SASTERA ISLAM – ISTILAH ATAU AMALAN?


 
Sebelum tahun-tahun 1980-an itu, hasrat hendak membikin aliran sastera Islam itu sudah kedengaran. Gelonjak baru ini diselang-seli oleh polimek Sastera Islam antara Shahnon Ahmad dengan Kasim Ahmad. Shahnon seperti yang dikenali sudah mula mengetengahkan sastera Islam melalui novelnya Saregenge. Kasim Ahmad, tokoh kritikan sastera waktu itu  mempunyai pandangan berbeza dengan Shahnon dalam mendefinisikan sastera Islam.




            Shahnon berpendapat sastera Islam itu terbit dari dunia dalaman yang terpancar darinya suatu pandangan yang selari dengan teologi yang benar. Jikalau akidah tidak benar, dengan sendirinya terbatal amalan lahirnya. Sastera Islam itu dianggap sebagai suatu ibadah ialah sastera yang membawa nilai-nilai Islam dari individu muslim yang menghasilkannya kerana Allah.




            Pandangan Shahnon ini dikatakan tegas dan sendat. Sastera Islam itu mesti zahir daripada pengarang berperibadi Islam dan isi kandungnya berteraskan akidah. Manakala Kasim Ahmad membuat penafsiran agak longgar terhadap sastera Islam. Bagi Kasim, dia cuba mengemukakan satu teori untuk mendapatkan suatu kepastian terhadap apa yang disebut sastera Islam. Bagi Kasim, apabila teori itu dapat diterima, maka selesailah masalah untuk mengecam mana karya yang boleh digolongkan ke dalam sastera Islam. Dalam soal ini, Kasim tidak memikirkan hal akidah Islam. Maksudnya jelas bahawa kesusasteraan Islam itu boleh wujud daripada siapa sahaja apabila tepat atau tidak lari daripada teori yang dikemukakannya itu.




            Walaupun  begitu, perbincangan tentang sastera Islam itu turut dibicarakan oleh Prof. Mohd Kamal Hasan, Shafie Abu Bakar, Abdul Rahman Rukaini, Sidi Gazalba dan lain-lain pemikir sastera Islam. Dalam membuat tanggapan terhadap sastera Islam itu, umpamanya Shafie Abu Bakar mengutip kata-kata Muhamad Qutb:




            " Seni sastera Islam bukan sahaja seni yang terhad kepada penyebutan Islam semata-mata, bukan juga semata-mata terkongkong kepada menasihati, menunjuk jalan dan menggesa manusia membuat kebaikan dan tidak terhad kepada pembicaraan terhadap akidah yang disulami falsafah semata-mata. Seni sastera Islam ialah seni yang menggambarkan segala kewujudan menurut juruspandang keislaman, iaitu merupakan ungkapan-ungkapan yang indah tentang Islam, kehidupan dan insan itu sendiri. Seni sastera Islam ialah seni yang memaparkan pertemuan yang saling menyempurna di antara keindahan dengan kebenaran. Keindahan adalah hakikat alam tercipta. Manakala kebenaran adalah puncak daripada keindahan. "




Tiada ulasan:

Catat Ulasan