SEJARAH AWAL KAMPUNG KUALA ATOK

 


RIWAYAT AWAL KAMPUNG KUALA ATOK

Oleh:
Hasanuddin bin Md Isa
Pengetua SMA Al-Falah Batu Talam, RAub. Pahang



1.     Pendahuluan
          Saya menulis riwayat ini untuk menjadi ingat-ingatan kepada ahli keluarga saya yang menetap di dalam wilayah Kuala Atok dan juga kepada yang sudah berhijrah keluar dari kampong tercinta itu.  Riwayat Kampung Kuala Atok merupakan riwayat cakap dengar  yang saya peroleh semasa mendiami kampung tersebut 1961 hingga 1990.  Selain itu terdapat catatan daripada beberapa teremba (catatan salasilah) yang menjadi rujukan.

          Tanah sawah di tengah ,
          Genggam padi lagi diikat;
          Saya mengucap selamat datang,
          Mengatur kata menyusun maufakat.

          Bulan puasa memetik kelapa,
          Ditadah air di dalam kendi;
          Jasa saya tidak seberapa,
          Hidup berjuang menabur budi.

          Akan pentingnya  mengetahui kedudukan kekerabatan ini bagi tujuan memupuk silaturahim yang kian renggang.   Tidak ramai yang ingin merapatkan kembali persaudaraan kerana tidak tahu akan asal usul sedangkan merapatkan silaturahim itu kerja mulia di sisi agama sebagaimana Sabda junjungan Nasi saw “ Ketika Rasulullah saw bertanya kepada pada sahabat tentang maukah aku beritahukan kepada kamu tentang orang yang akan menjadi penghuni Syurga? Baginda saw memberitahu, “ Seorang laki-laki yang mengunjungi saudaranya di penjuru kota dengan ikhlas karena Allah ” (HR. Ibnu Asakir, Abu Na’im dan Nasa’i).

          Dalam menulis riwayat awal kampong Kuala Atok ini,  saya merujuk pengkisahan  yang diceritakan  oleh
i.              bapa saya Al-Marhum Hj. Md Isa bin Omar bin Juan bin Imam Muhamad (Keramat Budu Terap)  sebelum kewafatannya pada 1981 yang lalu.  Dibaca juga dari jalur ibu Al-Marhum seperti berikut, Md Isa  anak Bing anak Nong anak  Imam Long    anak kepada Embong Saedah binti Tok Mat Amin bin Malek bin Tok Salleh bin Ngah Endek bin Mohd Ali Jaafar Sidek bin Raja Muhamad (Baginda Demu) .
ii.             Semasa peristiwa  berjaga masjid pada tahun-tahun 1980-an juga disebabkan ada kegiatan membakar masjid di negeri Pahang,  sempat juga saya mendengar akan hal  bermulanya kehidupan di Padi Setempat dan Bukit Setugal daripada  Imam Mohd Nor  binti  Hjj. Sara binti Jabok bin Hj. Sulaiman  bin Kulah binti Nica binti To Aya bin Tok De binti Itam Mas Pahang binti Tok Kaya Ibrahim  dan  Abdullah bin Monek bin Tok Kembar bin Tok Amit bin Tok Pamat bin Tok Ibrahim bin Tok Lela bin Tok Yop bin Embong Pian bin Muhamad 
iii.            Selain itu dapat juga saya menyemak cerita-cerita yang saya  peroleh itu dalam pertemuan saya dengan  Haji Abdul Rahman  @ Pakwe gedompong binti Wah  binti Ismail bin Hj. Mat Sidek binti Itam mas Pahang binti tok Kaya Ibrahim  sekitar tahun 1987 di rumah di Kg. Tersan, Raub.
iv.           Teromba susunan Penghulu Mat Dahan
v.            Teromba  susunan Wan Mat Nor anak Maimunah anak Imam Hj. Abdullah anak Sintam (Abdul Karim anak Imam Janai
vi.           Teromba  Matapunggal, Palembang
vii.          Teromba Tok Perak, Sengkela.
viii.         BUku Sejarah BINGKISAN SEJARAH RAUB oleh Zaffuan Hj. Manap
         


2.     Perihal  Asal datangnya penduduk
          Lembahan Sungai Lipis  bermula daripada Kaki Gunung Lipis di sempadan negeri Perak sehingga ke Kuala Sungai Lipis yang muaranya di pertemuan muara Sungai Lips ke  Sungai Jelai.   Pada zaman pemerintahan Melaka  1400M – 1511M, kawasan ini masih  tiada penghuni.  Penghijrahan orang-orang dari Melaka ke Pahang secara beransur-ansur  telah menjadi penghuni kawasan-kawasan lembahan sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Lipis.  Jumlah  penduduk yang bertambah di lembangan Sungai Lipis ini ditandai kemudiannya dengan pertabalan Tun Ismaun  bin Tun Tuah  sebagai Orang  Kaya Lipis yang pertama   sekitar 1480.  Pentadbiran Lembahan Lipis ini kemudiannya  diwarisi oleh keturunan  Tun Ismaun.  Sehingga  1863, apabila Wan Ahmad mengambil alih takhta negeri Pahang dan menyusun pentadbiran negeri, kedudukan Orang Kaya Lipis diletakkan pada  kedudukan Orang Besar Berlapan dan gelaran Orang Kaya  Dato’ Setia Wangsa  pertama diberi kepada Tok Kaya Sintol bin Tok Kaya Teh.  

3.     Penerokaan Lembahan Sungai Lipis
          Tidak dapat dipastikan setepatnya tarikh  bila lembahan sungai Lipis mulai di diami. Namun begitu dalam Sejarah Negeri Pahang,   Catatan paling awal penempatan penduduk di Lembahan Lipis ialah di Lubuk Lela, Benta  apabila Tun Ismaun menjadikan tempat itu  pusat pentadbiran Orang Kaya Lipis.  Kemudian anggaran tahun 1528, kawasan Lubuk Yong  (Kampung Pagar, Kuala Lipis) telah dibuka pula oleh anak saudara Tun Ismaun bernama  Raja Muhamad (Baginda Demu) .  Kawasan ini menjadi penampan kepada kemasukan Siam terus ke Lubuk Lela.    Namun begitu, berlaku pertambahan penduduk yang pesat disebabkan usaha mencari hasil hutan dan emas dan kekurangan tanah untuk bertanam padi,   pusat pentadbiran Orang Kaya Lipis telah dipindah ke Terap Budu .  Ini dilakukan oleh Tun Ibrahim (bernikah dengan Tun Aulia, cicit Tun Ismaun sekitar 1580). 

          Dengan Terap Budu menjadi pusat  pentadbiran baru,  keluarga  Tun Ismaun  kemudiannya membuka Kemahang, Tanjung Besar, Jeransang   Kg. Salang, Kg. Rengai, Kg. Budu, Kg.Tg. Besar, Kg. Tera@Kg. Kemesar hingga ke Tualang Padang.   Manakala      keluarga Raja Muhamad (Baginda Demu) kemudiannya  membuka petempatan baru ke sebelah hulu  Sungai Lipis yang belum dibuka oleh keluarga Tun Ismaun.


          Dalam tempoh yang panjang, keluarga Baginda Demu di Lubuk Yong  dan Tun Ismaun di Terap Budu  bersemenda dan anak cucu mereka membuka petempatan di tebung Sungai Lipis.  Di dalam mukim Sega itu, terdapat kampung-kampung yang awal dibuka . Antaranya  ialah Kampung Tersan oleh Tok Mat Amin bin Malek bin Tok Salleh bin Ngah Endek bin Mohd Ali Jaafar Sidek bin Raja Muhamad (Baginda Demu) ,   kampung Sega hingga ke Sengkela dibuka oleh Tok Muhamad  bin Tok Aya bin Tok De  anak Itam Mas Pahang anak Tok Kaya Ibrahim (berkahwin dengan Tok Chik   Bungsu anak Muhamad Ali Jaafar Sidek anak Raja Muhamad (Baginda Demu).  Selain itu, terdapat  kampung Batu Talam telah dibuka oleh Tok De Abdul Rahman   sekitar tahun 1657M.   

i.                Padi Setempat
          Selepas Kampung Tersan, salah sebuah kampung yang dibuka di antara Mukim  Budu dan Mukim Sega Lama ini ialah Padi Setempat.  Lokasinya ialah di tepi  tebing Sunggai Lipis di hulu sedikit dari lubuk yang dalam dipanggil ‘ Lubuk Benggali ‘. (Pengarang tidak pasti kenapa dipanggil lubuk benggali).  Dari tebing Sungai  Lipis menganjur ke tanah permatang terdapat lembahan pamah yang sesuai dibuat tanah paya dan tapak rumah kediaman. 

          Akan Embong Saedah ( suaminya Tok Sebudin  bin Tok Kaya Busu)  anak Tok Mat Amin Bukit Tersan, beranak dia  empat orang anak iaitu Imam Long, Ngah Mahiyah, Itam Mas Pahang dan Tok Teh

          Orang pertama yang meneroka Padi Setempat ialah keluarga Imam Long.  Kesan-kesan tinggalan rumah anak cucu Imam Long  masih dapat dilihat pada tahun  -tahun 1960-an.  Terdapat beberapa rumah yang masih berada di sekitar kawasan tersebut. Antaranya dimiliki oleh Idris anak Doh anak Yong anak Khatib Ipeh anak Imam Long,  rumah Jemilah anak Seoma anak Khatib Hijau anak  Kumin   anak Mohd Amin anak Tok Malek, rumah  Lebai Hasan anak Timah anak Hj. Derapor anak Imam Long.

          Akan Imam Long itu anak kepada Embong Saedah binti Tok Mohd Amin (Penghulu Sega Pertama)  mempunyai  4 orang anak iaitu
i.              Hj. Derapor,
ii.            Khatib Ipeh dan
iii.           Lebai Yat.
iv.          Dayang

HJ. DERAPOR (Bernikah dengan Tok Chik orang Pekan)
Akan Hj. Derapor itu mendapat anak bernama Yang, Awang, Timah, Wok, Zakaria,Pek, Hj. Bakar dan Minah.

Timah beranakkan  Lebai Hasan, Hjj. Biah, Susah, Hjjh Indun  dan Abdullah Hashim

Lebai Hasan  beranakkan  Ahmad Asnawi  (ketua Kampung Kuala Atok ke-5),   Umbiah dan Mohamad Taibi.
Hjj. Biah beranakkan Hj. Ismail, Hj. Saleh dan Hj. Ahmad
Susah bernikah dengan Teh  anak Wok Saadiah anak Safiah anak Tok Maimunah anak Tok  Masoud (Orang  Kaya ATemerloh) beranakkan Hj.Ibrahim, Hj. Omar, Meriam, Harun, Hod, Abdul Manaf dan Idris.

Yang beranakkan Abdul Rahman dan Kumin.
Awang beranakkan Roqiah dan Darma. 
Roqiah beranakkan Ibrahim
Darma beranakkan  Abdul Latif  dan Mat Isa (Bogong)

Wok beranakkan Ismail , Abdul Karim, Cek, Ibrahim, Ajar dan Abdul Jalil
Zakaria  mendapat anak iaitu Muhammad, Esah dan Abdullah.
Pek beranakkan Halimah, Hj. Mat, Hj. Sani  dan Hj. Sidek
Hj. Bakar  mendapat anak iaitu  Mohd Noh, Ahmad dan Abdul Rahman


KHATIB IPEH

Khatib Ipeh (bernikah dengan Tod anak Endut  anak Ngah Mahiyah  anak Embong Saedah) pula mendapat anak Nong dan Siti Ada.   

Nong mendapat anak  bernama Bing, Mat Shah, Abdullah, Daud, Kinah dan Doh. 
Bing (bernikah dengan Omar bin Juan) mendapat anak bernama Ishak, Abd. Wahab, Aminah, Khadijah (Doh), Meriam, Mohd Isa dan  Abd. Manan.
Mat Shah mendapat anak bernama Abdul Menan Timah, Jah, Bedah, Yusuf, Abdul Rahman dan Dandiah.
Abdullah mendapat anak bernama Silan,  Uyah, Tam Satah, Unah.
Daud mendapat anak bernama Halimah (bernikah dengan Silan bin Abdullah)
Kinah mendapat anak bernama Peah , Selamah, Hjjh Saadiah dan Yahya.
Doh  beranakkan  Ahmad, Tawa, Harun, Idris, Pipah, Ismail dan Abd. Razak.

Siti Ada anak Khatib Ipeh  mendapat anak  bernama Abdul Majid dan Yusuf.  Abdul Majid mendapat anak beranama Aminah, Khadijah, Husin, Bedah, Abdul Razak, Selamag, Zainab dan Zakaria.
Yusuf pula mendapat anak bernama Amirudin dan Nordin


LEBAI  YAT

Akan Bilal Yat ( bernikah dengan Teh Som anak Akub anak  Pamat anak Tok Aki Anak Tok De Abdul Rahman anak Itam Mas Pahang anak Tok Kaya Ibrahim ) mendapat anak bernama Bilal Ibrahim, Hanafi,  Zainab dan Siti Nah.

Bilal Ibrahim  (bernikah dengan Me anak Bak anak Kamis anak Midah anak Tok Mir anak Tok Inah anak Tok Kaya Chandak) mendapat anak bernama Abas, Abd. Kadir dan Esah
Abas mendapat anak bernama Kamaruzaman (Ketua Kampung Kuala Atok ke-6)

Hanafi mendapat anak bernama Hj. Sani, Hj. Mat, Hj. Sidek dan Halimah
Zainab mendapat anak bernama Maimunah, Muhammad dan Ghazali
Siti Nah mendapat anak bernama Mahmud, Mohamad, Dandiah dan Kamaruzaman.


DAYANG

Akan   Dayang  beranakkan Rotiqah  dan Dino. 
Rotiqah  beranakkan Kiah  dan Darma.
Dino pula beranakkan Hjjh Safiah, Hjj. Neripah, Hj. Mat Saman, Sulaiman  dan Taifah.

Di kawasan Padi Setempat,  penduduknya mengusahakan tanaman padi tahun untuk sumber makanan.   Selain mencari binatang-binatang hutan dan sungai sebagai lauk pauk, mereka juga  mengusahakan  tanaman jagung di kaki bukit  tanah paya mereka.

ii.       Bukit Setugal

          Oleh kerana belahan Sungai Lipis  sentiasa dibanjiri air setiap kali tibanya musim tengkujuh, maka kawasan Padi Setempat akan digenangi air.  Untuk itu perlu ada kawasan yang selamat untuk tempat tinggal sementara pada waktu banjir itu.  Selain itu, usaha menambah rezeki  tidaklah boleh bergantung kepada tanah paya semata-mata.  Maka  penduduk Padi Setempat  bergotong-royong menebang pokok besar dan menebas semak samun hendak dibuat cherang bagi tujuan bercucuk tanam.
          Memandangkan  kawasan kaki paya hingga ke permatang bukit  itu tidaklah terlalu luas, maka diusahakan kawasan itu secara beramai-ramai dengan menugal jagung.   Setiap keluaga diperuntukkan setahil benih jagung.  Dalam kerja berderau mengusahakan kebun jagung itu, terbitlah pakatan menamakan kawasan kebun mereka itu sebagai Bukit Setahil tugal atau Bukit Setugal.



iii.                Pembukaan  Kuala Atok, Bukit Atok dan Merang

          Sekitar tahun  1800, penduduk di sekitaran Padi Setempat semakin ramai.  Maka dianggar-anggarkan kerja membuka kampung Kuala Atok itu di antara tahun 1805M  hingga 1815M . 
          Akan  kampung halaman di Padi Setempat  selalu ditenggelami air bah setiap tahun, beralihlah  Imam Long   dan anak-anaknya  Haji Derapor, Tok Khatib Ipeh Lebai Yat dan Dayang   serta anak cucu Imam Long   membuat kampung  di permatang bukit  bersebelahan kebun jagung mereka di Bukit Setahil Tugal (Setugal).  Maka kerja membuka kampung  memakan masa berbulan-bulan kerana kawasan  berbukit-bukit itu masih hutan dara  dan kawasan tanah paya di tepi anak sungai sangat selut dan sesuai bertanam padi.  Berhari-hari dan berbulan-bulan mereka  bekerja  untuk urusan itu.

          Maka pada suatu hari yang panas, sesudah bekerja membersihkan kawasan  untuk bertanam padi, Imam Long mengajak anak cucunya mandi-manda di sungai berdekatan.  Oleh air sungai yang jernih dan sejuk, bermain-main  mereka  di sungai  itu  dengan menyelam lama-lama.   Akan Imam Long mempunyai kebolehan menyelam lama di dalam air.  Diajak anak cucunya  bermain-main menyelam siapa yang lama.  Maka dalam permainan itu, tidaklah mampu anak cucunya   mengalahkan Imam Long  menahan nafas di dalam air.   Dilaung-laung oleh Derapor, Ipeh, Yat, Dayang dan anak-anak merka  supaya Imam Long segera timbul.  Didengar Imam Long  akan laungan itu  lalu  timbullah dia dipermukaan air.

          Oleh peristiwa itu, dinamakan sungai itu Sungai Atok merujuk kepada  kebolehan  Imam Long  menyelam lama di dalam sungai itu.  Maka bersandarkan kepada nama sungai  yang mengairi tanah paya di sekitarnya, dipanggil orang kemudian kawasan itu   sebagai KUALA ATOK  kerana  tempat mandi-manda  Imam Long itu sudah hampir benar dengan kuala  sungai itu.  Sungai itu bertemu dengan  Sungai Lepeh  di kawasan kampung tinggal mereka bernama Padi Setempat.
          Pada peringkat awalnya  Imam Long  dan anak buahnya bersolat Jumaat di masjid      kampung  datoknya, Imam Mat Amin di Kampung Tersan.  Sehingga kemudiannya sekitar tahun 1860  apabila penduduk  Kuala Atok telah bertambah dan sahlah pada hukum syarak mendirikan sembahyang Jumaat mengikut Mazhab Imam As-Syafi'e, baharulah dibina masjid lama di permatang Bukit Kuala Atok.  Di masjid itu, naiklah  Khatib Ipeh  sebagai pembaca khutbah Jumaat.  Amat hafaz  seluruh isi khutbah tanpa membaca teks khutbah yang dibekalkan oleh pejabat agama Islam di Istana Sultan Pahang.  Dialah menjadi Imam pertama kampung Kuala Atok.  Akan segala urusan anak buah yang ada di kampung itu,  Hj. Derapor selaku anak yang tua menjadi rujukan  segala masalah anak buahnya.   Mahu tidak mahu perlu diteroka tanah hutan  yang lebih luas untuk kediaman.  Berlakulah pakatan untuk  mengagihkan kawasan  penempatan mengikut ahli kekeluargaan yang  rapat.


a.     Kampung Kuala Atok,  Bukit Atok dan Kampung Sekolah

          Oleh Imam Long bin Tok Sabudin, diajaknya anak-anaknya iaitu Hj. Derapor,  Khatib Ipeh, Yat dan Dayang membuka jaluran pematang  dari Bukit Setugal menuju ke air mudik.  Kerja meneroka hutan itu berhenti  di satu tempat disebut ‘ Kubang Sawa’ (simpang tiga kuala atok – dekat masjid baru)

          Ada pun tanah paya di seberang Sungai Atok itu cantik juga untuk bertanam padi  dan diminta oleh adik  beliau  bernama  Tok   Teh   bin Tok Sabudin  untuk diteroka dan dijadikan kampong halaman.  Diteroka oleh Tok Teh  dan anak-beranaknya iaitu Tok Timah, Tok Li dan Mak Tut,   dijadikan kampong halaman lalu dipanggil kawasan itu ‘ Bukit Atok’.

          Setelah Kampung Bukit Atok itu didirikan, maka akan Tok Yat bin Imam Long ingin pula membuka kampong halaman di sebelah  kampong  Bukit Atok itu. Lalu diteroka pula kampong  bersesuaian dengan keperluan anak beranaknya   Setelah sekolah kebangsaan Kuala Atok didirikan pada tahun 1910, dikenali kawasan kampong itu sebagai  KAMPUNG SEKOLAH.

b.     Kampung Merang
          Dalam perkembangan  seterusnya Kampung Kuala Atok ini,  Tok Sintam (Abdul Karim )  bin   Imam Janai bin WanHusin (Tok Dahalek) bin Tun Salehuddin bin Rasa Muzafar bin Raja Ahmad bin Raja Zainal bin Raja Husin (Sultan Alaudin Ri’ayat Shah – Raja Melaka)  membuka pula  kawasan di hulu sebatang  alor menuju ke kawasan bukit.  Semasa kerja-kerja membuka penempatan itu terlalu banyak binatang ‘ Merang ‘  terdapat di kawasan sungai.  Lalu sepakat mereka menamakan kawasan itu sebagai ‘ Kampong Merang.’  Akan Sintam ini kemudiannya mendapat anak iaitu  Dong, Abdul Rahman, Adam, Imam Hj. Abdullah, Teh, Ahmad dan Hjjh. Saripah.  Mendiamilah mereka kawasan itu ke cucu cicit mereka.

c.      Kampung Paya Peranggan dan Kampung Olok Empang.

          Berlakunya perang  saudara di Selangor kira-kira pada tahun 1873 ramai  penduduk di mukim Sega  yang dipanggil berkhidmat menjadi panglima perang.  Antara mereka ialah Tok Juan bin Imam Muhamad Keramat Budu Terap, Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad , Tok Keli bin Mohd bin Tok Aya  bin Tok De .  Tok Juan memimpin  Sayap Kiri, Abdul Rahman memimpin Sayap kanan  menuju ke Kuala Kubu dan Tok Keli bersama-sama Hj. Mohd Nor menuju ke Ulu Kelang.

          Setelah tamat perang  sekitar 1884 dan kalahlah pihak Raja Mahadi, maka baginda Sultan Ahmad  menangguhkan pengunduran pulang pasukan Pahang di Kuala Kubu.  Ini bertujuan supaya dapat dikutip cukai bagi membayar belanja perang.  Mana-mana penduduk  yang gagal membayar cukai dijadikan hamba kerahan   kepada panglima perang untuk  bekerja di Pahang.

          Dalam hal ini, Tok Juan bin Imam Muhamad  yang menjadi Ketua Sayap Kiri pasukan Pahang dianugerah  40 orang hamba.  Hamba-hamba ini dikerah membuka kampong  yang kemudiannya dikenali sebagai PAYA PERANGGAN.
  
          Akan hal Tok Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad;  dia juga seperti  bapanya membawa pulang hamba dan membuka pula kampong di kawasan tanah berselut di hulu (Kg. Sekolah) . Dibuatnya empang kecil untuk tujuan mengairi kawasan paya dan di hilir empang itu dibangunkan kampong halamannya.     Dengan kerjasama hamba kerahan dan penduduk kampong Kuala  Atok, dibina saliran parit dari olok empang menuju ke  Bukit Atok.  Satu lagi saliran ialah dari Gambut menuju paya peranggan.  Setelah selesai  kerja-kerja membina kampong itu, Tok Juan dan Tok Abdul Rahman membebaskan hamba kerahan itu.  Pulanglah mereka semula ke Kuala Kubu dan ada juga hamba kerahan perempuan  yang diambil oleh penduduk Kuala  Atok sebagai isteri.


Melantik Ketua Kampung

          Sehingga tahun 1888,  sealam-alam Kuala Atok itu menjadi sangat  luas.  Apabila Tok keli memegang jawatan Pembesar Berlapan di Mukim Sega, maka dikeluarkan arahan melantik ketua kampong Kuala Atok bagi memudahkan urusan berkerajaan di Pahang.

          Maka akan penduduk Kuala Atok    memandang hal ini juga penting.   Untuk melantik seorang ketua  perlu banyak perkara yang dipertimbangkan.  Terlebih lagi sang ketua ini perlu sangat-sangat dipercayai oleh Penghulu Mukim Sega yang menjadi  Penghulu  Raja Pahang.

          Maka pada waktu itu tidaklah ada tokoh yang rapat dengan  Tok Keli dari segi kekeluargaan  melainkan  anak sepupu Tok Keli yang bernama  Tok Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad (Keramat Budu Terap) .  Dalam jalur keturunan lain dapat dibaca sebagai Abdul Rahman binti   Mastera binti Uji  bin Ngah Janggut bin Tok Aya  bin Tok De binti Itam Mas Pahang bin  Tok Kaya Ibrahim (Budu ).

          Setelah Tok Abdul Rahman ini meninggal dunia sekitar tahun 1920-an, maka sepakat pula penduduk Kuala Atok mengangkat tokoh kedua  menjadi  ketua kampong   iaitu Bilal Ibrahim bin Yat  bin  Imam Long bin Sabudin bin Tok Kaya Busu bin Tok Kaya Chandak binti Itam Mas Pahang bin Tok Kaya Ibrahim (Budu).     Dapat dibaca juga jalur keturunannya seperti berikut. Bilal Ibrahim bin Yat binti   Imam Long binti Embong Saedah bin Tok Mohd Amin (Keramat Bukit Tersan) bin Abdul Malik Tok Malek     bin  Tok Mat Saleh bin  Ngah Endek bin  Mohd Ali Jaafar Sidek. Mohd Ali Jaafar Sidek bin  Raja Muhamad baginda Demu  binti  Seri  .

          Sesudah Bilal Ibrahim meninggal dunia, berlama-lama juga Kampung Kuala Atok tiada berketua.  Sehingga sesudah  merdeka (1964) diangkat Mahmud bin Ubar bin Umar bin Teh  Din bin Tok Mat Amin Bukit Tersan menjadi ketua kampung.  Semasa zaman pentadbirannya, Tanah Pinggir Sejuk dan Tanah Pinggir Ulu Temalir dibuka.  Tanah seluar lima ke enam ekar itu diagih kepada penduduk Kuala Atok  untuk tanaman getah. Pada masa ini juga (1963) jambatan besi dibina merentasi Sungai Lipis dan pada (1967) sebuah masjid  batu dibina di sisi tanah perkuburan Kuala Atok.

          Sesudah Mahmud bin Ubar berhenti menjadi ketua kampung, agak lama juga Kampung Kuala Atok tiada berketua.  Maka kira-kira tahun 1970, diangkat  Abdul Manan bin Umar bin Juan bin Bilal Muhamad  (anak Saudara Hj. Abdul Rahman – ketua kampung pertama) menjadi ketua  kampung Kuala Atok ke-4.   Pada zaktu pentadbirannya, tanah berkelompok kampung Sejuk dibuka dan diagih kepada penduduk Kuala Atok.  Pada waktu ini juga api letrik dan air paip dibawa masuk dan jalan berturap tar dibina.
          Sesudah Abdul Manan bin Umar melepaskan jawatan  ketua kampung, agak lama juga  Kampung Kuala Atok tiada berketua.  Jawatan itu kemudiannya disandang oleh Yusuf bin Mat sebagai ketua kampung Kuala Atok ke-5 pada 1981.

          Sesudah Yusuf bin Mat ,  pada tahun  1993  Ahmad Asnawi   bin Lebai Hasan anak Timah anak Hj. Derapor anak Imam Long diangkat menjadi ketua kampung ke-6.  Akan jalur keturunan Ahmad Asnawi sebelah maknya boleh dibawa seperti berikut. Ahmad Asnawi anak Dayang anak Siti Nah anak Tok Tahir anak Baanum (bernikah dengan Imam Pamat ) .  Abang Iparnya tirinya Mahmud bin Ubar adalah ketua kampung Kuala Atok  sebelum itu  dan Tok Empat keria, abang Ipar tirinya menjadi Tok Empat Kampung Tersan)

          Kamaruzaman bin Abas bin Bilal Ibrahim (Ketua kampung Kuala Atok ke-2) bin Lebai Yat bin Imam Long   diangkat menjadi ketua kampung  pada 1996  dan    meletak jawatan tahun  2010.
          Disudahi riwayat ini dengan dua rangkap pantun yang indah.

          Batu Pahat Pantai Kundur,
          Nampak berbalam tanah seberang;
          Hamba yang ralat mohon berundur,
          Moga tidak menyusahkan orang.

          Asal santan darinya santan,
          Darinya santan dijadikan minyak;
          Jika salah laku perbuatan,
          Mohon maaf berbanyak-banyak.

Sekian
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA   2015

PEMIKIRAN FILOSOF MUHAMAD IQBAL DALAM MEMBANGUNKAN PERIBADI DAN HIDUP BERNEGARA

 



Muhamad Iqbal, pujangga, penyair  dan filosof besar dunia Islam abad ke-20 adalah satu nama yang menjadi kenang-kenangan umat Islam.  Asas kelahirannya   di Sialkot, Punjab, Pakistan pada 9 November 1877 menjadi sejarah manis umat ini.  Abu Hasan  al-Husni an-Nadwi  dalam salah  sebuah  karyanya menyifatkan Muhamad Iqbal sebagai ‘ otak yang cerdas yang pernah dilahirkan oleh peradaban baru yang berkembang dan menghasilkan buah di Dunia Islam semenjak satu abad penuh, seorang ahli fakir terbesar yang pernah dilahirkan Timur pada masa kita kini.  Tidak seorang pun yang kita jumpa di  antara mereka intelek Timur dan cendekiawan – betapa juga banyaknya di antara mereka yang mengunjungi Barat  dan belajar di sana – yang berpandangan   seperti dia dan dapat menganalisa peradaban Barat itu secara mendalam menyorotinya dari ruang ke ruang.’

            Pada sampai usia bersekolah, Iqbal belajar Al Qur’an di surau. Di sinilah Iqbal banyak menghafaz  ayat-ayat Al Qur’an yang selanjutnya menjadi rujukan pengembangan gagasannya dalam pembaharuan keislamannya. Selanjutnya dia meneruskan ke Scottish Mission School, Sialkot. Di sini dia bertemu guru ternama sekaligus teman karib ayahnya, Sayid Mir Hasan. Pengaruh Mir Hasan ini sangat kuat pada dirinya ini dibuktikannya dengan menolak pemberian gelar Sir oleh pemerintah inggris pada tahun 1922, sebelum gurunya mendapat gelar kehormatan pula, yaitu Syams al- ‘Ulama.

Dalam sebuah sajaknya Iqbal mengakuinya :

Cahaya dari keluarga Ali yang penuh berkah
Pintu gerbangnya dibersihkan senatiasa
Bagiku bagaikan Ka’bah
Nafasnya menumbuhkan tunas keinginanku, penuh gairah hingga menjadi kuntum bunga yang merekah indah
Daya kritis tumbuh dalam diriku oleh cahayanya yang ramah
 


Pada tahun 1895 Iqbal menyelesaikan pelajarannya di Scottish dan dia pergi ke Lahore untuk  melanjutkan Studi Government College. Di sinilah dia berguru kepada  Sir Thomas Arnold . Dengan pencapaian terbaik    bahasa Inggris dan Arab ,dia melanjutkan pendidikannya  ke Eropah  pada tahun 1905. Iqbal memilih melanjutkan di Cambridge University, Inggris mempelajari  filsafat dengan Mc. Taggart, kemudian memperoleh   Ph.D  di Munich, Jerman   pada tahun1908 dengan disertasi berjudul The development of Methapysics of Persia . Iqbal kembali ke tanahairnya pada tahun 1908.

Dalam disertasi inilah Iqbal mengkritik tajam ajaran tasawwuf dengan mengatakan tidak mempunyai dasar yang kukuh dan historis dalam ajaran Islam yang murni. Iqbal melihat ada nilai-nilai baik yang transendental yang tak dimiliki oleh Eropa.   Dalam masa-masa seterusnya, Iqbal  menegur  mullah dan sufi yang telah membawa umat Islam jauh dari maksud al Qur’an sebenarnya. Pendekatan mereka tentang hidup menjadi negatif dan fatalis. Iqbal mengeluh ketidakmampuan umat Islam India dalam memahami - al -Qur’an disebabkan ketidakmampuan   memahami bahasa Arab dan telah salah import  ide-ide India ( Hindu ) dan Yunani ke dalam Islam  . Dia begitu bersungguh-sungguh untuk menyadarkan umat Islam untuk lebih progresif dan dinamis
          Muhamad Iqbal sebagai penyair  menggarap falsafahnya tentang pembentukan diri dalam “Asrar-I-Khudi” dan falsafahnya tentang pembinaan masyarakat pula dalam “Rumuz-e-Bekhudi” iaitu “Rahsia-rahsia Sikap Tidak mementingkan Diri” dalam Bahasa Inggerisnya “The Mysteries of Selflessness”.
 
            “Asrar-I-Khudi” digubahkan mengikut bait yang digunakan dalam Kitab “Masnawi Ma’nawi” karangan Jalaluddin Rumi yang terkenal itu. Dalam bahagian awalnya beliau menyatakan bagaimana Jalaluddin Rumi, yang kepada beliau adalah seperti hubungan Virgil dengan Dante penyaer Itali terkenal itu, muncul dalam pemandangan rohaniah, dan memintanya supaya bangun dan berlagu.

               Dalam pembentukan diri, Iqbal  yakin umat Islam harus menyebarkan misi Islam. Meraka tidak seharusnya beristirahat kecuali mereka telah menyelesaikan tugas ini. 

Ribuan citra disusun, dipahat dan dihapus
Agar citramu dapat diukir dalam tablet wujud
Ribuan pengaduan dan air mata
Disemai dan disebarkan di dalam jiwa
Agar seruan shalat dapat mengembang
Sepanjang manusia berada dalam peperangan
Dengan jiwa-jiwa mulia
Dan ia menyenangi para penyembah Tuhan-tuhan
yang salah
Dan kata monotaisme
menemukan ekspresi melalui bibir-bibir
Pusat lingkaran semesta adalah La Ilaha ilallah
Adalah kekuatan yang menjaga langit agar
Tetap berputar.


Sebagaimana tanggapan  Sayyid Qurb di Mesir yang amat mengerti akan keruntuhan tamadun kemanusiaan di Eropah dan Amerika, Iqbal mempunyai pengalaman yang sama.   Segalanya berlaku kerana asas-asas pemerolehan ilmu Islam   sejak kecil membentuk pemikiran Islam yang kukuh di jiwa Iqbal.  Selepas  memahami Quran, Sunnah, dan punca-punca ilmu-ilmu Islam dan sejarah serta budayanya, beliau mendalami falsafah Barat dan sasteranya; nampaknya dari tulisan-tulisannya beliau terpengaruh dengan Nietzsche, Bergson, dan dari segi persajakannya beliau nampaknya mengingatkan kita kepada penyair-penyair Romantik seperti Shelley.  Walau apa pun yang boleh dikatakan tentang unsur-unsur pengaruh yang ada padanya ,beliau berfikir dan berperasaan seperti Muslim tulen. Inilah kehebatan peribadi insan yang berakal dan berjiwa tinggi tidak larut keperibadiannya ketika dia mendalami alam intelektual dan budaya lain.
 
               Dalam era perjuangan pembaharuan melanda dunia Islam, Muhamad Iqbal melihat kedudukan umat Islam di Negara Islam yang terus-terusan menerima pengaruh Barat  .  Beliau melontarkan pandangannya dengan berani,” Peradaban yang hampir mati tidak akan dapat menghidupkan yang lainnya… wahai muslim! Janganlah kamu hampakan peribadimu dengan taklid buta, tetapi selalulah menjaga kehormatanmu kerana kehormatan itu adalah satu-satunya permata.  Pembaharuan dengan erti pembaratan tidak layak diterima kecuali bagi bangsa yang hanya mementingkan kesenangan dan kemewahan.  Saya khuatir seruan kepada pembaharuan itu hanyalah satu dalih dan mencari kesempatan untuk meniru Barat.

               Terhadap Kamal Attaturk di Turki yang dianggap oleh Muhamad Iqbal sebagai pemimpin yang tidak punyai kreativiti dan jiwa, beliau berkata,” Kamal yang mendendangkan lagu pembaharuan di dalam kehidupan Turki dan yang menganjurkan untuk menghapuskan semua bekas lama dan pusaka bahari mengimport berhala-berhala baru dari Eropah.  Sekarang pemimpin Turki itu tidak mempunyai lagu baru.  Semua itu hanyalah lagu-lagu yang dinyanyikan dan diulang-ulang oleh  Eropah beberapa lama.  Yang baru katanya itu ialah barang lama di Eropah yang telah dimakan zaman, diminum masa.  Dalam dadanya tiada terdapat nafas baru dan di dalam hatinya tiada ditemu dunia baru, sehingga ia terpaksa mencari jawapan kepada Dunia Eropah sekarang.”

               Setelah menjelaskan semua tabiat ajaran Islam, Iqbal   meminta umat Islam    menghancurkan berkeping-keping berhala baru yang dipahat oleh para penipu dari Barat. Apakah berhala baru itu?

Engkau orang yang memegang bukumu
Harus melangkah maju di medan aksi
Pikiran manusia selalu mencari baru
Tidak pernah berhenti sepanjang zaman
Lagi, dia membangun biara Azar
Dan telah mencipta satu Tuhan, lebih baru ketimbang yang lain,
Yang kesenangannya terletak pada
Mengalirkan darah para penyembahnya,
Namanya banyak: warna, Negara, dan ras?


              Dalam ucapannya di perhimpunan Liga Muslim pada tahun 1933, dengan berterus-terang memberi matlamat jelas akan keperluan sebuah Negara untuk umat Islam.  Muhamad Iqbal berkata,” Agama dan panji-panjinya yang  tuan-tuan pikul ini mengakui harga diri peribadi dan melatihnya sehingga rela memberikan apa-apa jua yang dimilikinya untuk fi sabilillah .  Simpanan dan perbendaharaan daripada agama yang luas ini tidak akan habis-habis.  Agama ini sanggup mencipta dunia baru di mana orang-orang miskin akan hidup sebagai orang-orang kaya sedangkan masyarakat manusia tidaklah didasarkan atas persamaan perut tetapi atas persamaan jiwa.”

          Pandangan jauh dan kegigihan yang belum ada bandingan yang dilontarkannya inilah yang menjadi dasar berdirinya Negara Pakistan pada 1947.  Dasar fikiran Iqbal ini didendangkan kembali oleh Muhamad Ali Jinnah sepuluh tahun kemudiannya setelah berdirinya Negara Pakistan, “ Tujuan dan sasaran kita yang terakhir ialah berdirinya Negara di mana kita dapat hidup bebas dan dengan kebudayaan kita.  Pokok-pokok keadilan sosial dalam Islam dapat dilaksanakan dengan bebas.”
                      Cetusan ilhamnya  yang hebat dalam membebaskan kehidupan  bernegarabangsa  ini mengukuhkan semangat pemaju Pakistan pada tahun-tahun kemudiannya. Perdana Menteri Pakistan, Liaquat Ali Khan dalam ucapannya pada tahun 1950 menegaskan pemikiran Iqbal itu lagi dengan pidatonya, “ Kita menuntut Pakistan ialah agar kaum Muslimin dapat hidup sesuai dengan ajaran-ajaran Islam.  Kita menginginkan suatu makmal di mana kita dapat mendirikan suatu Negara berdasarkan prinsip-prinsip Islam, yakni yang belum pernah dilahirkan dunia lebih baik daripada itu.”







Bahan bacaan

1.      Muhammad Iqbal. Drs., “Rekonstruksi Pemikran Islam”, Kalam Mulia, 1994
2.      Ali. H. M., “ Alam Pemikiran Islam di India dan Paskistan”, Mizan, Bandung 1993
3.      Harun Nasution, “Pembaharuan dalam Islam”, Bulan bintang, Jakarta, 1987
4.      Abul Hasan Ali al-husni an-nadwi, Pertarungan antara alam fikiran islam dengan alam fikiran Barat, PT Alma’arif, Bandung. 1983


 

PUISI-PUISI AMIR HAMZAH




Amir Hamzah lahir di Tanjung Pura, Langkat, Sumatra Utara, pada 28 Februari 1911 dan meninggal dunia pada 20 Maret 1946 di Kuala Begumit, Binjai. Nama lengkapnya adalah Tengku Amir Hamzah Pangeran Indrapura yang kemudian disingkat menjadi Tengku Amir Hamzah. Nama Amir Hamzah diberikan oleh sang ayah karena kekagumannya kepada Hikayat Amir Hamzah.

 Amir Hamzah mewariskan dua buah kumpulan sajak karangannya, yaitu Buah Rindu dan Nyanyi Sunyi.Sutan Takdir Alisyahbana mengatakan, banyak pengamat yang menilai bahwa Nyanyi Sunyi bukan hanya merupakan puncak pencapaian kreatif Amir Hamzah, namun juga menjadi salah satu puncak bagi kepenyairan Indonesia. Antologi puisi Nyanyi Sunyi menjadi pemula bagi sajak-sajak kemudian yang membahasakan kesunyian.

Kumpulan sajak Amir Hamzah yang lain, yaitu Buah Rindu, sebenarnya cenderung merupakan semacam catatan biografi. Meskipun buku kumpulan puisi ini terbit lebih belakangan dibanding Nyanyi Sunyi, namun proses penulisannya lebih dahulu dibanding puisi-puisi pada Nyanyi Sunyi. Sajak-sajak dalam kumpulan puisi Nyanyi Sunyi adalah sajak-sajak yang   lebih melukiskan perjuangan dalaman  sang penyair. Melalui Nyanyi Sunyi itulah kehidupan menjadi semacam ruang filosofis yang sunyi.

Para peneliti dan kritikus sastra yang menyimpulkan dua hal tentang bahasa puisi Amir Hamzah. Di satu sisi, ia seolah-olah terikat pada bahasa Melayu, namun di sisi lain Amir Hamzah juga sangat bebas ketika memasukkan beberapa kata yang berasal dari bahasa Jawa, Kawi, atau Sansekerta. Ketika membaca sajak-sajak Amir Hamzah, tak jarang pembaca akan menemui beberapa kata yang bukan berasal dari bahasa Melayu, misalnya dewangga, dewala, sura, prawira, estu, ningrum, padma, cendera, daksina, purwa, jampi, sekar, alas, maskumambang, dan lain sebagainya.

Amir Hamzah mewariskan 50 sajak asli, 77 sajak terjemahan, 18 prosa liris, 1 prosa liris terjemahan, 13prosa, dan 1 prosa terjemahan. Jumlah keseluruhan karya itu adalah 160 tulisan. Jumlah karya tersebut masih ditambah dengan Setanggi Timur yang merupakan puisi terjemahan, dan terjemahan Bhagawat Gita.


Sunyi Itu Duka
Sunyi itu duka
Sunyi itu kudus
Sunyi itu lupa
Sunyi itu lampus

Padamu Jua

Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padamu
Seperti dahulu

Kaulah kandil kemerlap
Pelita jendela di malam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia selalu

Satu kekasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa

Di mana engkau
Rupa tiada
Suara sayup
Hanya kata merangkai hati

Engkau cemburu
Engkau ganas
Mangsa aku dalam cakarmu
Bertukar tangkap dengan lepas

Nanar aku gila, gila sasar
Sayang berulang padamu jua
Engkau pelik menarik ingin
Serupa dara di balik tirai

Kasihmu sunyi
Menunggu seorang diri
Lalu waktu bukan giliranku
Mati hari – bukan kawanku ...


Barangkali

Engkau yang lena dalam hatiku
Akasa swarga nipis-tipis
Yang besar terangkum dunia
kecil terlindung alis

Kujunjung di atas hulu
Kupuji di pucuk lidah
Kupangku di lengan lagu
Kudaduhkan di selendang dendang

Bangkit Gunung
Buka mata-mutira-mu
Sentuh kecapi lirdusi
Dengan jarimu menirus halus

Biar siuman dewi-nyanyi
Gambuh asmara lurus lampai
Lemah ramping melidah api
Halus harum mengasap keramat

Mari menari dara asmara
Biar terdengar swara swarna
Barangkali mati di pantai hati
Gelombang kenang membanting diri


Hanya Satu

Timbul niat dalam kalbumu
Terban hujan, ungkai badai
Terendam karam
Runtuh ripuk  tamanmu rampak

Manusia kecil lintang pukang
Lari terbang jatuh duduk
Air naik tetap terus
Tumbang bungkar pokok purba

Teriak riuh redam terbelam 
Dalam gegap gempita guruh
Kilau kilat membelah gelap
Lidah api menjulang tinggi

Terapung naik jung bertudung
Tempat berteduh nuh kekasihmu
Bebas lepas lelang  lapang
Di tengah gelisah, swara sentosa

***

Bersemayam sempana di jemala gembala 
Duriat  jelita bapakku Ibrahim
Keturunan intan dua cahaya
Pancaran putera berlainan bunda .

Kini kami bertikai pangkai
Di antara dua, mana mutiara
Jauhari ahli lalai menilai
Lengah langsung melewat abad.

Aduh kekasihku
Padaku semua tiada berguna
Merasa dikau dekat rapat
Serupa Musi di puncak Tursina


Permainanmu

Kaukeraskan kalbunya
Bagai batu membesi benar
Timbul telangkaimu bertongkat urat 
Ditunjang pengacara petah pasih

Dihadapanmu lawanmu
Tongkatnya melingkar merupa ular 
Tangannya putih, putih penyakit 
Kekayaanmu nyata,terlihat terang

Kekasihmu ditindasnya terns 
Tangan,tapi tersembunyi 
Mengunci bagi paten
Kalbu ratu rat rapat

Kaupukul raja-dewa
Sembilan cambuk melecut dada 
Putera-mula peganti diri
Pergi kembaii ke asal asli

Bertanya aku kekasihku
Permainan engkau permainkan
Kautulis kaupaparkan 
Kausampaikan dengan lisan

Bagaimana aku menimbang 
Kaulipu lipatkan
Kaukelam kabutkan
Kalbu ratu dalam genggammu 

Kauhamparkan badan
Ditubir bibir pantai permai
Raja ramses penaka durjana
Jadi tanda di hari muka

Bagaimana aku menimbang
Kekasihku astana sayang
Ratu restu telaga sempurna
Kekasihku mengunci hati
Bagi tali disimpul mati.


Turun Kembali

Kalau aku dalam engkau
Dan engkau dalam aku
Adakah begini jadinya
Aku hamba engkau penghulu?

Aku dan engkau berlainan
Engkau raja, maha raya
Cahaya halus tinggi mengawang
Pohon rindang menaung dunia

Di bawah teduh engkau kembangkan
Aku berhenti memati hari
Pada bayang engkau mainkan
Aku melipur meriang hati

Diterangi cahaya engkau sinarkan
Aku menaiki tangga mengawan
Kecapi firdusi melena telinga
Menyentuh gambuh dalam hatiku

Terlihat ke bawah.
Kandil kemerlap
Melambai cempaka ramai tertawa
Hati duniawi melambung tinggi
Berpaling aku turun kembali.


Karena Kasihmu

Karena kasihmu
Engkau tentukan waktu
Sehari lima kali kita bertemu

Aku anginkan rupamu
Kulebihi sekali
Sebelum cuaca menali sutera

Berulang-ulang kuintai-intai
Terus-menerus kurasa-rasakan
Sampai sekarang tiada tercapai
Hasrat sukma idaman badan

Pujiku dikau laguan kawi
Datang turun dari datuku
Diujung lidah engkau letakkan
Piatu teruna ditengah gembala 

Sunyi sepi pitunang poyang
Tadak meretak dendang dambaku
Layang lagu tiada melangsing
Haram gemerencing genta rebana

Hatiku, hatiku
Hatiku sayang tiada bahagia
Hatiku kecil berduka raya
Hilang ia yang dilihatnya.


Sebab Dikau

Kasihkan hidup sebab dikau
Segala kuntum mengoyak kepak
Membunga cinta dalam hatiku
Mewangi sari dalam jantungku

Hidup seperti mimpi
Laku lakon di layar terkelar
Aku pemimpi lagi penari
Sedar siuman bertukar-tukar

Maka merupa di datar layar
Wayang warna menayang rasa
Kalbu rindu turut mengikut
Dua sukma esa-mesra

Aku boneka engkau boneka
Penghibur dalang mengatur tembang
Di layar kembang bertukar pandang
Hanya selagu, sepanjang dendang

Golek gemilang ditukarnya pula
Aku engkau di kotak terletak
Aku boneka engkau boneka
Penyelang dalang mengarak sajak.


Doa

Dengan apakah kubandingkan pertemuan kita, kekasihku?
Dengan senja samar sepoi, pada masa purnama meningkat naik,
setelah menghalaukan panas payah terik
Angin malam menghembus lemah, menyejuk badan, melambung
rasa menanyang pikir, membawa angan ke bawah kursimu.
Hatiku terang menerima katamu, bagai bintang memasang lilinnya.
Kalbuku terbuka menunggu kasihmu, bagai sedap-malam menyirak kelopak
Aduh, kekasihku, isi hatiku dengan katamu, penuhi dadaku dengan cahayamu, biar bersinar mataku sendu, biar berbinar gelakku rayu

Hanyut Aku

Hanyut aku, kekasihku!
Hanyut aku
Ulurkan tanganmu, tolong aku.
Sunyinya sekelilingku!
Tiada suara kasihan, tiada angin mendingin
tiada air menolak ngelak
Dahagaku kasihmu, hauskan bisikmu, mati aku sebabkan diammu.
Langit menyerkap, air berrepas tangan, aku tenggelam. Tenggelam dalam malam.
air diatas mendidih keras.
Bumi didawah menolak keatas.
Mati aku, kekasihku, mati aku!


Taman Dunia

Kau masukkan aku ke dalam taman-dunia, kekasihku
Kaupimpin jariku, kautunjukkan bunga tertawa; kuntum tersenyum.
Kautundukkan haluku tegak, mencium wangi tersembunyi sepi.
Kaugemelaikan di pipiku rindu daun beldu melunak lemah.
Tercengang aku, takjub, terdiam.
Berbisik engkau:
Taman swarga, taman swarga mutiara rupa”.
Engkaupun lenyap.
Termangu aku gilakan rupa


Terbuka Bunga

Terbuka bunga dalam hati!
Kembang rindang disentuh bibir-kesturi-mu. 
Melayah-layah mengintip restu senyumanmu
Dengan mengelopaknya bunga ini, layulah bunga lampau, kekasihku.
Bunga sunting-hati-ku, dalam masa mengembara menanda dakau.
Kekasihku! inikah bunga sejati yang tiadakan layu

Mengawan

Rengang aku dari padaku, mengikut kawalku mengawan naik
Mewajah ke bawah, tertentang aku, lemah lunak, kotor, terhantar, paduan benda empat perkara.
Datang pikiran membentang kenang, membunga cahaya cuaca lampau, menjadi terang mengilau kaca.
Lewat lambat aku dan dia, ria tertawa, bersedih suka, berkasih pedih, bagi merpati bersambut mulut.
Tersenyum sukma, kasihan serta.
Benda mencintai benda………………….
Naik aku mengawan rahman, mengikut kawalku membawa warta.
Kuat, sayapku kuat, bawakan aku, biar sampai membidai-belai cecah tersentuh, di kursi kesturi


Panji di Hadapanku

Kau kibarkan panji di hadapanku.
Hijau jernih diampu tongkat mutu-mutiara.
Di kananku berjalan, mengiring perlahan, ridlamu rata, dua sebaya, putih-putih, penuh melimpah, kasih persih.
Gelap-gelap kami berempat, menunggu-nunggu, mendengar-dengar suara sayang, panggilan-panjang, jauh-teratuh, melayang-layang.
Gelap-gelap kami berempat, meminta-minta, memohon-motion, moga terbuka selimut kabut, pembungkus halus nokta utama.
Jika nokta terduka-raya
Jika kabut tersingkap semua
Cahaya ridla mengilau ke dalam
Nur rindu memancar keluar


Memuji Dikau

Kalau aku memuji dikau, dengan mulut tertutup, mata terkatup,
Sujudlah segalaku, diam terbelam, di dalam kalam asmara raya.
Turun kekasihmu, mendapatkan daku duduk bersepi, sunyi sendiri.
Dikucupnya bibirku, dipautnya bahuku, digantunginya leherku, hasratkan suara sayang semata.
Selagi hati bernyanyi, sepanjang sujud semua segala,
bertindih ia pada pahaku, meminum ia akan suaraku……………………
Dan,
Iapun melayang pulang,
Semata cahaya,
Lidah api dilingkung kaca,
Menuju restu, sempana sentosa.


Kurnia

Kaukurnia aku,
Kelereng kaca cerah cuaca,
Hikmat raya tersembunyi dalamnya,
Jua bahaya dikandung kurnia,
Jampi kauberi, menundukkan kepala naga angkara.
Kelereng kaca kilauan kasih, menunjukkan daku itu lisan tanganmu.
Memaksa sukmaku bersorak raya, melapangkan dada¬ku menanti sentosa.
Sebab kelereng guli riwarni, kuketahui langit tinggi 
berdiri, tanah rendah membukit datar.
Kutilik diriku, dua sifat mesra satu:
Melangit tinggi, membumi keji

Doa Poyangku

Poyangku rata meminta sama
Semoga sekali aku diberi
Memetik kecapi, kecapi firdusi
Menampar rebana, rebana swarga

Poyangku rata semua semata
Penabuh bunyian turun-temurun
Leka mereka karena suara
Suara sunyi suling keramat

Kini rebana di celah jariku
Tari tamparku membangkit rindu
Kucoba serentak genta genderang
Memuji kekasihku di mercu lagu

Aduh, kasih hatiku sayang
Alahai hatiku tiada bahagia
Jari menari doa semata
Tapi hatiku bercabang dua

Turun Kembali

Kalau aku dalam engkau
Dan engkau dalam aku
Adakah begini jadinya
Aku hamba engkau penghulu?

Aku dan engkau berlainan
Engkau raja, maha raya
Cahaya halus tinggi mengawang
Pohon rindang menaung dunia

Di bawah teduh engkau kembangkan 
Aku berhenti memati hari
Pada bayang engkau mainkan
Aku melipur meriang hati

Diterangi cahaya engkau sinarkan
Aku menaiki tangga mengawan
Kecapi firdusi melena telinga 
Menyentuh gambuh dalam hatiku.

Terlihat ke bawah,
Kandil kemerlap
Melambai cempaka ramai tertawa 
Hati duniawi melambung tinggi 
Berpaling aku turun kembali


Batu Belah (kabaran)

Dalam rimba rumah sebelah
Teratak bambu terlampau tua
Angin menyusup di lubang tepas
Bergulung naik di sudut sunyi

Kayu tua membetul tinggi
Membukak puncak jauh diatas
Bagai perarakan melintas negeri
Payung menaung jamala raja

Ibu papa beranak seorang
Manja bena terada-ada
Lagu lagak tiada disangkak
Mana tempat ibu meminta.

Telur kemahang minta carikan
Untuk lauk di nasi sejuk

Tiada sayang; 
Dalam rimba telur kemahang
Mana daya ibu mencari
Mana tempat ibu meminta

Anak lasak mengisak panjang
Menyabak merunta mengguling diri
Kasihan ibu berhancur hati
Lemah jiwa karena cinta

Dengar…………….dengar!
Dari jauh suara sayup
Mengalun sampai memecah sepi 
Menyata rupa mengasing kata

Rang………rang…………rangkup
Rang………rang…………rangkup
Batu belah batu bertangkup 
Ngeri berbunyi berganda kali

Diam ibu berpikir panjang 
Lupa anak menangis hampir 
Kalau begini susahnya hidup 
Biar ditelan batu bertangkup

Kembali pula suara bergelora 
Bagai ombak datang menampar 
Macam sorak semarai rampai 
Karena ada hati berbimbang

Menyabut ibu sambil tersedu 
Meragu langsing suara susah:

Batu belah batu dertangkup 
Batu tepian tempat mandi
Insya Allah tiadaku takut 
Sudan demikian kuperbuat janji

Bangkit bonda bedalan pelan 
Tangis anak bertambah kuat
Rasa risau dermaharajalela 
Mengangkat kaki melangkah cepat 

Jauh ibu lenyap di mata
Timbul takut di hati kecil
Gelombang bimbang mengharu pikir
Berkata jiwa menanya bonda

Lekas pantas memburu ibu
Sambil tersedu rindu berseru
Dari sisi suara sampai
Suara raya batu bertangkup.

Lompat ibu ke mulut batu
Besar terbuka menunggu mangsa
Tutup terkatup mulut ternganga
Berderak-derik tulang-belulang

Terbuka pula,merah basah
Mulut maut menunggu mangsa
Lapar lebar tercingah pangah
Meraung riang mengecap sedap………….

Tiba dara kecil sendu
Menangis pedih mencari ibu
Terlihat cerah darak merah
Mengerti hati bonda tiada

Melompat dara kecil sendu
Menurut hati menaruh rindu……….

Batu belah, batu bertangkup
Batu tepian tempat mandi
Insya Allah tiadaku takut
Sudan demikian kuperbuat janji.


Di dalam Kelam

Kembali lagi marak-sumarak
Jilat melonjak api penyuci
Datam hatiku tumbuh jahanam
Terbuka neraka di lapangan swarga 

Api melambai merengkung lurus 
Merunta ria melidah belah
Menghangus debu mengitam belam 
Buah tenaga bunga suwarga

Hati firdusi segera sentosa
Murtad merentak melaut topan 
Naik kabut mengarang awan 
Menghalang cuaca nokta utama

Berjalan aku di dalam kelam 
Terus lurus moal berhenti
jantung dilebur dalam jahanam
Kerongkong hangus kering peteri

Meminta aku kekasihku sayang: 
Turunkan hujan embun rahmatmu 
Biar padam api membelam
Semoga pulih pokok percayaku


Ibuku Dahulu

Ibuku Dahulu

Ibuku dahulu marah padaku
Diam ia tiada berkata
Akupun lalu merajuk pilu
Tiada perduli apa terjadi

Matanya terus mengawas daku
Walaupun bibirnya tiada bergera
Mukanya masam menahan sedan