Saya mengambil masa hampir 8 tahun untuk mengkaji alam kebatinan Melayu yang bersifat aneh itu. Namun hal itu tidak menyusahkan kerana sebagai seorang Melayu, memang sebahagian sifat kebatinan Melayu itu dalam pengetahuan saya. Novel ini mengutip banyak pandangan Pawang-pawang Melayu, pengamal perubatan Islam dan petuapetua lama orang Melayu untuk kelangsungan kehidupan.
Lalu dalam satu pemilihan nashkah manuskrip yang dibuat di Rumah PENA, Kuala Lumpur, pihak PENA – ITBM melalui penilaian yang ketat telah menerima manuskrip novel ini dan novel ini diterbitkan di ITBM pada 2012. Majlis pelancaran novel ini dilaksanakan di Hotel Primula, Kuala Terengganu bersama-sama karya penulis Pantai Timur yang lain. Novel ini dimasukkan dalam saringan Hadiah Sastera Perdana 2013 dan disenaraikan dalam kelompoh 5 nashkah terbaik bersama-sama , Dukana karya Ruhaini Matdarin (ITBM), Dukhan Langir Akhir Zaman karya Osman Ayob (ITBM), Kininaru karya Amelia Hashim (DBP), Loagan Bunut karya Dahiri Saini (DBP), Kalam Kalbu karya Sri Rahayu Mohd. Yusop (ITBM). Akhirnya pada tahun tersebut , novel Kalam Kalbu karya Sri Rahayu Mohd. Yusop (ITBM). Diangkat sebagai pemenang. Seterusnya pihak DPMP telah mengangkat novel ini dalam satu majlis Bicara Buku di Perpustakaan Awam Temerloh. Allahyarham Rahimidin Zahari telah membicara kandungan buku ini dengan bersungguh-sungguh.
Membaca novel CEBISAN MANTERA TERAKHIR membawa fikir pembaca kepada satu dimensi hidup masyarakat Melayu yang mempunyai senjata ampuh hasil mengenal hakikat diri yang lemah di sisi Penciptanya. Pembaca disajikan dengan kisah mengenai dunia kepawangan yang jarang sekali dapat ditemui pada abad ini. Novel ini juga menyentuh aspek berkaitan ilmu kebatinan serta hakikat dan makrifat yang terkandung dalam ilmu itu sendiri.
Saya memulakan penulisan novel ini dengan monolog yang perlu dihadam oleh pembaca sebagai satu permulaan untuk perjalanan penceritaan yang sarat mengenai ilmu kehidupan. Pengarang juga sempat melontarkan soalan “Apakah kehidupan ini hanya menunggu pagi tibanya petang? Atau tersingkapnya dinihari?" Persoalan ini menjadikan pembaca perlu mengerti akan sebab penghidupan di alam ini. Seterusnya, saya memberi sedikit huraian mengenai pengertian mantera agar mudah difahami oleh pembaca apabila memulakan pembacaan.
Pengkisahan diteruskan dengan menceritakan perihal Jamin, seorang siswa tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia, buntu dalam menentukan tajuk tesisnya dikejutkan dengan berita kematian bapanya. Sebagai seorang anak yang sayang terhadap bapanya, Jamin mencari punca kematian bapanya iaitu Pawang Cha. Perbincangan antara Jamin dan kedua abangnya iaitu Badin dan Resedan akhirnya membongkar punca kematian Pawang Cha yang mati akibat disantau. Punca kematian tersebut membuatkan Jamin menyuarakan kepada kedua abangnya bahawa dia akan melakukan qisas terhadap siapa yang menyantau bapanya itu. Tetapi perkara tersebut ditolak oleh Badin dan Resedan dengan beralasan bahawa kematian Pawang Cha itu sudah ketentuan Ilahi.Dari sinilah pengarang mengembangkan penceritaan sehingga ke pengakhiran.
Jamin meminta bantuan daripada semua pawang untuk mempelajari segala ilmu yang pernah diamalkan Pawang Cha. Jamin memulakan pembelajarannya dengan Pawang Ki, yang mana Jamin lebih banyak mengajar kepada Pawang Ki dan tidak seperti yang sepatutnya. Seterusnya, Jamin berjumpa pula dengan Pawang Yorr yang merupakan pawang pendesaan Buntu di kaki Banjaran Titiwangsa dan sangat hebat dalam meramu santau. Pawang Yorr banyak mengajar Jamin Ilmu berkaitan pembuatan santau. Pawang Yorr semakin bersemangat untuk membantu Jamin apabila Jamin telah menyelamatkan dia daripada dipatuk ular ketika mereka mencari ramuan untuk membuat santau.
Pada masa yang sama, Jamin turut menyiapkan tesisnya yang berkait rapat dengan dunia kepawangan. Dia berjaya menarik minat pensyarahnya iaitu Prof. Sebudin yang sebelum ini menolak tesisnya yang pertama kerana tesis kedua ini lebih terperinci . Dalam proses Jamin menyiapkan tesisnya, dia “sambil menyelam minum air” kerana sempat mempelajari ilmu daripada orang sumber antaranya Haji Samad dan Mat Zin.
Setelah segala persediaan lengkap, Jamin memulakan serangan terhadap Pawang Tunggal yang membuat angkara menyantau Pawang Cha. Pengarang dengan bijaksana membuatkan pembaca seperti melihat pertaungan itu seperti berlaku di dunia realiti yang pada hakikatnya ia terjadi dalam dunia kebatinan dan menyebabkan Pawang Tunggal diserang kepanasan kesan daripada serangan santau yang dihantar oleh Pawang Yorr. Akhirnya, Pawang Tunggal datang ke wilayah Atoki dengan tujuan untuk memohon maaf dan mengubati penyakit yang menyerangnya.
Novel ini secara keseluruhannya menyentuh mengenai kehidupan masyarakat Melayu yang sebenar, kerana banyak mendedahkan sikap orang Melayu yang suka berdengki terhadap kelebihan orang lain. Pengarang turut membuka mata pembaca bahawa santau adalah suatu senjata kepada orang Melayu dalam membalas dendam dan perkara tersebut berlaku sehingga ke hari ini.
Sebenarnya penulisan novel ini sekadar satu cara berkongsi kaedah penjagaan diri. Termasuk jugalah dalam soal pengalamal wirid-wirid yang disertakan dengan dalil-dalil hadith yang membolehkan pembaca yang beragama Islam mengamalkannya tanpa ada ragu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan