SUATU KEAZAMAN SESUDAH BERSAYEMBARA


Selalu diulang akan daya berfikir itu menjadi sangat mengecil dan kelelahan apabila penulis melangkah usia 40 tahun. Yang mendakwa begitu ramai. Mungkin satu hipotesis atau satu kebenaran yang tidak terungkap. Saya cuba melawan ketidakbenaran kata sebegitu. Dalam kelelahan menjalani kehidupan seperti manusia lain, masih mampu saya mengekang waktu untuk kerja penulisan dan hasilnya terbitlah karya-karya seperti Sentuhan di Creative Enterprise Sdn.Bhd 2001, Bidadari Cinta di Creative Enterprise Sdn.Bhd 2004, Antologi Puisi Penulis Pahang – HIJRAH MUSAFIR di Dewan Persuratan Melayu Pahang 2008, Misteri Kota Gelanggi di Penerbitan Ilham Baru K.L. 2010, Bidak-bidak Di PapanPerjuangan di Penerbitan Ilham Baru K.L. 2011 dan Cebisan Mantera Terakhir di ITBM Kuala Lumpur ,2012.
Kiranya kerja penulisan itu dibuat segigihnya untuk menafikan bahawa sesudah usia 40 tahun itu, penulis menjadi semakin lemah dan lembam. Hal itu kerana kudrat usia dan keupayaan berfikirnya sudah pudar. Kalau pun ada sedikit kudrat, maka kudrat itu tidak seberapa lagi. Mata penanya tidak lagi tajam. Bahasanya tidak seindah dulu. Penceritaannya berbolak-balik sepenti seorang tua yang diusik kenyanyukan. Dengan sedemikian daif itu, pembaca mulai lari dan karya pun tidak layak dinilai untuk mana-mana sayembara.

Ketika merangkak usia 53 tahun, ruang berkarya untuk bersayembara dibuka oleh ITBM Kuala Lumpur. Seorang penulis tua bertatih menulis untuk membuktikan akalnya masih waras. Jiwanya tidak was-was. Kenyanyukannya belum berkuku. Lalu karya berjudul SARJANA BANGSA diunjuk sebagai bukti keupayaan diri. Akhirnya karya itu dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua sayembara tersebut.

Biasanya ramai penulis sudah berpuas hati apabila sudah berada pada satu tahap penilaian sebegitu. Ada yang menyeru agar cukup setakat itu. Buat apa dijatuhkan martabat diri ke tahap terendah semula dengan menghasilkan karya yang boleh dikritik budak jalanan.

Saya berharap saya tidak akan menelan mentah-mentah kata-kata sebegitu. Saya ingin terus menulis kerana saya dianugerah Allah bakat dalam urusan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan