BERMULANYA INSTITUSI ORANG KAYA LIPIS
Oleh kebimbang akan
keselamatannya anaknya, akan Seri Dewi menasihati anaknya agar segera beredar
dari Perak. Maka hal itu diberitahu
kepada Raja Bendahara lalu Raja Bendahara yang bijak itu dengan senang
melepaskan anaknya pergi ke Pahang 5 beranak dan dua orang pengawal peribadi. Rombongan itu terdiri daripada bapa
saudaranya , Panglima Hang Semaon dan Panglima Mat Saih.
Dari Kuala Perak, Baginda Demu dan orang-orang menaiki
sebuah perahu lalu belayar ke arah selatan.
Setelah beberapa lama di laut, maka sampailah ia di Bentan. Pada masa itu, Raja Abdul Ghaffur sedang
memerintah Johor dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah dari tahun 1564 Masihi sehingga 1570 Masihi. Anakanda Baginda Raja Abdullah menjadi Yam
Tuan Muda Riau (Johor). Maka kedudukan
mereka dalam kekerabatan kekeluargaan masih dalam lingkungan
kerabat Marhun Bendahara Tun Perak Melaka juga. Apabila tiba di Bentan,
Baginda Demu telah masuk mengadap Yam
Tuan Muda Riau. Ia menyembah tujuannya
sebagaimana yang diperintah oleh ayahanda, Baginda Temu
Mendengar
sembah Baginda Demu itu, maka Yam Tuan Muda Riau pun bertitah, “ Silalah
saudara kita ke Pahang kerana di sana negeri masih gugup dengan rimba raya lagi
pun sunyi.” Setelah mendapat
persetujuan , Yam Tuan Muda itu ; maka Baginda Demu pun belayar menuju ke Kuala
Pahang. Di Kuala Pahang, Baginda Demu
pun mengadap Bendahara Pahang. Ia
mempersembahkan segala tujuannya kepada Baginda. Tujuan Baginda Demu itu diperkenankan oleh
Bendahara Pahang lalu ia membenarkan ia mudik ke Sungai Pahang.
Bendahara
berkata, “ Carilah di mana jua suatu tempat yang dipersetujui. Silalah buat
asalkan jangan bergaduh dengan orang lain.”
Teramatlah
gembiranya Baginda Demu kerana telah mendapat persetujuan Bendahara itu. Maka
ia pun mencari perahu galah untuk digunakan memudiki Sungai Pahang. Apabila telah mendapat perahu yang sesuai,
maka perahu itu dimuatkan dengan bekalan.
Maka tempat ditujunya ke tempat yang selamat di mana adanya pentadbiran
Maharaja Perba Jelai di Hulu Pahang.
Maka dipilih begitu kerana
Maharaja Perba Jelai itu ada jua tali kekerabatan dengan Raja Bendahara di Perak. Setelah mustaid semuanya, maka Baginda Demu
dengan orang-orangnya mudiklah. Setelah
beberapa hari mudik, maka sampailah Baginda Demu di satu tempat baru dibuka
oleh orang-orang Islam yang datang dari Minangkabau. Ia pun singgah di situ.
Selepas
dua tiga hari berhenti di tempat yang baru dibuka itu, maka Baginda Demu
mudiklah. Akhirnya sampailah Baginda Demu di Kuala Temerloh. Ia mendapati Kuala Temerloh tidak berapa jauh
bezanya dengan kampung yang disinggahnya dahulu dan berhenti di situ beberapa
hari.
Setelah
beberapa hari berhenti di Kuala Temerloh, barulah Baginda Demu meneruskan perjalanannya. Ia
mendapati perjalanannya amat sukar kerana pada masa itu, tempat-tempat di kiri
kanan Sungai Pahang itu masih dipenuhi dengan hutan dan tidak banyak didiami
orang.
Pada
suatu hari , maka sampailah Baginda Demu di suatu kuala sungai di sebelah kanan
mudik. Apabila didengarnya bunyi suara
orang ramai di kuala sungai itu, maka Baginda Demu pun berhenti di sana. Ia
mendapati beberapa orang asli berpondok di sana.
Apabila
melihatkan Baginda Demu singgah di tempat kediaman mereka, maka beberapa orang
asli itu datang menghampiri orang-orang yang baru sampai itu. Ramai juga yang lari. Orang-orang yang datang menemui Baginda Demu
itu dipujuk dengan baik. Mereka
dinasihatkan supaya jangan takut akan dia.
Dengan cara itu, maka dapatlah Baginda Demu bercakap-cakap dengan
mereka.
Baginda
Demu mendapati tempat itu amat sesuai untuk dijadikan tempat kediaman. Dengan sebab itu, ia pun berunding dengan orang-orang asli di
situ. Orang-orang asli itu pun memberitahu Tok Batin, ketua mereka. Tok Batin berempat bersaudara tidak bersetuju
dengan cadangan Baginda Demu itu.
Sekiranya orang yang mendatang itu masih berkehendak juga, maka ia
mestilah dibeli dengan emas.
Dengan
takdir Allah jua, sebelum Subuh Baginda Demu telah turun menjala lalu sebiji
tajau (pasu) masuk dalam jalanya. Di
dalam tajau itu penuh dengan barang emas.
Setelah
memuatkan tajau ke dalam perahu, maka Baginda Demu pun menunaikan solat fardu
Subuh. Apabila telah selesai sembahyang Subuh, maka mereka un berkayuh mudik
mendapatkan perahu besar mereka. Tajau itu pun dimasukkan ke dalam perahu
besar.
Apabila
telah selesai makan alas perut, Baginda Demu pun mudik semula. Setelah beberapa
hari mudik, maka sampailah Muhamad Ali Jaadar ke kuala sungai tempat ia singgah
dahulu.
Setelah
selamat perahunya ditambat, maka Baginda Demu dengan diikuti oleh beberapa
orang naik ke darat menemui Tok Batin berempat bersaudara. Apabila berjumpa,
maka bersemukalah Baginda Demu dengan Batin berempat bersaudara iaitu Batin
Serindun, Batin Tualang, Batin Teberau dan Batin Pak Sungkai. Maka berundinglah
Baginda Demu dengan batin-Batin tersebut.
Apabila
telah ditetapkan tempat dan harganya, maka Tok Batin Saridun pun memanggil
orang-orangnya yang ada di situ. Ia memberitahu anak buahnya supaya tidak
ragu-ragu lagi. Katanya, “ Kami berempat bersaudara dengan semua puak kami
telah bersetuju menjual tempat ini iaitu satu kawasan dari Batu Redap (sempadan
daerah Jerantut dengan daerah Temerloh) di sebelah hilir ke Tanjung Lindong di
sebelah hulu kiri kanan Sungai Pahang kepada encik yang baru datang ini yang
bernama Baginda Demu dengan harga dibayar emas sebanyak: ‘ Segantang Ulang
Aling, Sedasar Bali, Secekok Lengan Baju ’.
Dengan ini maka tempat itu terserahlah kepadanya selama-lamanya. Kami
sekelian tidaklah berhak lagi di tempat itu.”
Percakapan
Tok Batin itu dijawab oleh Baginda Demu dengan berkata, “ Wahai deme sekelian.
Sungguh pun tempat yang tersebut itu sudah aku beli dan Tok Batin sudah
serahkan kepada aku, tetapi aku tidak larang deme sekelian duduk dan cari makan
di tempat yang diserahkan kepada aku itu, asalkan deme sekelian mahu menurut hukun
dan perintah aku pula.”
Maka
percakapan Baginda Demu dengan sekelian
batin itu adalah satu ‘waad’ @ atau janji penyerahan. Lalu terserahlah kawasan tersebut kepada
Baginda Demu. Untuk mentadbir kawasan
tersebut, Baginda Demu mengangkat bapa saudaranya bernama Hang Semaun @ Ismaun
menjadi ketua. Kemudian daripada itu
dititah oleh Baginda Raja di Johor Riau mengangkat Hang Semaon@Ismaun ini
menjadi Orang Kaya Lipis Yang Pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan