DI LAMAN KEHIDUPAN


Salam penuh kasih sayang untuk anakanda Siti Nurulbaya , Fatima Zahraa Hasanuddin, Sa'id Badi'urzaman, Ali Shari'ati, 'Aisyah Syahirah Hasanuddin dan Muhamad Isyraf Eilmy. 

Esok lusa sehari dua lagi bapa akan menyambut hari ulangtahun bapa ke-54. Sudah lama rupanya bapa merakap di bumi Allah ini. Sudah banyak kurniaan Allah diperoleh dan sudah jenuh menghadapi ujian Allah untuk meraih kehidupan. Dengan selalu mengingati kesudahan usia ini, dipacakkan selalu ingatan kepada pesanan Rasulullah SAW dalam sabdanya “ Umur umatku antara 60-70 tahun, hanya sedikit daripada mereka yang usianya lebih daripada itu.” (Riwayat Tarmizi) 

Seperti insan yang dimulai Allah yang lainnya, bapa ingin mendapat nikmat usia itu dipanjangkan agar dapat melihat penuh insaf maju mundur kehidupan anakanda. Selain untuk bapa sendiri meningkatkan kebijaksanaan dan kesolehan. Akan usia yang berkat itu menjadi impian sebagaimana diceritakan Abu Bakar ada meriwayatkan, seseorang berkata: “Ya, Rasulullah, siapakah orang yang paling baik? Rasulullah bersabda: Orang yang panjang umur dan baik amalnya. Lelaki itu bertanya lagi: Lantas, siapakah orang yang paling buruk? Rasulullah bersabda: Orang yang panjang umurnya dan buruk amalnya.” (Riwayat Ahmad dan Tarmizi)

Doakan bapa ini dalam usia penuh kebaikan, tergolong dalam apa yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. “Sebaik-baik keislaman seseorang adalah yang meninggalkan hal yang tidak bermanfaat baginya.” (HR. Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah)

Demikian bapa ingin menyerap kebaikan itu terus-terusan di dalam diri. Ahli bidalan mengukir kata berhubung pertuturan yang indah dan baik dengan menyebut apa tanda orang yang mulia, apabila bercakap bermanis muka. Tanda orang berhati bersih, apabila bercakap mukanya jernih. Tanda orang berbudi bahasa, apabila bercakap tahukan rasa. Tanda orang berdada lapang, tahu menjaga perasaan orang. Tanda orang berbudi pekerti, perasaan orang dia fahami

Untuk anakanda sekelian selalu kiranya mengingati beberapa pesanan Lukmanul Hakim yang masyhur itu kepada anaknya " Sepanjang hidupku, aku hanya memilih lapan kalimah daripada pusaka para nabi untuk dijadikan pegangan hidup, iaitu" : Apabila engkau solat, jagalah baik-baik fikiranmu. Apabila engkau bertandang ke rumah orang lain, jagalah baik-baik pandangan matamu. Apabila engkau di majlis, jagalah lidahmu. Ingatlah kepada Allah SWT sepanjang masa. Ingatlah akan mati, iaitu bersedia hadapi maut . Lupakan budi baikmu terhadap orang lain dan lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan