DI PENTAS SOFA PUTIH ITBM



Dengan izin Allah jua, saya   tampil di pentas Sofa Putih Gerai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) , Aras 3 PWTC sempena PBAKL pada jam 4.00 pm hingga 5.00 pm, 30 April 2015   bagi memberi penjelasan tentang penulisan novel SARJANA BANGSA.
Saya fikir-fikir elok sahaja di pentas itu saya menyentuh beberapa aspek yang perlu diketahui oleh pembaca berhubung penulisan novel SARJANA BANGSA itu. Antaranya ialah: 

i. Latar belakang penulisan
ii. Motif penulisan
iii. Kerja - kerja penyelidikan
iv. Kaedah pengarangan
v. Standard penulisan untuk bersayembara
vi. Apa sepatutnya diperoleh pembaca daripada karya ini.


Pembicaraan tentang latar belakang penulisan selalu menjadi perhatian.  Sesungguhnya untuk menghasilkan novel SARJANA BANGSA  yang saya muatkan pemikiran dan pelbagai sudut filsafat itu memang memerlukan waktu lama untuk pengumpulan bahan.  Namun semuanya dapat diusahakan kerana memang sudah menjadi cita-cita saya untuk menghasilkan novel yang sarat pemikiran. 

Sewaktu sesi pembicaraan, bukan sahaja peminat buku yang sudi mendengar celoteh spontan itu, malah kehadiran ramai anak-anak didikku dari Sekolah Menengah Agama Al- Falah Batu Talam  menambah semangatku untuk bercerita dari satu aspek ke satu aspek mengenai kerja menghasilkan novel SARJANA BANGSA  itu.

Melalui pembicaraan itu, dapat saling bertukar fikiran dan memberi semangat kepada saya untuk menukil karya-karya yang lebih bermutu. Segala teguran dan nasihat akan disemat, dingat sebagai budi yang tidak ternilai harganya.

Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu;
Bila terkenang mulut menyebut
Budi tuan yang baik diingat selalu.

Novel ' SARJANA BANGSA ' itu untuk bangsaku Melayu Islam

 

Novel ini memenangi tempat ke-2 (novel) Sayembara Penulisan ITBM, PENA, BH yang diumumkan 21 April 2015 lalu. Kalau pun tidak kerana bersayembara, memang pun saya ingin menghasilkan novel sedemikian dalam kerjaya saya sebagai penulis. Namun takdir Allah mengangkat pemikiran itu lebih awal ke persada pembaca dengan mentakdirkan karya ini memenangi sayembara itu.

Bagi memperindahkan pengolahan bahasanya , saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdr. Zulkifli Jamaasin selaku editor penerbitan yang bersungguh-sungguh menyemak karya ini dan terima kasih kepada ITBM yang menerbitkan karya ini.

Sinopsis
TAJUK NOVEL : Sarjana Bangsa
KARYA: HASANUDDIN MD ISA

Isyraf Eilmy mengemukakan hujah yang bernas ketika membawa Papa Lee memeluk Islam. Untuk memudahkan dia memberI kefahaman Islam kepada keluarga Papa Lee dan merapatkan ikatan kekeluargaan, Isyraf Eilmy bertunang dengan Norlaily Lee. Sebagai seorang Pensyarah di Fakulti Alam Melayu UKM, Isyraf Eilmy diberi tugasan oleh Prof. Dr. Sadiq untuk merangka dan membentang kertas kerja di konvensyen Kebudayaan Melayu Antarabangsa. Dalam tempoh membuat rumusan itu juga, keluarganya mahu dia melangsungkan perkahwinan dengan Norlaily Lee.

Percangahan pendapat terhadap isu-isu berkaitan politik menyebabkan Isyraf Eilmy dan ahli keluarganya selalu berdebat. Namun begitu, perdebatan itu berakhir tanpa menyebabkan perpecahan dalam keluarga. Sikap terbuka ahli keluarga dalam perbezaan pendapat disebabkan kecintaan meeka kepada ilmu pengetahuan dan senantiasa ingin mencari kebenaran.

Dalam beberapa sesi pertemuan dengan Dr. Sadiq, Isyraf Eilmy cuba menyakinkan pensyarah tersebut bahawa gagasan penyatuan kaum bertunjangkan tauhid lebih sesuai ditekankan dalam kebudayaan masyarakat berbanding penyatuan dan perkongsian kebudayaan. Bertolak daripda dasar tauhid ini, percambahan ilmu pengetahuan pasti menuju kebenaran. Dengan mengemukakan hujah-hujah terhadap pandangannya itu, Prof. Dr. Sadiq bersetuju pemikiran tersebut diangkat dalam bentuk kertas kerja.
Atas permintaan Papa Lee yang mahu menjalani rawatani rawatan di luar Negara, perkahwinan Isyraf Eilmy dengan Norlaily Lee dibuat secara bersederhana. Majlis dicadangkan dijalankan di kedua belah pihak menggunakan adat budaya yang tidak bercanggah dengan Islam.

Isyraf Eilmy membentang pemikiran yang hendak disampaikan dalam konvensyen dalam satu perjumpaan dengan ahli keluarganya. Bapanya memberi beberapa pandangan tentang sejarah peradaban Melayu yang mengukuhkan institusi kemasyarakatan. Ibunya pula menjelaskan sejarah penyebaran Islam yang cukup panjang di alam Melayu.

Dalam sesi pembentangan kertas kerja di Konvensyen Kebudayaan Melayu, Isyraf Eilmy menerima beberapa sanggahan daripada peserta konvensyen. Namun begitu, Isyraf Eilmy dengan bantuan Prof. Samsudin dan bapanya, Cikgu Hasan telah memberi penjelasan sebaiknya terhadap masalah yang ditimbulkan.

Papa Lee Kam Seng yang mengikuti siara langsung konvensyen tersebut melalui siaran TV berasa cukup bangga terhdap pemikiran yang dikemukakan oleh Isyraf Eilmy. Namun begitu, oleh keadaan kesihatannya yang tidak stabil, dia dimasukkan ke wad sakit jantung Kuala Lumpur.
.
Novel ' Sarjana Bangsa' mengemukakan tema kemasyarakatan. Masyarakat hanya dapat dibangunkan apabila setiap individu di dalam masyarakat itu memiliki rasa cinta yang mendalam terhadap ilmu dan menghayati ajaran agamanya (Islam).