan, kehalusan di dalam pertukangan, menerima pembaharuan di dalam perusahaan, menerima pelbagai maklumat dan ilmu berserta dengan terserlah faham mereka di dalamnya.

Dan adalah bagi mereka dulunya kerajaan-kerajaan yang besar kemudian dijajah padanya tangan-tangan kerajaan-kerajaan kuffar. Semoga Allah memelihara negeri-negeri muslimin daripada mereka [kuffar itu]

BAHASA DALAM CERPEN


          Menyusun bahasa dalam karya sastera seumpama jua menyirat benang-benang halus untuk membuat jaring atau mengayam mengkuang untuk dibuat tikar.  Semua harus dibuat dengan cermat dan teliti agar hasilan yang diperoleh sesedap mata memandang, berkualiti dan disenangi ramai.

 Dalam menulis cerpen,  akurlah bahawa selain cerita yang menarik,  pemilihan bahasa yang indah dan tersusun itu menjadikan cerpen itu kukuh dan mampu bertahan dalam genre kesusasteraaan.

Maksud cerpen

            Cerpen ialah singkatan kata daripada perkataan cerita pendek.  Cerpen juga sebahagian daripda cereka (cerita reka-rekaan).
            Hashim  Awang Glosori Mini Kesusasteraan, Fajar Bakti , 1987) menyebut bentuk cereka yang pendek yang membawa satu persoalan bagi menghasilkan satu kesan tertentu yang indah.  Ia memusatkan diri pada satu watak dalam suatu situasi di suatu tempat dan ketika.
            Hendry Guntur Tarigan (Prinsip-prinsip Dasar Sastera, 1984: Penerbit Angkasa Bandung) mengutip kata B. Mathew menyebut bukan cerita pendek jika tidak ada sesuatu yang diceritakan.  Hendri Guntur sendiri mengulas cerpen seperti berikut " cerita pendek harus mengandungi interpretasi pengarang tentang komsepsinya mengenai kehidupan, baik secara langsung atau pun tidak langsung, harus menimbulkan satu efek dalam fikiran pembaca, cerita pendek juga mengandungi detail-detail dan insiden-insiden yang dipilih dengan sengaja, dan yang bisa menimbulkan pertanyaan-pertanyaan di dalam fikiran pembaca.

Bahasa  Dalam Cerpen

            Berhubung bahasa dalam cerpen ini, Dr. Lim Swee Tim berpendapat:
            Pada umumnya, cerpen bertolak daripada satu idea pokok. Bagi menyampaikan idea ini, kita mencari dan memilih watak yang sesuai dengan perwatakannya yang khusus bagi membantu kita menampilkan gagasan yang ingin kita ketengahkan itu.
            Kita susun peristiwa daripada satu peringkat ke satu peringkat dengan cermat.  Orang memanggilmya plot.  Kita pilih pula sudut pandangan yang sebaik mungkin, kemudian memberi latar yang sesuai serta menarik kepada cerita kita.
            Penyampaian dari mula hingga ke akhir kita gunakan bahasa.  Tanpa bahasa kita tidak mungkin dapat menyampaikan apa-apa.  Malah kalau bahasa tidak kuat, kita barangkali tidak mampu untuk menyajikan sesuatu yang berkesan dan indah.  Kelemahan penguasaan bahasa akan melemahkan penggarapan tema.  Cepen menjadi tawar dan hambar.  Banyak aspek kejiwaan dan psikologi watak, kita tidak mampu menghuraikannya dengan mendalam.
            Gambaran alam dan suasana pula menjadi tidak berkesan dan tidak mampu menimbulkan kesan keindahan.  Penulis perlu menguasai dengan baik apa yang disebut metafora[1], simili[2], hiperbola[3], inversi[4], alusi[5], analogi[6] , personifikasi[7]  imejan[8] , perlambangan [9]dan lain-lain unsur puitis.
.
            Bagaimana mendalami bahasa?
            Cara paling mudah ialah melalui pembacaan. Penulis muda perlu banyak membaca karya-karya besar tokoh sastrawan .  Sudahkah membaca novel  Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad atau novel Sungai Mengalir Lesu karya A. Samad Said atau novel Seorang Tua di Kaki Gunuug karya Azizi Hj. Abdullah atau Saudagar besar dari Kuala Lumpur karya Kris Mas atau novel Desa Pingitan karya  Baharudin Sidi atau Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Dato' Dr. Anwar Ridhwan dan lain-lain.
Selain membaca karya-karya kreatif, jangan abaikan membaca selalu buku tatabahasa.  Lihat dan semak selalu buku Tatabahasa Dewan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Selain itu, selalulah berdamping dengan Kamus Dewan untuk memantapkan penggunaan sesuatu kosa kata.
            Untuk gaya bahasa cerpen, cuba-cuba dapatkan buku Kris Mas yang berjudul Perbincangan Gaya Bahasa Sastera (DBP 1988).  Menurut Kris Mas, gaya bahasa bermaksud cara atau ragam bahasa itu dipakai, khususnya dalam tulisan atau karangan (hal 13). Gaya bahasa juga dirujuk kepada gaya seseorang penulis menggunakan bahasa (hal.14).  Bagi Kris Mas, bahasa itu ialah perahu yang didayung oleh setiap sastrawan dan ditumpang oleh pembaca dalam pelayaran yang ingin mencari kebenaran (hal.16).

Prasyarat menghasilkan bahasa yang bain dalam cerpen

  1. Pemilihan kata

Bagi menghasilkan penulisan yang baik, pemilihan kosa kata yang tepat amat penting.  Kesilapan menggunakan sesuatu perkataan menyebabkan  pemahaman pembaca tersasar jauh daripada apa yang difikirkan oleh penulis.  Contonya perkataan lihat, tengok, intai, tinjau, tilik  semuanya menggambar apa yang dilihat oleh mata tetapi setiap perkataan memberi maksud yang berbeza.

  1. Pembinaan ayat yang mantap
Ayat yang baik lahir dari struktur yang betul.  Dalam tatabahasa bahasa Melayu  ada empat pola ayat yang mendominasikan pengolahan ayat.  Struktur itu ialah FN + FN,  FN + FS,  FN + FA  dan  FN + FK.

            Dalam penulisan karya sastera, penggunaan kata  diperindahkan dengan menggunakan  bahasa puitis.   Lihat bentuk gaya bahasa puitis dalam ayat di bawah.

(i)         Air sungai menyenak ke tebing.  Hujan semalaman menjadikan sungai sebak.  Arus deras menunda sampah sarap yang tesangkut pada tunggul-tunggul berceranggah di tepi tebing. (Dharmala N.S  Cerpen  Rakit)

Air sungai menyenak – personifikasi
Hujan semalaman menjadikan sungai sebak – Hiperbola
Arus deras menunda sampah - hiperbola

(ii)        Sago berasa kepedihan hatinya perlahan-lahan surut.  Dia teringat pada mimpi-mimpi yang memberi harapan lain saban malam sejak dua bulan terakhir ini. (Baharuddin Kahar, Cerpen Sempena Ganja Iras)

mimpi-mimpi yang memberi harapan lain - personifikasi
kepedihan hatinya perlahan-lahan surut -  imejan

  1. Dialog yang mantap

Dialog dalam cepen mempunyai fungsi yang besar menghidupkan penceritaan. 

(i) memperkenalkan watak
Dialog  memberi kesan kepada pembaca apabila dialog itu sendiri memperkenalkan watak-watak dalam penceritaan.  Sebagai contoh , lihat dialog di bawah.
            " Siapa dia? "
            " Namanya Pipah.  Tetapi dipanggil Pip saja.  Dia sekampung dengan saya.  Tapi sudah lama tinggal di KK."
            " Dia kerja apa? "
            " Setiausaha sebuah firma yang besar di sana.  Saya tidak tahu nama firma itu," kata Baitah.
            (Cerpen Sebuah Pekan Bernama Semporna karya Abdullah Hussein. Antologi SPBS, DBP hal. 128 - 129)

(ii) Dialog tanpa penjelasan

Dialog yang kemas tidak memerlukan keterangan suasana.  Memadai pembaca membaca dialog.  Pembaca sudah tahu  siapa yang berkata dan kepada siapa dia berkata. Lihat pula dialog dari cerpen Susanne dan Penyair yang pulang karya Zakaria Ali (Dewan Sastera; Ogos 1973: 1)

" Jebat, aku punyai sesuatu nak aku katakan padamu."
" Apa? "
" Tentang Leonard Weekend ini meyakinkan aku bahawa ia tetap cinta padaku."
" Dan kau memulangkan kembali cintanya? "
" Entahlah.  Aku sayang padanya'" bisik sussane.
" Tapi aku tak percaya aku cinta padanya sepertiia mencintai aku."


(iii) Dialog dengan penjelasan

Namun begitu, ada baiknya juga jika dialog itu diberi keterangan supaya pembaca benar-benar dapat memahami apa yang diceritakan oleh pengarang.  Saya mengambil contoh seperti dialog berikut.

" Aku akan megusulkan undi tidak percaya terhadap pucuk pimpinan parti," ujar Lavasqui secara tebuka sehari selepas berita itu tersiar di akhbar.
" Kau memerlukan dua pertiga majoriti ahli jawatankuasa pusat, Lavasqui," komen Dave.
" Aku telah mengira kau sebagai penyokongku yang pertama,"
Dave menyepi.  Dia cuma merenung tepat ke muka sahabatnya.

(iv) Menukar dialog kepada cakap pindah

Terdapat juga penulis yang menukar dialog kepada cakap pindah.  Contohnya Anwar Ridhwan dalam karyanya berjudul Di Negeri Belalang menulis begini.

Dia ditanya apa tujuannya datang ke kota mati itu.  Dia memberi jawapan bahawa dia tanpa tujuan sebenarnya dan tidak mengharapkan penemuan yang luar biasa.  Dia sudah terbiasa untuk menemui kekosongan dalam hidupnya. Itu, katanya sama seperti mendulang emas di kali yang memang tidak mempunyai emas.
            ( Novelet Di Negeri Belalang, Marwilis Publisher, 1989: 59 – 60)


4. Pelukisan

            Untuk memberi gambaran yang tepat, pengarang perlu menulis secara terperinci tentang sesuatu perkara.  Perincian penulisannya itu menyebabkan pembaca benar-benar berpuas hati .  Inilah pelukisan  bahasa dalam sesebuah karya sastera.
            Dalam novel terjemahan berjudul Perjuangan Sia-sia karya John Steinbeck (DBP, 1981) bahasa pelukisan ini digarap dengan baik.

            Akhirnya malam menjelang.  Di luar lampu-lampu jalan telah menyala dan lampu neon pada papan tanda restoran berkelip-kelip memancar sinar merah menyala ke udara.  Lampu neon di papan tanda itu melontarkan sinar merah redup ke bilik Jim Nolan.  Telah dua jam dia duduk di kerusi goyang kecil yang keras di bilik itu dengan melunjurkan kedua-dua kakinya ke lantai dan menepuk-nepuknya untuk menghilangkan rasa kebas itu menjalar naik dan turun hingga ke buku lalinya, kemudian dia berdiri lalu menyalakan lampu yang tidak bertudung dan kelihatanlah sebuah katil putih besar dengan cadarnya berwarna putih seperti kapur sebuah almari kayu oak berwarna keemasan dan permaidani merah bersih yang terhampar yang warnanya telah bertukar menjadi kecoklatan dengan tepinya yang meleding (hal. 1).
           
Perhatikan gambaran di dalam bilik itu dengan perabot yang sama sekali tidak diceritakan oleh pengarang.  Hanya sesudah lampu dipasang, baharu dapat dilihat dengan jelas keadaan bilik yang dihuni oleh Jim Nolan.






Latihan

Tandakan ( /)  menandakan anda benar-benar faham.

Frasa
metafora
hiperbola
Personi fikasi
inversi
alusi
Perlambangan
imejan
simili
Pipinya bak pauh dilayang








Laut fikirnya kembali bergelonjak








Semut menjerit menggegarkan langit








Dedaun kayu melambai mesra








Kau umpama bulan








Hatinya lara duka menanggung rindu








Dialah Hamzah yang syahid di medan Badar








Air matanya membanjiri pipinya








Kakinya mula bernanah, kuning hijau, hanyir dan membengkak








Dialah mawar berduri








Angin berlalu sahut menyahut








Dia membina projek gajah putih








Wajah rindu berpaut erat








Kaulah buaya tembaga yang mengganggu anak gadisku








Hatinya remuk bagaikan kaca terhempas ke lantai








Kotak rasanya mengandung kecewa








Api menjulang ke langit pertama








Embun pagi menyapu wajahnya








Rasa sakit menyucuk ke sudu hati, menyenak lalu menolak ke pusat otak











1.Gaya bahasa kiasan atau perbandingan.  Sifatnya ringkas, padat dan tersusun rapi.  Oleh itu, biasanya terdiri daripada dua perkataan.  Satu perkataan bersifat konkrit dan satu lagi bersifat mujarad (abstrak) yang menjadi pembanding.  Contohnya ialah ‘ laut fikir’ sebagai bandingan luasnya alam pemikiran.

[2] Sejenis gaya bahasa perbandingan menggunakan kata-kata tertentu.  Antara kata-kata yang digunakan untuk tujuan membandingkan dua perkara ini ialah ‘ seperti, bagai, bak, laksana, umpama.  Contohnya ‘ pipinya bak pauh dilayang.   Contoh lain iaitu, Dia kelihatan cantik bagai merak menggigal

[3] Gaya bahasa yang membawa pernyataan yang berlebih-lebihan.  Gaya bahasa sebegini cuba menekan suatu pandangan, pemikiran atau perasaan.  Contohnya dalam puisi karya Azmi Yusoff:
                Mengais mimpi hanyir

Di segenap ceruk kota

                Menyudu igauan hancing
                Di sentap pelosok bandaraya.
                Penggunaan perkataan “ mengais “ dan ‘ menyudu’ memberi gambaran kehidupan amat menderita melebihi keadaan menderita sebenarnya.

[4] Membalikkan kata sehingga berlaku penyimpangan dari segi tatabahasa.  Contohnya ungkapan ‘ Telah berkecai hancur hati lara duka’.  Sepatutnya dalam susunan tatabahasa yang betul ialah ‘ Hati duka lara telah hancur berkecai’. Pembalikan kata seperti ini bagi puisi bertujuan untuk menimbulkan kesan kelainan serta kesegaran pengucapan.

[5] Sejenis gaya bahasa perbandingan yang merujuk secara tidak langsung kepada sesuatu peristiwa, tokoh-tokoh atau karya sastera yang terkenal.

[6] Perbandingan antara dua benda atau hal yang berbeza tetapi dapat dinyatakan dengan  adanya sifat-sifat yang bersamaan.  Contohnya petir dan guruh dianalogi dengan kemarahan yang memuncak.  Walaupun dilihat kedua unsure ini berbeza, tetapi apabila dibandingkan dari segi persamaan nilai, persamaan itu dapat diterima.   


[7] Perbandingan antara dua benda atau hal yang berbeza tetapi dapat dinyatakan dengan  adanya sifat-sifat yang bersamaan.  Contohnya petir dan guruh dianalogi dengan kemarahan yang memuncak.  Walaupun dilihat kedua unsure ini berbeza, tetapi apabila dibandingkan dari segi persamaan nilai, persamaan itu dapat diterima.                      

[8] Imejan digunakan untuk menyatakan fikiran dengan lebih bertenaga dan imaginatif.  Imejan itu termasuklah ; perlukisan, perbandingan, pertalian, penekanan dan alusi.

[9] Perlambangan berfungsi untuk melahirkan makna sesebuah karya sastera pada tahap luaran dan dalaman. Ada pengarang yang menggunakan perlambangan tradisional seperti “ Putih “ melambangkan suci. Ada juga yang menggunakan perlambangan peribadi yang dibinanya sendiri. Umpamanya S.Othman Kelantan (Juara) menggunakan “ lembu “ untuk melambangkan politik.