Pembukaan Kampung Sengkela



Lawatan Tun Abdul Razak Ke Kampung Sengkela
Sekitar tahun 1725 Masehi, seorang bangsawan iaitu   Raja Ahmad dari Luhak Tanah Datar, Minangkabau, tepatnya dari Sungai Tarab, Pagaruyung melangkahkan kakinya dalam rangka kelana  . Beliau  diiringi oleh anak saudaranya bernama Raja Hitam.   Pada waktu itu, Raja Ahmad sudah pun berumur sekitar 42 tahun dan Raja Hitam di awal 20-an.

Setibanya di tanah semenanjung, tempat yang mula-mula dijejaki mereka ialah daerah Durian Sebatang dalam jajahan hilir Perak. Pada masa itu, Perak diperintah oleh Raja Radin ibni Yang Dipertuan Muda Raja Mansur bergelar Sultan Alauddin Mughayat Syah (Sultan Perak 1720-1728). Di bumi Perak inilah Raja Ahmad dan Raja Hitam mula-mula mencuba nasib dan tuah badan untuk menilai apakah mereka akan serasi hidup di sana atau pun tidak. Kebetulan pada waktu itu, perairan Perak sering diganggu oleh lanun-lanun dan bajak laut yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Malangnya tidak ada walau seorang pun dari kalangan pembesar mahu pun hulubalang Perak yang mampu menangani ancaman lanun-lanun terbabit.

Raja Ahmad dan Raja Hitam berserta para pengikut setia mereka telah berbakti kepada Kerajaan Perak dengan menewaskan kesemua lanun-lanun yang bermaharajalela tersebut berbekalkan ilmu persilatan dan kebatinan yang tinggi yang dibawa mereka semenjak dari Pagaruyung lagi. Sebagai balasan di atas jasa beliau itu, Raja Ahmad telah dikurniakan gelar kemuliaan “Tok Perak” .
Mulai saat itu, pudarlah nama batang tubuhnya yang asal iaitu Raja Ahmad lalu melekatlah panggilan Tok Perak sahaja dalam kalangan anak cucunya dan masyarakat sekeliling yang mengenalinya sehinggalah ke akhir hayatnya. Raja Hitam pula kemudiannya dikenali sebagai “Panglima Hitam” sahaja kerana mereka berdua beranak telah membuktikan kehandalan ilmu kepahlawanan mereka sebagai seorang panglima Melayu yang tulin.

Raja Ahmad atau Panglima Tok Perak bermastautin di bumi Perak dan beristerikan seorang perempuan dari Sungkai bernama Tok Nuri atau Tok Nuriah. Melalui perkahwinan dengan Tok Nuriah ini  beroleh enam orang anak (yang dapat dikesan) iaitu Imam Abdullah Hasyim @ Tok Duhas, Tok Akil, Tok Barir, Halipah, Anjang Mas Suka dan Tok Pudi.

Maka, sekitar tahun 1755 Masehi berpindahlah pula  Panglima Tok Perak membawa isterinya serta beberapa orang anaknya   dengan diikuti juga oleh anak saudaranya, Raja Hitam menuju ke Hulu Pahang. Laluan yang diikuti mereka sama saja dengan laluan yang diikuti oleh orang-orang dagang dari Sumatera yang ingin ke Hulu Pahang sebelumnya mahupun di zaman selepas beliau iaitu menyusuri laluan Tapah ke Hulu Slim sehingga tembus ke Hulu Sungai, Batu Talam (di buka oleh Tok De Abdul Rahman bin Tok Aya). Pada masa itu, yang merajai Pahang ialah Bendahara Seri Maharaja Tun Abas (1722-1764) ibni Bendahara Paduka Raja @ Sultan Abdul Jalil Riayat Syah 4 (1699-1718).

Dari Batu Talam, beliau diberi maklum ada tanah antara Pasir Purun dengan Batu Talam yang belum diteroka.  Akan mendiami tanah itu mestilah dengan mendapat kebenaran pembesar setempat.  Lalu rombongan Panglima Tok Perak membuat   kunjungan hormat ke pusat pemerintahan Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bin Wan Ismail yang terletak di Bukit Kota, Lipis (setentang Bukit Betong dan hanya dipisahkan oleh aliran Sungai Jelai) kerana Maharaja Perba Jelai adalah salah seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran di rantau Hulu Pahang yang sangat luas.

Selesai menghadap Maharaja Perba Jelai di Bukit Kota, barulah Panglima Tok Perak menghilir pula menuju ke Kampung Terap, Budu untuk melakukan kunjungan hormat terhadap Tok Kaya Chandak di. Kampung Terap .  Tok Panglima Perak diberi izinkan membuka kampung di tebing Sungai Lipis.
Di Semantan Hulu itulah Panglima Tok Perak, Raja Hitam dan lain-lainnya dengan berbekalkan beliung kapak menebang menebas hutan rimba yang subur menghijau di sepanjang aliran Sungai Lipis hinggalah berkembang melahirkan Kampung Sengkela (sekarang dalam Mukim Sega) dan Kampung Gesing (sekarang dalam Mukim Semantan Hulu). Kampung Sengkela itu diperoleh nama daripada rotan Sengkela yang tumbuh dengan banyak di situ.  Di sini jugalah Panglima Tok Perak beroleh isterinya yang kedua bernama Tok Mikrah iaitu anak jati Kampung Terap, Budu yang juga masih keturunan Datuk Baginda Demu dan Datuk Kaya Ibrahim Lipis.   Dari perkahwinan ini Panglima Tok Perak  dengan Tok Mikrah ini beroleh tiga orang anak iaitu Tok Pandak Lena, Tok Fatimah dan Kulop Mat Daham.  


Setelah lebih kurang tiga puluh tahun mengerah tulang empat kerat membuka hutan rimba untuk dibuat kampung dan sawah ladang, pada tahun 1785 iaitu pada zaman pemerintahan Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid (1770-1802) ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Abas, Panglima Tok Perak @ Raja Ahmad telah kembali ke rahmatullah dalam usia 102 tahun dan dikebumikan di perkuburan zaman yang kini dinamakan “Bukit Baru” yang terletak di belakang rumah allahyarham Tok Empat Mohamed bin Imam Kundor, Sengkela. Di sini jugalah tertanamnya jasad Tok Unus (menantu cucu beliau) yang datang dari Kampung Macang Gelap, Chenor, Haji Abdul Latif @ Haji Mahkota Kerinci (juga menantu cucu beliau), Haji Abdul Manan Rawa yang berasal dari Lansek Kadap, Rao Mapattunggul, Pasaman, Raja Hitam @ Panglima Hitam  

Sejah Membuka Kampung Sega Lama Dibuka



            Akan berita terbukanya kampung  Tersan  oleh Tok Mat Amin bin Tok Malik sampai ke Budu.   Akan penduduk Budu yang selama ini giat membuka kampung hingga ke Tanjung Besar memandang pula ke arah Hulu Sungai Lipis.   Antara mereka ialah keluarga Tok Alauddin bin Baharudin bin Tok Mansur Bugis dan  keluarga Tok De Abdul Rahman binti Itam Mas Pahang  binti Tok Kaya Ibrahim  ingin mencari petempatan baru.  

            Bergeraklah mereka menghilir Sungai Teka lalu masuk ke Sungai Lipis.  Dari kuala Sungai Teka itu, mereka mudik ke hulu Sungai Lipis.   Apabila melepasi  Tanjung Aur,  mereka memerhati kawasan Pamah  yang sesuai dibuat tanah kampung.  

            Selepas melalui Jeram (Petai) , mereka berjumpa tanah pamah yang   sesuai dibuat kawasan kampung.  Namun begitu, untuk membersihkan kawasan itu agak sukar kerana terlalu banyak Rotan Sega  tumbuh meliar.  Namun begitu, kerja pembersihan ituakhirnya  berjaya dilakukan.  Sempena banyaknya rotan Sega di situ, kawasan itu diisytihar namanya sebagai kampung Sega.

            Akan Tok De Abdul Rahman, beliau  meletakkan anaknya bernama Tok Aya tinggal  bersama keluarga Tok Alauddin di Sega sebagai mewakili keluarga Tok Kaya Ibrahim di situ.  Beliau dan pengikutnya  bergerak lagi ke kawasan hulu lalu membuka  kampung Batu Talam.

            Kampong Sega Lama ini  kemudiannya melebar ke kawasan    kampung kecil dibuka oleh anak buah Tok Aya.  Antaranya ialah      Kampung Petai  ,     Kampung Bukit Sega,     Kampung Pulau Kepayang  ,   Kampung Genuk  , Chenua dan Saen.   Tok muhamad bin Tok Aya  kemudiannya membuka kampung di Pasir Purun.  Berdiam dia di situ setelah bernikah dengan Ngah anak Tok Shabudin. Apabila jalan raya dibina selepas kemasukan Inggeris ke Pahang, kampung ini melebar ke Sega Tat , Teridi dan Jerua

            Setelah tetap mereka mendiami Sega,  Tok Alaudin  menghantar pinangan kepada  Tok Mat Amin,   di Tersan.  Hajatnya ingin menjodohkan anaknya bernama Shabudin  dengan anak Tok Mat Amin bernama Itam Rabiah.  Pinangan itu diterima dan dilangsungkan pernikahannya.   Daripada pernikahan ini lahirlah anak bernama Yang (suaminya Tok Keli), Til (isterinya Tok Puan) dan Talib.  Dari jalur ini, ada anak cucunya membangsakan mereka berketurunan Bugis .

            Sementara anak Tok Alauddin bernama Ngah (perempuan) pula dipinang oleh Tok Aya bin Tok De Abdul Rahman binti Itam Mas Pahang binti Tok Kaya Ibrahim  untuk anaknya bernama Muhamad.  Maka dinikahkan pasangan itu.  Hasil daripada pernikahan itu lahirlah Daud , Tok Keli, Hj. Muda, Bedah dan Teh.  Akan Tok Keli itu dikemudian hari dinikahkan dengan sepupunya bernama Tok Yang.

            Sesudah kewafatan Tok Mat Amin,  hendaklah diangkat Tok Shabudin ini menjadi penghulu.  Namun kerana beliau  tidak berasa mampu menjawat jawatan penghulu, maka  iparnya, Tok Muhammad bin Tok Aya yang tinggal di Kampung Pasir Purun, Sengkela  ( yang bersempadan dengan Mukim Semantan Hulu),  diminta menjawat jawatan Penghulu.   Akan keputusan itu dibuat kerana Tok Muhamad itu dari jalur kepimpinan  pembesar  Orang Kaya Lipis.  Bapa sepupunya bernama Tok Kaya Busu menjadi  Orang Kaya Lipis ke-11  pada waktu itu.    Akan  jawatan Imam diserahkan kepada  anak Tok Mat Amin bernama Imam Ngah.  Sementara   Tok Shabudin ini  mewarisi urusan kepawangan bagi sealam-alam Sega.

            Kampong Sega Lama ini  kemudiannya melebar ke kawasan    kampung kecil dibuka oleh anak buah Tok Aya.  Antaranya ialah      Kampung Petai  ,     Kampung Bukit Sega,     Kampung Pulau Kepayang  ,   Kampung Genuk  , Chenua dan Saen.  Apabila jalan raya dibina selepas kemasukan Inggeris ke Pahang, kampung ini melebar ke Sega Tat , teridi dan Jeruas. 

            Sesudah  Pahang diperintah atas nasihat British, pentadbiran British  meminta  setiap kampung melantik seorang ketua.  Tetapi kerana pada waktu itu  Tok Keli menjadi Penghulu Sega, tidaklah dilantik  mana-mana ketua kerana Tok Keli itu mempunyai kuasa yang besar dalam pemerintahan mukim.  Hanya sesudah Imam Teh  bin Tok Til menjadi Penghulu Sega,  beliau melantik sepupu beliau bernama Mohd Taibi bin Tok Keli  menjawat jawatan Ketua Kampung Sega.

Akan susunan ketua kampung sega itu boleh dilihat seperti berikut:
 :
1. Mohd Taibi Bin Tok Keli – dikenali sebagai Tok Ubi.
2. Abu Bakar Bin Jinal
3. Narawi Bin Mohamad
4. Majid Bin Ibrahim – 1942 - 1945
5. En Abu Samah Bin Sumpak – 1945 - 1970
6. En Abd Jalil Bin Mat Yunus – 1970 - 1988
7. En Ahmad Bin Osman – 1988 - 1998
8. En Ramly Bin Husain – 1998 - 2001
9. Tn Hj Abdul Rauf Bin Mohamed Rawi – 2001 seterusnya


Dahulunya Kg Ulu Renggol dan Kg Sega Lama ditadbir oleh satu  Ketua Kampung.  Namun  sehingga Pilihanraya tahun 1998, pentadbiran kampung itu  dipecahkan   menjadi 2 Ketua Kampung iaitu ketua kampung  Ulu Renggol dan ketua kampung Sega Lama.

Sejarah Membuka Kampung Tersan

  

Akan Tok Mat Amin bin Tok Malik  bin Tok Mat Saleh bin Ngah Endek bin Mohamad Ali Jaafar bin Baginda Demu (Raja Muhamad),    merasakan Kampung Pagar di tebing Sungai Lipis itu sudah sesak penduduknya.  Semua mereka itu ahli keluarga mereka.  Jika terus berada di Kampung Pagar, tidaklah banyak tempat mencari rezeki lagi kerana semua tanah paya  dan kawasan menugal jagung dan bertanam ubi sudah bertuan. 

 

Akan di kampung Salang,  bersebelahan kampung Pagar  yang didiami oleh keluarga sebelah nenda saudaranya Tun Ismaun   begitulah  juga begitu keadaannya.  Sejak keluarga mereka menetap di Lubuk Yong pada zaman Tok Moyang, Baginda Demu;  pembukaan kampung Pagar mampu bertahan untuk kediaman  dua tiga generasi sahaja.

 

Maka untuk memperoleh tanah bertani, Tok Mat Amin berfikir perlu mencari tanah di sebelah hulu Sungai Lipis.  Kawasan itu belum diteroka sesiapa pun lagi.   Akan pada masa itu, kawasan Penjom, Benta dan Budu sudah didiami oleh keluarga Tok Kaya Ibrahim  dan keluarga Tun Ibrahim.   Tidak moleklah membuka petempatan di kawasan itu.  Bila  tiba pada masa hadapan, bersesak-sesak pula anak cucu di situ.

 

Akhirnya Tok Mat Amin memutuskan untuk berhijrah  ke kawasan yang lebih hulu dari Benta. Beliau dan ahli keluarga terdekatnya  berdayung perahu dan berakit mudik ke hulu Sungai Lipis.   Akhirnya mereka sampai di hilir  Jeram yang bising bunyi airnya .  Di situ, mereka bercakap seperti orang bisu.  Kelihatan cuma gerak bibir dan tidak kedengaran suara disebabkan bisingnya tujahan air.   Tempat itu disebut mereka sebagai Jeram Bisu .  Pada kemudian hari, kawasan itu dipanggil sebagai Jeram Besu.

 

Oleh kerana kawasan itu berbukit-bukau pada pandangan dari sungai, tidak sesuai dibuat petempatan.  Tidak banyak kawasan paya dapat dibuka. Tok Mat Amin dan pengikutnya mudik  lagi ke hulu Sungai Lipis. Akhirnya mereka sampai ke kawasan sungai yang mendatar. Di kiri kanan sungai terdapat pokok buluh aur tumbuh merimbun.  Pada fikiran Tok Mat Amin, kawasan itu sesuai dibuat petempatan.

 

Melihat kawasan yang cantik itu, Tok Mat Amin mengajak rombongannya  meninjau  sekitaran kawasan itu.  Kawasan dari Sungai  menuju ke kawasan bukit sangat pamah, berair dan sesuai untuk bersawah padi.  Ketika sampai ke kaki bukit yang tumbuh banyaknya pokok Serdang dan Terap, didapati ada dua alur. (kemudian harinya dipanggil Sungai Buluh dan Sungai Ketiar ) mengairi kawasan pamah.   Ketika meneliti kawasan itu, didapati banyak binatang hutan turun ke kawasan tanah pamah untuk menjilat tanah   berjenud (masin) .  Ini  menandakan  kawasan tersebut  sangat subur.

 

Akhirnya Tok Mat Amin bersama-sama ahli keluarganya menebas-menebang segala belukar untuk dibuat kampung halaman.  Kawasan pamah berpaya dijadikan kawasan paya untuk bercucuk tanam padi dan kawasan kaki bukit dibuat tepat menugal jagung dan menanam segala jenis ubi.   Air dari  Sg.Buluh dan Sg Ketiar  sangat berguna kepada tanah sawah.  Lalu  Tok Mat Amin dan ahli keluarganya mencangkul  tanah membuat  terusan.  Kedua dua alur itu disatukan menjadi parit besar  seperti  terusan terus ke Sg. Lipis. Terusan itulah yg membekalkan air ke sawah padi mereka. Sempena terusan itulah wujudnya sebuah lagi kampung bernama Kampung Tersan

 

Terdapat kampung-kampung kecil dalam kawasan kampung Tersan ini.  Antaranya ialah Tanjung Aur, Lubuk Rom, Lubok Landas dan Kelebor . Bagi menjaga kepentingan dan kebajikan kampung Tok Mat Amin dilantik sebagai Penghulu sekaligus menjadi Imam dan Pawang.   Beliau menjalankan tugas dan tanggungjawab  urusan keagamaan  setempat dengan persetujuan Bendahara Pahang. 


Apabila beliau  meninggal jenazahnya di semadikan di atas bukit Kampung Tersang lalu dipanggil penduduk kampung sebagai  Makam Keramat Tok Mat Amin  Bukit Tersan.

Kisah dari Raub TENGGELAMNYE PAYE KELEBUR

 Pade wektu Tok Mat Amin bin Malek membuke Kampung Tersan, sebenonye sudah ade sebuoh due rugmah dibangunkan di siteh.   Mereke ineh ialah baki-baki pendudok yang selamat daripade malepetake tenggelamnya kampung  laman mereke di Paya Kelebur (dalam mukim Sege). 
Dalam kesoh yang sanget menyayet ati iteh, sebagaimane dicerite dari lisan ke lisan dalam masyarakat mukim Sege, tenggelamnye petempatan pendudok di Paya Kelebur  berpunce daripade  kedegilan sekumpulan anak mude yang lepe amat mendengo nasihat ograng-ograng tue.
Alkesoh akan sekumpulan anak mude ingin menyukekan hati mereke. Tak mudohlah weeh. Jamen iteh manenye ada panggung wayang, game dan liga perdana bula sipok.  Lalu  berpakat-pakatlah mereke  ontok menyandingkan binatang.  Make dalam pakatan iteh, sedey amat   mereke menangkak seikor kere  jantan dan seikor kuching betina.  Dipakaikan pakaian yang chantek-chantek kepade binatang iteh siak dengan sulekannye.  Lalu kemudian dibuat pelaminan ontok binatang iteh lalu disandingkan keduanye.

Sebagaimane adat persandingan pade wektu iteh dijalankan acara pencok silat dan tari-tarian. Lesih , linyau segale rumpet tempat bersilat dan menari iteh. Terloncat-loncatlah kere dan kucing sampai moyok bersabak ingin lari daripade majlis oleh taket mendengar bunyi gong dan ketawok dipalu.  Rengkak  pule si anak muda ketawe  melihat laku kuching dan kere yang dipaksa bersanding  di atas pelaminan.

Ketike hal organg mude berkomper iteh, nye dapat tau uleh ograng-ograng tue, lalu  datanglah mereke kepade kumpulan anak mude iteh. Ditingoknye kere dan kuching itu moyok.  Sempelek badan benatang iteh disimboh pewarne.  Disuruh dihentikan acare iteh.  Maru kampung laman jika dibior berterusan. Namun si anak mude teknok menghentikan acare iteh maloh semakin galok pesta   dijalankan.  Gegok-gempite ketawok dipukel.  Rengkak semuanya ketawe rie.

Piantan agok-agok nok tibe megarit, tetibe hari semakin chela’.  Awai tebal menyelubungi Paye Kelebur.  Angin bertiuk kencang dengan petir sabong menyabong.  Kerayan belake ograng yang berkomper iteh. Ograng-ograng tue di kampung iteh meminta acara iteh segera dihentikan.  Namun nasihat iteh tidak dipedulikan.  Anak-anak mude  tidak mempedulikan nasihat tersebut dan rioh rendah hilai tawe mereke melihat gelagat kere dan kuching yang dipakse bersanding iteh.

Lalu hujan pun tugrun dengan  selebat-lebatnye.  Paya Kelebur  tenggelam oleh air  yang  naik secara mendadok.  Arus  air yang kuat meranapkan semue rugmah.  Kampung yang  dahulunya makmur dan aman menjadi sekolam tasik yang dalam.

Catatan: Pade tahun 70-an, tasik yang dalam iteh masih boleh dilihat dari tepi jalan Raub- Kuala Lipis.  Namun selepas banjir besar pade  tahun 1971, sebahagian tasik iteh sudah terkambeh oleh pasir dan kawasan yang sudah terkambeh iteh kini  sudah ditanam dengan tanaman kelape sawek.

ati – hati
iteh - itu
sebagaimane  - sebagaimana
dicerite- dicerita
sebenornye – sebenarnya
due- dua
Sege – Sega
Menyayet - menyayat
Daripade – daripada
mude – muda
lepe - lalai
malapetake – malapetaka
kesoh – kisah
berpunce – berpunca
mendengo – mendengar
tue- tua
pencok – pencak
lesih – bersih habis
linyau – bersih
moyok – letih lesu
bula sipok – bola sepak
jaman – zaman
sempelek – berlumuran dengan sesuatu yang kotor
sedey – mudah
teknok – tak mahu
taket – takut
maloh – malah
galok –galak
tugrun - turun
gegok-gempite – gegak gempita
dipukel – dipukul
rengkak – riuh
rie – ria
piantan – pada waktu
megarih – maghrib
chela’ – suasana awan menebal, beransur gelap
awai – awan
paye –paya
kerayan – perasaan terkejut bimbang
berkomper – berkumpul
mendadok – mendadak
rugmah- rumah
terkambeh – terkambus

sawek - sawit

PERLOMBONGAN EMAS BAWAH TANAH ( Lode Mining) DI RAUB


Raub merupakan tasik emas Malaya.   Kerana itu, kawasan ini dikenali dengan gelaran Pahang Gold Belt  berkeluasan 14,000 batu persegi. 

Raub Australian Gold Mine Company Limited (RAGM) telah membeli 20 batu persegi kawasan lombong

Kawasan ini meliputi kawasan Raub Hole,  Western Lode Mine , Stope Mine  dan di utara Bandar Raub terdapat Eastern Lode Mine.

Kawasan dilombong   melibatkan Raub Hole Mine terletak  berhampiran Western Lode dan Old Raub Mine  di selatan bandar Raub.  Kawasan ini didapati kekurangan emas.   Lombong ini ditutup pada 1894.  Sesudah itu, Bukit Hitam Mine di utara Raub  Hole Mine dibuka . Selain itu Anderson Mine dan Bukit Komen Mine turut dimajukan.  Lombong yang terletak diutara sekali iaitu Lombong Bukit Jelllis digali sedalam 350 kaki dan mampu mengeluarkan 12 penny / weigh pada setiap satu tan bijeh.

Pada tahun 1894, Lombong Bukit Melaka dibuka  dan kemudian diikuti  pembukaan Lombong Sungai Agas.  Kawasan lombong Sungai Agas ini mempunyai nilai emas bermutu tinggi.

RAGM melaksanakan kerja pelombongan dedah dan bawah tanah.   Kaedah perlombongan bawah tanah (lode Mining)  dikenali sebagai lombong shaf  lebih menjimatkan kos untuk  mengeluarkan emas bermutu tinggi dari perut bumi.  Dalam kaedah Shaf ini,  ahli geologi menganalisis sampel tanah  untuk mendapatkan kedudukan jaluran emas.  Sesudah itu sebatang rod berjejari besar akan ditumbuk ke dalam tanah.  Tanah di dalam rod dibawa keluar lalu wujud perigi lombong.  Sesudah itu winch, sehenis alat yang seakan-akan lift digunakan untuk menurun dan menaik pekerja, bijil, kayu penyanga dan peralatan perlombongan.

Pada kedalaman 100 kaki, pekerja akan mengerusi dinding untuk membina terowong. Laluan mendatar sebelar empat kaki  dan tinggi enam kaki dibuat.  Kayu balak ditopang ke dinding dan bumbung terowong bagi mengelakkan runtuhan.   Emas  yang terdapat dalam batu pejal dikeluarkan melalui letupan terhad .  Serpihan batu dimasukkan ke dalam kereta tolak (loko)dan dibawa ke permukaan bumi melalui  lift.  Serpihan batu itu dibawa ke kilang pengisar dan dikisab sebesar bola tenis
Serpihan batu yang tidak mengandungi emas akan diasingkan.  Serpihan batu yang mengandungi emas akan dicampur air lalu dikisan membentuk bubur tanah. Bubur tanah ini dialirkan ke dalam tangki besar dan dicampur dengan serbuk zink bagi mengasingkan batu dengan emas.
Serbuk emas dimasukkan ke dalam tangki pelebur .  Emas cari akan dimasukkan ke dalam acuan dan gas klorin dimasukkan untuk mendapatkan emas tulen.   Bar emas seberat 400 auns terbentuk dari acuan dan label loji emas dicop pada bar emas tersebut.


Pada waktu serangan  Jepun, RAGM membina terowong selebar 5 kaki dan 6 kaki lebar dan sepanjang 100 kaki  di Bukit Koman bagi mengelak daripada serangan Jepun.  Di sini, ditempatkan makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan pekerja  jika berlaku serangan udara oleh pihak Jepan.

Pada 10 Mei  1958, satu kemalangan di Lombong Derrick telah meragut 12 nyawa.  Kejadian ini berlaku semasa para pekerja menebuk terowong lama yang dipenuhi air.  Air dari terowong itu membanjiri  terowong baru dan menyebabkan pekerja yang bekerja di terowong baru mati lemas. Hal ini berlaku kerana pelan lombong bawah tanah telah dimusnahkan oleh tentera Jepun semasa menguasai kawasan perlombongan ini.  Ini mengakibatkan pelombong tidak  dapat memastikan terowong yang sudah dan belum ditebuk.  Usaha mengeluarkan air dari terowong memakan masa 8 minggu dan selepas 4 bulan , baru mayat mangsa dapat dibawa keluar.  Ini menyebabkan pekerja mulai bimbang meneruskan kerja di lombong shaf dan RAGM juga  turut ragu meneruskan usaha perlombongan  shaf tersebut.


Insiden ini   sangat menjejaskan aktiviti perlombongan RAGM di Raub.  Pada 1957, RAGM mempunyai 615 orang pekerja telah merosot kepada 267 orang. Faktor utama ialah ancaman keselamatan oleh gerila komunis  selepas pembunuhan Sir Hendry Gurney di Bukit Frazer.  Pekerja Cina yang  tinggal di Teras telah dipindahkan ke Ipoh.  Selain itu  kemerosotan harga emas dan berlaku pemogokan pekerja berterusan menyebabkan kos perlombongan merosot.Akhirnya pada 19 Disember 1961, RAGM menutup operasi perlombongan di Raub.