SEJARAH PEMBUKAAN PETEMPATAN DI RAUB




Oleh
(Hasanuddin Bin Md Isa)


Catatan ini adalah kertas pembentangan dalam Pengkisahan Sejarah Raub Pada Program Pelancaran Sahabat Perpustakaan Awam Daerah Raub dan Sambutan Hari Kebangsaan pada 27 Ogos 2015. Pengkisahan ini ditumpukan kepada pertumbuhan kampong-kampung awal di daerah Raub.




Pendahuluan

Pengkisahan tentang Raub tidak dapat disebut seperti pembukaan  petempatan berpusat lalu di sekeliling petempatan itu tumbuh petempatan penduduk.  Kajian sejarah menunjukkan petempatan penduduk di daerah ini  berkembang melalui peranan tokoh-tokoh tertentu yang membuka kampung-kampung kecil  di sepanjang Sungai Lipis .  Selain itu, dalam perkembangan  seterusnya, kampung-kampung kecil  berkembang seiring dengan pembangunan ekonomi setempat.

Petempatan Penduduk Terawal di Hulu Pahang
            Negeri Pahang Darul Makmur sebelum kemasukan Inggeris  tidak mempunyai  sempadan daerah seperti yang wujud sekarang ini. Sistem pemerintahan pada  waktu itu dilaksanakan dengan melantik pembesar-pembesar menguruskan sesuatu kawasan.  Contohnya sepanjang Sungai Lipis dilantik  seorang pembesar bergelar Orang Kaya Lipis. Di sepanjang Sungai Jelai ditadbir oleh Orang Kaya Perba Jelai.  Begitulah seterusnya di setiap kawasan diperintah oleh pembesar yang dilantik oleh pemerintah Pahang.
            Petempatan terawal penduduk di Ulu Pahang dikesan bermula di Lubuk Lela, Benta  sekitar tahun 1495.  Pelantikan Tun Ismaun sebagai Orang Kaya Lipis yang pertama oleh pemerintah Pahang menjadikan Pekan Benta pusat perdagangan sungai pertama di Hulu Pahang. Lubuk Lela menjadi pengkalan dagang bagi barrang logam seperti emas, perak, hasil hutan dan bahan makanan.  Tun Ismaun berasal dari istana  Perak mempunyai kekerabatan dengan pemerintah Melaka yang menaungi negeri Pahang. Beliau meninggal dunia di Lubuk Lela dan dimakamkan di situ.

            Sekitar tahun 1518, Raja Muhamad  ( Baginda Demu) dari istana Perak turut membuka  Lubuk Yong, Batu Kurau , Kuala Lipis.  Kedatangannya ke hulu Pahang dikaitkan dengan  pertelingkahan mendapatkan takhta kerajaan Perak pada masa tersebut.  Beliau merupakan anak saudara kepada Tun Ismaun yang diangkat pemerintah Pahang pada waktu itu sebagai  Orang Kaya Lipis Pertama di Lembahan Sungai Lipis.
            Selain itu sekitar 1567, Seri Maharaja Perba Jelai Pertama yang berasal dari Pagarruyung, Minangkabau   telah membeli sejalur tanah daripada Sultan Abdul Ghafur Mohaidein Shah iaitu Sultan Pahang   dengan harga ‘ segantang ulang aling emas, satu dasar bali isi emas dan sesuku tangan  baju isi emas ‘  lalu mendirikan pemerintahan  di Bukit Betong. Beliau dikenali dengan gelaran Raja Bukit Betong.

Sejarah Pertumbuhan petempatan penduduk.
            Bermula daripada 3 buah pusat pertempatan ini, petempatan penduduk melebar  di kiri kanan Sungai Lipis dan Sungai Jelai.  Di Lembahan Sungai Lipis , pertempatan awal di Lubuk Lela, Benta  telah berkembang ke Budu ketika  Tun Bandu Sulaiman bin Tun Ibrahim   menjadi Orang Kaya Lipis ke-4 sekitar tahun 1580M, petempatan penduduk  berkembang di muara Sg. Lipis bergerak ke hulu, melewati Kg. Salang, Kg. Rengai, Kg. Budu, Kg.Tg. Besar, Kg. Tera@Kg. Kemesar.   Pada sekitar 1679M, ketika Tok Kaya Ibrahim bin Tok Kaya Kasar  menjadi  Orang Kaya Lipis ke-10 yang bertempat di Budu , petempatan penduduk semakin bercambah di kiri kanan Sungai Lipis.   Antaranya ialah:

Kampung Sega Lama
Kampung Sega Lama  dibuka  oleh  Tok Alauddin bin Baharudin bin Tok Mansor Bugis.   Akan anak Tok Alauddin ini yang bernama Tok Shabudin berkahwin dengan Tok Itam Radhiah iaitu  anak Tok Mat Amin, Penghulu Sega .Sesudah kewafatan Tok Mat Amin, Tok Shabudin ini  mewarisi urusan kepawangan bagi sealam-alam Sega. Kampong Sega Lama ini melebar ke kawasan   Saen, Chenua,    Lubuk Petai dan apabila jalan raya dibina selepas kemasukan Inggeris ke Pahang, kampung ini melebar ke Sega Tat dan Jeruas.  


Kampung Batu Talam
            Kampung Batu Talam telah dibuka oleh Tok De Abdul Rahman   .  Beliau ialah adik kepada Orang Kaya Lipis ke-11 iaitu Tok Kaya Chandak anak Itam Mas Pahang anak Tok Kaya Ibrahim.  Kedudukan  Batu Talam di hulu Sungai Lipis menjadi tempat transit perdagangan darat ke Sungkai dan Slim River di Perak.  Aktiviti menarik kerbau , menjual logam Emas dan Bijih Timah untuk dijual ke Perak menjadikan kampong Batu Talam ini sangat penting .   Pusat petempatan di kawasan kampong Pulau hingga ke kuala Alor Bekil .                      
Ketika   hayat Tok Kaya Chandak, Orang Kaya Lipis ke-11 ini, beliau datang menziarahi adiknya, Tok De Abdul Rahman.  Dengan takdir Allah, beliau meninggal dunia di Batu Talam. Peristiwa itu berlaku kira-kira di sekitar tahun 1747M  dan jenazah beliau dimakamkan di kampong Pulau, Batu Talam.  Pada tahun-tahun 1970-an, Tun Ghazali Shafi’e pernah menziarahi kuburan ini.  Ini disebabkan Tok Kaya Chandak ini adalah dari keturunan Tok Kaya Chandak ini  ( Ghazali  anak Nah anak Tok Kaya Sintol anak Tok Kaya The anak Wan Idris anak Inah anak Tok Kaya Chandak.)
            Kampung Batu Malim tumbuh sesudah Kampung Batu Talam pesat berkembang.  Tok Malim ( tidak dapat dikesan keturunannya) didakwa sebagai pembuka kampong ini (catatan Zakaria Hitam). Sementara Kampung Hulu Sungai mulai dibuka oleh Pahlawan Pahang yang balik dari perang saudara di Selangor  pada  1870M. 

Kampung Tersan
            Sementara itu, Imam Mat Amin bin Tok Malik bin Ngah Endik bin Muhamad Ali Jaafar bin Raja Muhamad (Baginda Demu) telah membuka Kampung Tersan sekitar 1680M.   
           Tok Mat Amin dan anak buahnya menyusur mudik Sg. Lipis dari Kampung Pagar, Penjom, Kuala Lipis, Pahang. Berhenti di suatu tanah pamah sebelah kiri mudik yang penuh ditumbuhi oleh perdu perdu buluh aur, lalu membuka kampung halaman di situ. Terus tempat itu dinamakan Kampung Tanjung Aur. Ke daratan Sg. Lipis yang ditumbuhi buluh aur itu didapati pamah dan lembah, amat sesuai dijadikan sawah / paya padi. Lalu Tok Mat Amin mengajak anak buahnya menebas-nebang kawasan itu untuk dijadikan sawah/paya padi. Terdapat tanah masin yang digelar jenud tempat binatang datang menjilat di situ. Tanah masin itu boleh menyuburkan semua jenis tanaman termasuk padi. Ke darat lagi terdapat dua alur air yang kemudiannya dinamakan Sg.Buluh dan Sg Ketiar, lalu kedua dua alur itu disatukan menjadi parit besar ala terusan terus ke Sg. Lipis. Terusan itulah yg membekalkan air ke sawah padi mereka. Sempena terusan itulah wujudnya sebuah lagi kampung bernama Kampung Tersan.
            Terdapat kampung-kampung kecil dalam kawasan kampung Tersan ini.  Antaranya ialah Tanjung Aur, Lubuk Rom, Lubok Landas dan Kelebor . Bagi menjaga kepentingan dan kebajikan kampung Tok Mat Amin dilantik sebagai Penghulu sekaligus menjadi Imam dan Pawang.   Beliau menjalankan tugas dan tanggungjawab  urusan keagamaan  setempat dengan persetujuan Bendahara Pahang. 

Kampung Kuala Atok
            Apabila penduduk  kampung Tersan semakin ramai, kawasan berpaya semakin kurang.  Oleh itu cucu kepada Imam Mat Amin bernama Imam Long  telah membuka Kampung Kuala Atok sekitar tahun 1760M.  Beliau bersama-sama anak-anaknya yang bernama Hj. Derapor, Khatib Ipeh, Lebai Yat dan Dayang .
            Memandangkan kawasan kampung ini  sangat subur  untuk kerja pertanian, kampung ini sanak saudara Imam Long membuka kampung-kampung kecil di Kuala Atok.  Antaranya ialah Kampung Bukit Atok dibuka oleh Tok Teh bin Tok Sebudin., Kampung Merang dibuka oleh Tok Sitam ( Abdul Karim) bin Imam Janai bin Wan Husin (Tok Dahalek).
            Sesudah perang saudara di Selangor, beberapa kampung kecil dibuka lagi dalam wilayah Kuala Atok ini.  Antaranya ialah Kampung Peranggan dibuka oleh Panglima Juan bin Bilal Muhamad.  Kampung Olok Empang  pula dibuka oleh Panglima Abdul Rahman bin Panglima Juan.  Panglima Abdul Rahman .  Kampung ini berkembang melebar ke Jenud, Ulu Arang  dan Ulu Atok.  Pada sekitar tahun 1892,  Panglima Abdul Rahman ini diangkat sebagai   Ketua Kampung Kuala Atok yang pertama.

Kampung Sengkela
            Diriwayatkan bahawa Yamtuan Raja Pangkat 1 @ Datuk Bendahara Putih Tuan Titah Ke-10 yang juga Orang Besar Anggota Dewan Besar Empat Balai Kerajaan Pagarruyung bergelar Tuan Titah Sungai Tarab yang merangkumi Gunung Merapi dan Gunung Singgalang di ranah Minangkabau, Sumatera berasal daripada keturunan Raja Pagarruyung dari jurai keturunan Yamtuan Raja Berkilap Alam @ Yamtuan Raja Gara @ Raja Bagewang 3 @ Datuk Bendahara Putih Ke-7 @ Sultan Alif Khalifatullah Fil ‘Alam 1 telah memperoleh seorang putera sekitar tahun 1683 Masihi dan diberi nama Raja Ahmad.
            Dalam perjalanan yang jauh, beliau berkampung di Bukit Segumpal, Temerloh  dan kemudian dengan izin Penghulu Sega, beliau bermukim di Gesing.  . Apabila siap hutan dipugar, pengikut-pengikut Tok Prak pun membina rumah pisang sesikat, sebahagian di Sengkela, Raub dan sebahagian lagi di Gesing, Raub. Isteri Tok Prak yang bernama Nuriah itu memilih untuk membina rumah dan menetap di Gesing, Raub bersama anak-anaknya.
            Di sini jugalah sekitar tahun 1756 Masihi, Tok Prak yang berusia 73 tahun beroleh isterinya yang kedua bernama Mikrah iaitu anak jati Kampung Terap, Budu, yang juga masih berketurunan Datuk Kaya Ibrahim Terap, Budu, Lipis. Jurai keturunan Tok Mikrah ini ialah Tok Mikrah anak Tok Kaya Busu anak Tok Kaya Chandak anak Tok Kaya Ibrahim yang bernikah  . Bermula dari sinilah terjalinnya ikatan kekerabatan yang amat dekat lagi meluas dalam kalangan penduduk Hulu Pahang yang bertebaran di semua mukim dan kampung-kampung dalam daerah Raub dan Lipis bahkan merebak hingga ke Jerantut dan Temerloh melalui ikatan perkahwinan generasi terkemudian.
            Daripada perkahwinan ini Raja Ahmad @ Tok Prak beroleh tiga orang anak iaitu Pandak Lena, Fatimah dan Kulop Mat Daham.
            Tok Pandak Lena berkahwin dengan seorang perempuan, orang Temau mendapat anak seorang perempuan hanya diketahui panggilannya Tok Ne bernikah dengan Tok Dagang Buyut. Hasil pernikahan itu memperoleh zuriat anak lelaki diberi nama Tok Dagang Busu.

Kampung Gesing
            Akan  kesampaian   Tengku Muda Khairul Alam bin Tengku Badrul Alam(Raja Muda  Padang Nunang)  dan  sepupu  Baginda Tengku Umbak binTengku Tialam dari  padang  Nunang   dan pengikutnya  ke mukim  Sega  disambut dengan  gumbira oleh Tok Muhamad bin Tok Aya binTok De Abdul Rahman anak Itam Mas Pahang anak    Orang Kaya Ibrahim  yang menjadi Penghulu  Sega  pada waktu  itu.  Akan  berita berundurnya  Tengku Khairul Alam dari  kerajaan di Padang Nunang setelah  diusir Belanda dalam perang Paderi di Rao (1832) telah sampai awal dibawa  orang Rao ke Sengkela dan Sega.
            Untuk  mengikat kasih penduduk  mukim Sega, dinikahkan  oleh Tok Muhamad  akan Tengku Muda Khairul Alam yang sudah berusia itu dengan  Jeleha.   anak Aminah (suaminya Lebai Diman)  iaitu jugalah anak sepupu Tok Muhamad .  Akan Jeleha  itu telah mempunyai anak bernama Mohd Salim  dan Fatimah  dengan  suami pertamanya  dahulu (Hj. Abd. Manan) .  Mereka diberi tanah  berhampiran Gesing dan kemudian hari dikenali sebagai  Kampung Tanjung Raja.   Pernikahan itu berlaku sekitar 1839 di Gesing . Baginda  memperoleh seorang anak dinamakan  Tengku Abdul  Samad.  Maka diamlah Baginda di Gesing  dan tempat diamnya itu dipanggil orang Kampung Gesing.  Tengku Muda  Khairul Alam meninggal dunia setelah beberapa  tahun  menetap di Gesing  dan dikebumikan  di Tanah Perkuburan di situ (kubur  baginda tidak wujud  lagi kerana  hakisan tebing  sungai  menghanyutkan kawasan  kuburan baginda itu.)
            Akan sepupu  Tengku Khairul  Alam,  Baginda Tengku Umbak binTengku Tialam dari  padang  Nunang   ini dijodohkan oleh Tok Muhammad dengan  Siti Ajar  anak Aminah,berzuriat dia anak bernama Tengku Rashiah, Raja Fatimah dan Raja Puteri.
           
Pembukaan Kampung Temau
            Kampung Temau dibuka sekitar tahun 1804M iaitu pada masa Tengku Koris ibni Bendahara Paduka Raja Abdul Majid memerintah Pahang.  Kampung ini dibuka oleh 4 orang tokoh Kampar iaitu Datuk Paduka Raja, Tan Fakeh Ali (adik Datuk Paduka) ,  Tan Ibrahim dan Datuk Baginda.
            Akan Datuk Paduka Raja berkahwin dengan Halimah anak Tok Perak di kampung Gesing.  Tan Fakeh Ali berkahwin dengan Yang Madunah binti Panglima Jabaringin, cucu Tok Perak.  Tan Ibrahim pula berkahwin Banum binti Daeng Bugis, juga cucu Tok Perak.  Datuk Baginda berkahwin dengan dengan Maimunah , juga cucu Tok Perak di Gesing
            Selain empat tokoh ini, Disebut juga Haji Abdullah Malim Pendita dan Tengku Ali @ Tok Shaharom (ayah Tok Gajah) turut bersama-sama membuka kampung Temau.


Pembukaan Kampung Sungai Jahit
            Ada pun Hj. Salim anak Jeliha anak Tok Aki anak Tok De anak Itam Mas Pahang anak Tok Kaya Ibrahim waktu itu tinggal di Ajai; akan anaknya bernama Muhamad Sidik dihajat oleh Tok Keli, Penghulu Mukim Sega hendak dikahwinkan dengan orang Sega. Namun Muhamad Sidik berkehendak bernikah dengan Mas Da anak Tujuan Saka orang Temau.
            Hal ini dimaklum oleh Hj. Salim ayah Muhamad Sidik kepada Tok Keli. Akan Tok Keli tidak menghalang kerana Tujuan Saka itu orang terbilang dan beragama dari tanah seberang. Selain itu, abang Tujuan Saka bernama Fakeh Khalifah itu telah bernikah dengan    keturunan Baginda Demu ( Tok Ba binti Abu Samah binti Malek bin Tok Mat Saleh bin Ngah Endik bin Muhamad Ali Jaafar Sidek bin Raja Muhamad @ Baginda Demu)  yang tinggal di Budu. Akan Tok Keli,  Penghulu Sega itu juga ada bernikah isteri kedua dengan orang Rawa di Temau melahirkan anak lelaki bernama Mohd Taibi
            Maka dipinang oleh Hj. Salim akan Mas De. Sewaktu hendak dibuat kenduri, dibincangkan adat berkenduri itu dengan Tok Keli.    “ Tidakkah jadi salah kita Datok pada undang-undang Pahang membuat kenduri bersebelahan ini?“
            Maka kata Tok Keli, “ Kalau dengan suruhan sahaya begitu, Tuan Haji buat sahajalah begitu. Tinggal lagi apa-apa hal sahaya akan bertanggungjawab.”
            Lalu dibuatlah kenduri di sebelah keluarga Hj. Salim. Demikian hal itu menjadi perkara pertama-tama berlaku dalam mukim Sega.            Ada pun Hj. Salim itu ialah Tuan Kadi yang pertama dalam wilayah Raub. Dia juga adalah abang tiri kepada Tengku Abdul Samad yang kemudiannya beranakkan Tengku Kudin yang menjadi Penghulu Mukim Gali yang pertama
            Setelah berlaku perkahwinan itu, Tujuan Saka memberi maklum kepada Tok Keli akan hajatnya hendak membuka tanah paya di Kuala Sg. Jahit. Maka dipersetujui oleh Tok Keli. Selang beberapa lama selepas perang Gali (1870), Muhamad Arif anak Tujuan Saka (adik beradik Mas Da) diberi surat kebenaran membuka kampung di Kuala Sungai Jahit. Sebahagian kawasan kampung yang diberi kebenaran itu diberi pula oleh Muhamad Arif kepada sepupunya bernama Hajah Sarifah anak Fakeh Khalifah.

            Maka masa membuka Kuala Sungai Jahit itu hampir bersamaanlah dengan masa  Tengku Abdul Samad  membuka Kampung Durian Sebatang   sekitar tahun  1870.

Pembukaan Kampung Gali
Sekitar 1830-an, Panglima Tegu  dan Panglima Balang Alam bersama-sama ramai orang Minangkabau menetap di Gali.  Untuk keharmonian  kehidupan, diangkat Panglima Balang Alam sebagai ketua masyarakat minangkabau di Gali.  Akan kehadiran mereka yang ramai ini dimaklumkan kepada pemerintah Pahang.  Dengan  keadaan itu, Wan Long ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir telah mengutus surat mengutip cukai kepada penduduk  Gali pada 30 Disember 1859M. Urusan cukai itu kemudiannya tertaklok di bawah kuasa Tok Kaya Teh, Orang Kaya Lipis  ke-14  (1863 – 1882 ).  Sesudah perang saudara Pahang, Tengku Abdul Samad dilantik sebagai Penghulu Gali yang pertama.  Beliau meninggal dunia pada 1924 dan jawatan Penghulu Gali disandang oleh anaknya Tengku Kudin.
           
Kampung Raub
Sekitar tahun 1882M, Tengku Laksmana itu berasal dari Natar, Pagar Ruyung di Sumatera mengembara bersama anaknya melalui Kuala Kubu, Selangor mengikuti alur sungai dalam hutan belantara menuju ke sini. Setelah sekian lama mereka mengembara, di tebatan. Apabila sampai di kawasan tersebut Laksamana mendapati sesuai untuk membuka petempatan. Kedua-dua tebing tobak itu cantik kerana tanahnya berpasir dan menarik.
Kawasan itu sekarang merupakan padang besar Majlis Daerah Raub. Tengku Laksamana  membuka kawasan perkampungan mereka menanam pelbagai sayur-sayuran di tebing tanah berpasir itu. Dalam masa yang sama mereka mencari rotan, damar, getah jelutung dan memburu binatang berhampiran kawasan hutan. Pada satu hari Laksmana Alang Shah dan anaknya berhasrat untuk membuat gula paku lalu mereka ke tebatan tersebut lalu mencabut sepohon paku. Apabila pasir yang melekat itu bederai kelihatan serbuk emas. Sejak itu Laksmana dan anak buahnya meraub pasir dan tanah berlumpur disepanjang tebing sungai itu untuk mencari emas. Setiap kali meraub mereka amat gembira mendapat emas. Sebuah masjid dibangunkan di perkampungan ini pada 1898M.

            Dengan adanya bijih emas yang berharga itu, kerajaan Pahang pada zaman Inggeris telah memajak usaha perlombongan emas ini kepada anak raja Selangor iaitu  Raja Impeh bin Raja Abdullah  (menantu Tengku Abdul Samad- Penghulu Gali) dan abangnya Raja Ismail bin Raja Abdullah.  Mereka menjalankan aktiviti perlombongan di kawasan Sempam. Namun begitu konsesi perlombongan itu tidak lama disebabkan kos operasi yang tinggi. 
Kerajaan Pahang memajakkan operasi pengeluaran emas ini kepada  Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine. Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.
Kaedah perlombongan yang dijalankan di daerah Raub adalah kaedah bawah tanah ( shaft mining) dan ia dimulakan di Lubang Raub (Raub Hole). Operasi perlombongan di   Bukit Koman dan dipercayai perlombongan telah meliputi kawasan bawah tanah hingga ke bandar Raub. Kawasan bawah tanah antara pekan Bukit Koman dan bandar Raub adalah berlubang dan ini meninggalkan kesan yang buruk kepada pembangunan fizikal bandar. Hingga kini Raub tidak boleh mendirikan bangunan-bangunan tinggi.
Bukit Koman berkembang sebagai Bandar kecil dan   menikmati pelbagai kemudahan selepas R.A.G.M. memulakan kegiatan. Antaranya jalanraya yang menghubungkan bandar Bukit Koman dengan daerah Raub dan dengan Kuala Lumpur, rumah sembelih binatang, kedai, bekalan letrik dan berek tempat tinggal untuk para pekerja dan sebuah sekolah rendah berpengantar bahasa Cina, Yuh Hwa yang dibina pada 1907. Ia disifatkan sebagai sekolah kebangsaan Cina kedua tertua di Malaysia.
Ancaman Komunis di semenanjung dan khususnya di daerah Raub pada tahun-tahun 40-an menyebabkan langkah-langkah diambil untuk mendirikan penempatan-penempatan baru. Hasilnya muncul kampung-kampung baru yang kekal hingga ke hari ini. . Kampung-kampung baru tersebut ialah Cheroh (1948), Sang Lee (1948), Sungai Ruan (1948), Sungai Chetang (1948), Bukit Koman (1949), Sempalit (1950), Sungai Lui (1950), Tras (1950) dan Sungai Klau (1960).

-       TAMAT           -

















Lampiran
Senarai Orang Kaya Lipis
INSTITUSI "ORANG KAYA LIPIS@TOK KAYA LIPIS" asalnya di LEMBAH SG. LIPIS (PAHANG).  Hubungan antara INSTITUSI ORANG KAYA LIPIS dan LEMBAH LIPIS tidak dapat dipisahkan. 

Kedudukan
Nama
Anggaran Tahun Pemerintahan
1.      
Tok Kaya HANG SEMAUN BIN HANG TUAH

1488
2.      
Tok Kaya ABDUL HAMID

1517
3.      
Tok Kaya ABDUL RAHMAN

1535
4.      
Tok Kaya BANDU@TUN BANDU@TUN SULAIMAN BIN TUN IBRAHIM
1565
5.      
Tok Kaya Muhammad

1619
6.      
Tok Kaya Abdul Hamid II

1635
7.      
Tok Kaya Kasar

1653
8.      
Tok Kaya Abdullah Hashim

1660
9.      
Tok Kaya Talib 


10.    
Tok Kaya Chandak

1700
11.    
Tok Kaya Busu

1747
12.    
Tok Kaya Hassan

1799
13.    
Tok Kaya Teh@Wan Teh (1863M) bin (Wan) Deris bin Wan Hassan
1863
14.    
Tok Kaya Sentol@Wan Sentol bin Tok Kaya Teh@Wan Teh

1878
15.    
Tok Kaya Awang Perang bin Tok Kaya Sentol@Wan Sentol

1912
16.    
Tok Kaya Mahmud bin Mat (Dato' Mahmud bin Mat - Pekan)

1927
17.    
Tok Kaya Abdul Razak Hussein (Tan Sri Abdul Razak bin Hussein).

1974


Senarai Penghulu Sega
Kedudukan
Nama
Anggaran Tahun Pemerintahan
      I.         
Tok Mat Amin Bin Tok Malik
1680
     II.         
Tok Muhammad bin Tok Aya
1768
    III.         
Tok Keli bin Tok Muhamad
1853
    IV.         
Tok Imam The bin Tok Keli
1887
     V.         
Muhamad Saman bin Abdullah
1892
    VI.         
Muhamad Dahan bin Imam Teh
1904
   VII.         
Pilus bin Long Taib
1928
  VIII.         
Yaakob bin Hasan
1945
    IX.         
Syed Abdul Rahman  Bin Syed Muhamad
1965
     X.         
Bahauddin bin Ahmad
1974
    XI.         
Ahmad bin Alang
1982
   XII.         
Othman bin Husin
1993




Senarai Penghulu Dong
Kedudukan
Nama
Anggaran Tahun Pemerintahan
1.      
Tan Pakeh  Ali
1810 - 1820
2.      
Tan Ibrahim
1820 - 1820
3.      
Hj. Muhamad Baki
1820 -1870
4.      
Imam Perang Hj. Yusof bin Tan Ibrahim
1870 - 1914
5.      
Tok Muda Hasan bin Salleh
1914 - 1920
6.      
Tok Muda Bakhtiar bin Tok Muda Hasan

7.      
Tok Muda Muhd Amin bin Tok Muda Hasan

8.      
Mahmud bin Tok Muda Bakhtiar


Senarai Penghulu Batu Talam
Kedudukan
Nama
Anggaran Tahun Pemerintahan
      I.         
Tok Muda Raja Zuhri bin Raja Daud

     II.         
Tok Muda Raja Darman bin Tok Muda Zuhri


NOVEL BERJUDUL ‘ CEBISAN MANTERA TERAKHIR ‘ ITULAH YANG DINILAI BAGI ANUGERAH NOVEL BERUNSUR ISLAM HADIAH SASTERA DARUL MAKMUR 2015


Foto Hasanuddin Md Isa. Saya mengambil masa hampir 8 tahun untuk mengkaji alam kebatinan Melayu yang bersifat aneh itu. Namun hal itu tidak menyusahkan kerana sebagai seorang Melayu, memang sebahagian sifat kebatinan Melayu itu dalam pengetahuan saya. Novel ini mengutip banyak pandangan Pawang-pawang Melayu, pengamal perubatan Islam dan petuapetua lama orang Melayu untuk kelangsungan kehidupan.
Lalu dalam satu pemilihan nashkah manuskrip yang dibuat di Rumah PENA, Kuala Lumpur, pihak PENA – ITBM melalui penilaian yang ketat telah menerima manuskrip novel ini dan novel ini diterbitkan di ITBM pada 2012. Majlis pelancaran novel ini dilaksanakan di Hotel Primula, Kuala Terengganu bersama-sama karya penulis Pantai Timur yang lain. Novel ini dimasukkan dalam saringan Hadiah Sastera Perdana 2013 dan disenaraikan dalam kelompoh 5 nashkah terbaik bersama-sama , Dukana karya Ruhaini Matdarin (ITBM), Dukhan Langir Akhir Zaman karya Osman Ayob (ITBM), Kininaru karya Amelia Hashim (DBP), Loagan Bunut karya Dahiri Saini (DBP), Kalam Kalbu karya Sri Rahayu Mohd. Yusop (ITBM). Akhirnya pada tahun tersebut , novel Kalam Kalbu karya Sri Rahayu Mohd. Yusop (ITBM). Diangkat sebagai pemenang. Seterusnya pihak DPMP telah mengangkat novel ini dalam satu majlis Bicara Buku di Perpustakaan Awam Temerloh. Allahyarham Rahimidin Zahari telah membicara kandungan buku ini dengan bersungguh-sungguh.

Membaca novel CEBISAN MANTERA TERAKHIR membawa fikir pembaca kepada satu dimensi hidup masyarakat Melayu yang mempunyai senjata ampuh hasil mengenal hakikat diri yang lemah di sisi Penciptanya. Pembaca disajikan dengan kisah mengenai dunia kepawangan yang jarang sekali dapat ditemui pada abad ini. Novel ini juga menyentuh aspek berkaitan ilmu kebatinan serta hakikat dan makrifat yang terkandung dalam ilmu itu sendiri.
Saya memulakan penulisan novel ini dengan monolog yang perlu dihadam oleh pembaca sebagai satu permulaan untuk perjalanan penceritaan yang sarat mengenai ilmu kehidupan. Pengarang juga sempat melontarkan soalan “Apakah kehidupan ini hanya menunggu pagi tibanya petang? Atau tersingkapnya dinihari?" Persoalan ini menjadikan pembaca perlu mengerti akan sebab penghidupan di alam ini. Seterusnya, saya memberi sedikit huraian mengenai pengertian mantera agar mudah difahami oleh pembaca apabila memulakan pembacaan.

Pengkisahan diteruskan dengan menceritakan perihal Jamin, seorang siswa tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia, buntu dalam menentukan tajuk tesisnya dikejutkan dengan berita kematian bapanya. Sebagai seorang anak yang sayang terhadap bapanya, Jamin mencari punca kematian bapanya iaitu Pawang Cha. Perbincangan antara Jamin dan kedua abangnya iaitu Badin dan Resedan akhirnya membongkar punca kematian Pawang Cha yang mati akibat disantau. Punca kematian tersebut membuatkan Jamin menyuarakan kepada kedua abangnya bahawa dia akan melakukan qisas terhadap siapa yang menyantau bapanya itu. Tetapi perkara tersebut ditolak oleh Badin dan Resedan dengan beralasan bahawa kematian Pawang Cha itu sudah ketentuan Ilahi.Dari sinilah pengarang mengembangkan penceritaan sehingga ke pengakhiran.

Jamin meminta bantuan daripada semua pawang untuk mempelajari segala ilmu yang pernah diamalkan Pawang Cha. Jamin memulakan pembelajarannya dengan Pawang Ki, yang mana Jamin lebih banyak mengajar kepada Pawang Ki dan tidak seperti yang sepatutnya. Seterusnya, Jamin berjumpa pula dengan Pawang Yorr yang merupakan pawang pendesaan Buntu di kaki Banjaran Titiwangsa dan sangat hebat dalam meramu santau. Pawang Yorr banyak mengajar Jamin Ilmu berkaitan pembuatan santau. Pawang Yorr semakin bersemangat untuk membantu Jamin apabila Jamin telah menyelamatkan dia daripada dipatuk ular ketika mereka mencari ramuan untuk membuat santau.

Pada masa yang sama, Jamin turut menyiapkan tesisnya yang berkait rapat dengan dunia kepawangan. Dia berjaya menarik minat pensyarahnya iaitu Prof. Sebudin yang sebelum ini menolak tesisnya yang pertama kerana tesis kedua ini lebih terperinci . Dalam proses Jamin menyiapkan tesisnya, dia “sambil menyelam minum air” kerana sempat mempelajari ilmu daripada orang sumber antaranya Haji Samad dan Mat Zin. 

Setelah segala persediaan lengkap, Jamin memulakan serangan terhadap Pawang Tunggal yang membuat angkara menyantau Pawang Cha. Pengarang dengan bijaksana membuatkan pembaca seperti melihat pertaungan itu seperti berlaku di dunia realiti yang pada hakikatnya ia terjadi dalam dunia kebatinan dan menyebabkan Pawang Tunggal diserang kepanasan kesan daripada serangan santau yang dihantar oleh Pawang Yorr. Akhirnya, Pawang Tunggal datang ke wilayah Atoki dengan tujuan untuk memohon maaf dan mengubati penyakit yang menyerangnya. 

Novel ini secara keseluruhannya menyentuh mengenai kehidupan masyarakat Melayu yang sebenar, kerana banyak mendedahkan sikap orang Melayu yang suka berdengki terhadap kelebihan orang lain. Pengarang turut membuka mata pembaca bahawa santau adalah suatu senjata kepada orang Melayu dalam membalas dendam dan perkara tersebut berlaku sehingga ke hari ini.
Sebenarnya penulisan novel ini sekadar satu cara berkongsi kaedah penjagaan diri. Termasuk jugalah dalam soal pengalamal wirid-wirid yang disertakan dengan dalil-dalil hadith yang membolehkan pembaca yang beragama Islam mengamalkannya tanpa ada ragu.

ANUGERAH SASTERA DARUL MAKMUR 2015


Foto Hasanuddin Md Isa. Terima kasih kepada Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) atas jemputan menghadiri Anugerah Sastera Darul Makmur. Majlis bakal dijalankan pada malam ini , jam 8.30 malam di Dewan Perdana, Hotel MS Garden Kuantan mengumpulkan karyawan anak Pahang dan pengiat kesusasteraan. Untuk pertama kali dalam sejarah penulisan di negeri Pahang, beberapa anugerah bakal disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang.

Seawalnya dikalungkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas segala biaya, sekalung tahniah kepada Urusetia Anugerah Sastera Darul Makmur yang sangat dedikasi, tidak dilupakan kepada semua rakan penulis; jadikanlah peristiwa ini sebagai ' bench mark ' kegemilangan kesusasteraan di Negeri Pahang dan bersama-samalah menghasilkan sebanyak mungkin karya. Pahang adalah negeri kandungan ria. Di sini ada gunung berbanjar-banjar, bukit bukau cerun merencam, ada tasik sesayup memandang, ada laut berlepas pandang, ada lembah penyubur tanaman. Pahang dengan segala sejarah duka suka dan penduduk berbilang-bangsa membekal segala ilham buat penulis mengukir kata mendamaikan nusa.


a

BIDAK-BIDAK DI PAPAN PERJUANGAN

(Sebuah Catatan Anakanda Muhamad Hisyamuddin bin Baharudin di laman FB beliau)

Mampukan kita melahirkan pemimpin yang bersih daripada najis politik
Karya ini sudah lama terbit, baru kini berkesempatan menghabiskan bacaannya. Kepada orang² politik yang hendak merebut jawatan parti, penasihat² yang entah setia atau tidak, strategis² yang mungkin menghalalkan cara, serta jiwa² besar melihat perpaduan di atas politik - wajar membaca karya ini dan cuba kaitkan dengan diri sendiri.

Tahniah Pakcu Hasanuddin Md Isa atas karya yang hebat ini.
Catatan² menarik:

* Perjuangan itu tidak semestinya duduk di atas kerusi kepimpinan
* Nepotisme jika mengelompokkan ahli keluarga untuk membolot segala peluang ekonomi

* Demokrasi tidak pernah menghadkan umur dan nilai penghormatan manusia

* Kuasa itu cuma alat untuk membolehkan satu perubahan dibuat

* Politik itu seperti permainan catur, orang² yang terlibat di dalam politik ini seperti bidak-bidak

* Kita perlu kembalikan sifat kemanusiaan di dalam politik

* Politik itu bukan satu ilmu yang beku, politik ini satu pergerakan ke arah perubahan

* Masalah politik apabila masing² pemimpin mahu menjadi manusia yang diagung²kan tanpa batasan

* Dalam perjuangan semua kepentingan diri perlu dilenyapkan

* Tunaikan kewajipan sebagai pengundi di dalam pilihanraya umum

* Berpolitik itu tidak salah, yang salahnya menghambakan diri kepada politik

ASUHAN SOLAT

Foto Hasanuddin Md Isa. 










Anak-anak bersolatlah
Lailatuqadar itu tidak jatuh ke haribaanmu
Tidak jua kenyakinan alam membaluti
pada detik yang dihajati.

Bersolatlah anak-anak
Resah penantianmu dicatat
Ramadan ini menggandakan kurniaan
Tuhan melihatmu

9 JULAI 2015

BATU TALAM

KERIS HITAM BERSEPUH EMAS




Adakah Paduka Bonda meninggal pesan
Keris Hitam Bersepuh Emas dititip
cenderahati buat bangsa
menyemarak semangat meluntur resah
menyelit sejalur keberanian
mengukuh jiwa.

Menatap pamur berkemilau dari
jalur-jalur ikatan adunan kasyani
untuk siapa kepada siapa
yang mana atau mana-mana
usah ditusuk fitnah meski
lisan itu lebih tajam dari runcing sisi
mata keris pusaka Bonda.

Keris Hitam Bersepuh Emas
Semangat keris pusaka Bonda
Untuk sekelian anakanda,
untuk sekelian cucund

SUATU KEAZAMAN SESUDAH BERSAYEMBARA


Selalu diulang akan daya berfikir itu menjadi sangat mengecil dan kelelahan apabila penulis melangkah usia 40 tahun. Yang mendakwa begitu ramai. Mungkin satu hipotesis atau satu kebenaran yang tidak terungkap. Saya cuba melawan ketidakbenaran kata sebegitu. Dalam kelelahan menjalani kehidupan seperti manusia lain, masih mampu saya mengekang waktu untuk kerja penulisan dan hasilnya terbitlah karya-karya seperti Sentuhan di Creative Enterprise Sdn.Bhd 2001, Bidadari Cinta di Creative Enterprise Sdn.Bhd 2004, Antologi Puisi Penulis Pahang – HIJRAH MUSAFIR di Dewan Persuratan Melayu Pahang 2008, Misteri Kota Gelanggi di Penerbitan Ilham Baru K.L. 2010, Bidak-bidak Di PapanPerjuangan di Penerbitan Ilham Baru K.L. 2011 dan Cebisan Mantera Terakhir di ITBM Kuala Lumpur ,2012.
Kiranya kerja penulisan itu dibuat segigihnya untuk menafikan bahawa sesudah usia 40 tahun itu, penulis menjadi semakin lemah dan lembam. Hal itu kerana kudrat usia dan keupayaan berfikirnya sudah pudar. Kalau pun ada sedikit kudrat, maka kudrat itu tidak seberapa lagi. Mata penanya tidak lagi tajam. Bahasanya tidak seindah dulu. Penceritaannya berbolak-balik sepenti seorang tua yang diusik kenyanyukan. Dengan sedemikian daif itu, pembaca mulai lari dan karya pun tidak layak dinilai untuk mana-mana sayembara.

Ketika merangkak usia 53 tahun, ruang berkarya untuk bersayembara dibuka oleh ITBM Kuala Lumpur. Seorang penulis tua bertatih menulis untuk membuktikan akalnya masih waras. Jiwanya tidak was-was. Kenyanyukannya belum berkuku. Lalu karya berjudul SARJANA BANGSA diunjuk sebagai bukti keupayaan diri. Akhirnya karya itu dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua sayembara tersebut.

Biasanya ramai penulis sudah berpuas hati apabila sudah berada pada satu tahap penilaian sebegitu. Ada yang menyeru agar cukup setakat itu. Buat apa dijatuhkan martabat diri ke tahap terendah semula dengan menghasilkan karya yang boleh dikritik budak jalanan.

Saya berharap saya tidak akan menelan mentah-mentah kata-kata sebegitu. Saya ingin terus menulis kerana saya dianugerah Allah bakat dalam urusan ini.

DI TAMBATAN DIRI


Berlalulah dari situ
Tambatan itu tidak menjanjikan berulangnya
Senda gurau seorang sahabat
Atau rayu janji seorang kekasih
Meski kau hadir di situ
Pada masa dan tarikh sama seperti dulu.

Tolehlah ke dalam diri untuk
menguis kelemahan dan kecacatan peribadi
Keegoan dam sombong diri itu kudis mengusung
menutup jelita raga yang dipelihara pelbagai kosmetik.

Di tambatan diri
Usirlahh segala kekusutan yang
membelenggu kebijaksaan dan kesolehan
Dari batinnya dilihat ukiran bahasa
seorang insan.

Sempam Baru
5 Ogos 2015

DI PENTAS SOFA PUTIH ITBM



Dengan izin Allah jua, saya   tampil di pentas Sofa Putih Gerai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) , Aras 3 PWTC sempena PBAKL pada jam 4.00 pm hingga 5.00 pm, 30 April 2015   bagi memberi penjelasan tentang penulisan novel SARJANA BANGSA.
Saya fikir-fikir elok sahaja di pentas itu saya menyentuh beberapa aspek yang perlu diketahui oleh pembaca berhubung penulisan novel SARJANA BANGSA itu. Antaranya ialah: 

i. Latar belakang penulisan
ii. Motif penulisan
iii. Kerja - kerja penyelidikan
iv. Kaedah pengarangan
v. Standard penulisan untuk bersayembara
vi. Apa sepatutnya diperoleh pembaca daripada karya ini.


Pembicaraan tentang latar belakang penulisan selalu menjadi perhatian.  Sesungguhnya untuk menghasilkan novel SARJANA BANGSA  yang saya muatkan pemikiran dan pelbagai sudut filsafat itu memang memerlukan waktu lama untuk pengumpulan bahan.  Namun semuanya dapat diusahakan kerana memang sudah menjadi cita-cita saya untuk menghasilkan novel yang sarat pemikiran. 

Sewaktu sesi pembicaraan, bukan sahaja peminat buku yang sudi mendengar celoteh spontan itu, malah kehadiran ramai anak-anak didikku dari Sekolah Menengah Agama Al- Falah Batu Talam  menambah semangatku untuk bercerita dari satu aspek ke satu aspek mengenai kerja menghasilkan novel SARJANA BANGSA  itu.

Melalui pembicaraan itu, dapat saling bertukar fikiran dan memberi semangat kepada saya untuk menukil karya-karya yang lebih bermutu. Segala teguran dan nasihat akan disemat, dingat sebagai budi yang tidak ternilai harganya.

Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu;
Bila terkenang mulut menyebut
Budi tuan yang baik diingat selalu.

Novel ' SARJANA BANGSA ' itu untuk bangsaku Melayu Islam

 

Novel ini memenangi tempat ke-2 (novel) Sayembara Penulisan ITBM, PENA, BH yang diumumkan 21 April 2015 lalu. Kalau pun tidak kerana bersayembara, memang pun saya ingin menghasilkan novel sedemikian dalam kerjaya saya sebagai penulis. Namun takdir Allah mengangkat pemikiran itu lebih awal ke persada pembaca dengan mentakdirkan karya ini memenangi sayembara itu.

Bagi memperindahkan pengolahan bahasanya , saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdr. Zulkifli Jamaasin selaku editor penerbitan yang bersungguh-sungguh menyemak karya ini dan terima kasih kepada ITBM yang menerbitkan karya ini.

Sinopsis
TAJUK NOVEL : Sarjana Bangsa
KARYA: HASANUDDIN MD ISA

Isyraf Eilmy mengemukakan hujah yang bernas ketika membawa Papa Lee memeluk Islam. Untuk memudahkan dia memberI kefahaman Islam kepada keluarga Papa Lee dan merapatkan ikatan kekeluargaan, Isyraf Eilmy bertunang dengan Norlaily Lee. Sebagai seorang Pensyarah di Fakulti Alam Melayu UKM, Isyraf Eilmy diberi tugasan oleh Prof. Dr. Sadiq untuk merangka dan membentang kertas kerja di konvensyen Kebudayaan Melayu Antarabangsa. Dalam tempoh membuat rumusan itu juga, keluarganya mahu dia melangsungkan perkahwinan dengan Norlaily Lee.

Percangahan pendapat terhadap isu-isu berkaitan politik menyebabkan Isyraf Eilmy dan ahli keluarganya selalu berdebat. Namun begitu, perdebatan itu berakhir tanpa menyebabkan perpecahan dalam keluarga. Sikap terbuka ahli keluarga dalam perbezaan pendapat disebabkan kecintaan meeka kepada ilmu pengetahuan dan senantiasa ingin mencari kebenaran.

Dalam beberapa sesi pertemuan dengan Dr. Sadiq, Isyraf Eilmy cuba menyakinkan pensyarah tersebut bahawa gagasan penyatuan kaum bertunjangkan tauhid lebih sesuai ditekankan dalam kebudayaan masyarakat berbanding penyatuan dan perkongsian kebudayaan. Bertolak daripda dasar tauhid ini, percambahan ilmu pengetahuan pasti menuju kebenaran. Dengan mengemukakan hujah-hujah terhadap pandangannya itu, Prof. Dr. Sadiq bersetuju pemikiran tersebut diangkat dalam bentuk kertas kerja.
Atas permintaan Papa Lee yang mahu menjalani rawatani rawatan di luar Negara, perkahwinan Isyraf Eilmy dengan Norlaily Lee dibuat secara bersederhana. Majlis dicadangkan dijalankan di kedua belah pihak menggunakan adat budaya yang tidak bercanggah dengan Islam.

Isyraf Eilmy membentang pemikiran yang hendak disampaikan dalam konvensyen dalam satu perjumpaan dengan ahli keluarganya. Bapanya memberi beberapa pandangan tentang sejarah peradaban Melayu yang mengukuhkan institusi kemasyarakatan. Ibunya pula menjelaskan sejarah penyebaran Islam yang cukup panjang di alam Melayu.

Dalam sesi pembentangan kertas kerja di Konvensyen Kebudayaan Melayu, Isyraf Eilmy menerima beberapa sanggahan daripada peserta konvensyen. Namun begitu, Isyraf Eilmy dengan bantuan Prof. Samsudin dan bapanya, Cikgu Hasan telah memberi penjelasan sebaiknya terhadap masalah yang ditimbulkan.

Papa Lee Kam Seng yang mengikuti siara langsung konvensyen tersebut melalui siaran TV berasa cukup bangga terhdap pemikiran yang dikemukakan oleh Isyraf Eilmy. Namun begitu, oleh keadaan kesihatannya yang tidak stabil, dia dimasukkan ke wad sakit jantung Kuala Lumpur.
.
Novel ' Sarjana Bangsa' mengemukakan tema kemasyarakatan. Masyarakat hanya dapat dibangunkan apabila setiap individu di dalam masyarakat itu memiliki rasa cinta yang mendalam terhadap ilmu dan menghayati ajaran agamanya (Islam).