RIWAYAT AWAL KAMPUNG KUALA ATOK





1.      Pendahuluan

          Saya menulis riwayat ini untuk menjadi ingat-ingatan kepada ahli keluarga saya yang menetap di dalam wilayah Kuala Atok dan juga kepada yang sudah berhijrah keluar dari kampong tercinta itu.  Riwayat Kampung Kuala Atok merupakan riwayat cakap dengar  yang saya peroleh semasa mendiami kampung tersebut 1961 hingga 1990.  Selain itu terdapat catatan daripada beberapa teromba (catatan salasilah) yang menjadi rujukan.

          Tanah sawah di tengah permatang ,
          Genggam padi lagi diikat;
          Saya mengucap selamat datang,
          Mengatur kata menyusun maufakat.

          Bulan puasa memetik kelapa,
          Ditadah air di dalam kendi;
          Jasa saya tidak seberapa,
          Hidup berjuang menabur budi.

          Akan pentingnya  mengetahui kedudukan kekerabatan ini bagi tujuan memupuk silaturahim yang kian renggang.   Tidak ramai yang ingin merapatkan kembali persaudaraan kerana tidak tahu akan asal usul sedangkan merapatkan silaturahim itu kerja mulia di sisi agama sebagaimana Sabda junjungan Nasi saw “ Ketika Rasulullah saw bertanya kepada pada sahabat tentang maukah aku beritahukan kepada kamu tentang orang yang akan menjadi penghuni Syurga? Baginda saw memberitahu, “ Seorang laki-laki yang mengunjungi saudaranya di penjuru kota dengan ikhlas karena Allah ” (HR. Ibnu Asakir, Abu Na’im dan Nasa’i).

          Dalam menulis riwayat awal kampong Kuala Atok ini,  saya merujuk pengkisahan  yang diceritakan  oleh
i.                bapa saya Al-Marhum Hj. Md Isa bin Omar bin Juan bin Imam Muhamad (Keramat Budu Terap)  sebelum kewafatannya pada 1981 yang lalu.  Dibaca juga dari jalur ibu Al-Marhum seperti berikut, Md Isa  anak Bing anak Nong anak  Imam Long    anak kepada Embong Saedah binti Tok Mat Amin bin Malek bin Tok Salleh bin Ngah Endek bin Mohd Ali Jaafar Sidek bin Raja Muhamad (Baginda Demu) .
ii.             Semasa peristiwa  berjaga masjid pada tahun-tahun 1980-an juga disebabkan ada kegiatan membakar masjid di negeri Pahang,  sempat juga saya mendengar akan hal  bermulanya kehidupan di Padi Setempat dan Bukit Setugal daripada  Imam Mohd Nor  binti  Hjj. Sara binti Jabok bin Hj. Sulaiman  bin Kulah binti Nica binti To Aya bin Tok De binti Itam Mas Pahang binti Tok Kaya Ibrahim  dan  Abdullah bin Monek bin Tok Kembar bin Tok Amit bin Tok Pamat bin Tok Ibrahim bin Tok Lela bin Tok Yop bin Embong Pian bin Muhamad Ali Jaafar  . 
iii.            Selain itu dapat juga saya menyemak cerita-cerita yang saya  peroleh itu dalam pertemuan saya dengan  Haji Abdul Rahman  @ Pakwe gedompong binti Wah  binti Ismail bin Hj. Mat Sidek binti Itam mas Pahang binti tok Kaya Ibrahim  sekitar tahun 1987 di rumah di Kg. Tersan, Raub.
iv.           Teromba susunan Penghulu Mat Dahan
v.            Teromba  susunan Wan Mat Nor anak Maimunah anak Imam Hj. Abdullah anak Sintam (Abdul Karim anak Imam Janai.
vi.           Teromba  Matapunggal, Palembang
vii.          Teromba Tok Perak, Sengkela.
viii.         Buku Sejarah BINGKISAN SEJARAH RAUB oleh Zaffuan Hj. Manap
iv.        Temubual dengan Haji Razali bin Hj. Abdullah (mantan Ketua Kampung Telok Ira, Temerloh).
          


2.     Perihal  Asal datangnya penduduk

          Lembahan Sungai Lipis  bermula daripada Kaki Gunung Lipis di sempadan negeri Perak sehingga ke Kuala Sungai Lipis yang muaranya di pertemuan muara Sungai Lips ke  Sungai Jelai.   Pada zaman pemerintahan Melaka  1400M – 1511M, kawasan ini masih  tiada penghuni.  Penghijrahan orang-orang dari Melaka ke Pahang secara beransur-ansur  telah menjadi penghuni kawasan-kawasan lembahan sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Lipis.  Jumlah  penduduk yang bertambah di lembangan Sungai Lipis ini ditandai kemudiannya dengan pertabalan Tun Ismaun  bin Tun Tuah  sebagai Orang  Kaya Lipis yang pertama   sekitar 1530M.  Pentadbiran Lembahan Lipis ini kemudiannya  diwarisi oleh waris   Tun Ismaun @ Semaun.  Sehingga  1863, apabila Wan Ahmad mengambil alih takhta negeri Pahang dan menyusun pentadbiran negeri, kedudukan Orang Kaya Lipis diletakkan pada  kedudukan Orang Besar Berlapan dan gelaran Orang Kaya  Dato’ Setia Wangsa  pertama diberi kepada Tok Kaya Sintol bin Tok Kaya Teh.  

3.     Penerokaan Lembahan Sungai Lipis
          Tidak dapat dipastikan setepatnya tarikh  bila lembahan sungai Lipis mulai didiami. Namun begitu dalam Sejarah Negeri Pahang,   Catatan paling awal penempatan penduduk di Lembahan Lipis ialah di Lubuk Lela, Benta  apabila Tun Ismaun @ Semaun  menjadikan tempat itu  pusat pentadbiran Orang Kaya Lipis.  Kemudian anggaran tahun 1530M, kawasan Lubuk Yong    Kuala Lipis telah dibuka pula oleh anak saudara Tun Ismaun bernama  Raja Muhamad (Baginda Demu) .  Kawasan ini menjadi penampan kepada kemasukan Siam terus ke Lubuk Lela.    Namun begitu, berlaku pertambahan penduduk yang pesat disebabkan usaha mencari hasil hutan dan emas dan kekurangan tanah untuk bertanam padi,   pusat pentadbiran Orang Kaya Lipis telah dipindah ke Terap Budu .  Ini dilakukan oleh Tun Ibrahim (bernikah dengan Tun Aulia, pangkat cicit dalam kekerabatan  Tun Ismaun sekitar 1580). 

          Dalam tempoh yang panjang, keluarga Baginda Demu di Lubuk Yong  dan Tun Ismaun di Terap Budu  bersemenda dan anak cucu mereka membuka petempatan di tebing Sungai Lipis.  Di dalam mukim Sega itu, terdapat kampung-kampung yang awal dibuka . Antaranya  ialah Kampung Tersan oleh Tok Mat Amin bin Malek bin Tok Salleh bin Ngah Endek bin Mohd Ali Jaafar Sidek bin Raja Muhamad (Baginda Demu) , kampung Jeram Besu oleh Awang Sungai,   kampung Sega hingga ke Sengkela dibuka oleh Tok Muhamad  bin Tok Aya bin Tok De Abdul Rahman  anak Itam Mas Pahang anak Tok Kaya Ibrahim (berkahwin dengan Tok Chik   Bungsu anak Muhamad Ali Jaafar Sidek anak Raja Muhamad (Baginda Demu).  Selain itu, terdapat  kampung Batu Talam telah dibuka oleh Tok De Abdul Rahman   sekitar tahun 1657M.   

i.                Padi Setempat
          Selepas Kampung Tersan, salah sebuah kampung yang dibuka di antara Mukim  Budu dan Mukim Sega Lama ini ialah Padi Setempat.  Lokasinya ialah di tepi  tebing Sunggai Lipis di hulu sedikit dari lubuk yang dalam dipanggil ‘ Lubuk Benggali ‘. (Pengarang tidak pasti kenapa dipanggil lubuk benggali).  Dari tebing Sungai  Lipis menganjur ke tanah permatang terdapat lembahan pamah yang sesuai dibuat tanah paya dan tapak rumah kediaman. 

          Akan Embong Saedah ( suaminya Tok Sebudin  bin Tok Kaya Busu)  anak Tok Mat Amin Bukit Tersan, beranak dia  empat orang anak iaitu Imam Long, Ngah Mahiyah, Itam Mas Pahang dan Tok Teh

          Orang pertama yang meneroka Padi Setempat ialah keluarga Imam Long.  Kesan-kesan tinggalan rumah anak cucu Imam Long  masih dapat dilihat pada tahun  -tahun 1960-an.  Terdapat beberapa rumah yang masih berada di sekitar kawasan tersebut. Antaranya dimiliki oleh Idris anak Doh anak Yong anak Khatib Ipeh anak Imam Long,  rumah Jemilah anak Seoma anak Khatib Hijau anak  Kumin   anak Mohd Amin anak Tok Malek, rumah  Lebai Hasan anak Timah anak Hj. Derapor anak Imam Long.

          Akan Imam Long (isterinya Siti Hawa) itu anak kepada Embong Saedah binti Tok Mohd Amin (Penghulu Sega Pertama)  mempunyai  4 orang anak iaitu
i.              Hj. Derapor,
ii.            Khatib Ipeh dan
iii.           Lebai Yat.
iv.          Dayang

HJ. DERAPOR (Bernikah dengan Tok Chik orang Pekan)
Akan Hj. Derapor itu mendapat anak bernama Yang, Awang, Timah, Wok, Zakaria,Pek, Hj. Bakar dan Minah.

Timah beranakkan  Lebai Hasan, Hjj. Biah, Susah, Hjjh Indun  dan Abdullah Hashim

Lebai Hasan  beranakkan  Ahmad Asnawi  (ketua Kampung Kuala Atok ke-5),   Umbiah dan Mohamad Taibi.
Hjj. Biah beranakkan Hj. Ismail, Hj. Saleh dan Hj. Ahmad
Susah bernikah dengan Teh  anak Wok Saadiah anak Safiah anak Tok Maimunah anak Tok  Masoud (Orang  Kaya Temerloh) beranakkan Hj.Ibrahim, Hj. Omar, Meriam, Harun, Hod, Abdul Manaf dan Idris.

Yang beranakkan Abdul Rahman dan Kumin.
Awang beranakkan Roqiah dan Darma. 
Roqiah beranakkan Ibrahim
Darma beranakkan  Abdul Latif  dan Mat Isa (Bogong)

Wok beranakkan Ismail , Abdul Karim, Cek, Ibrahim, Ajar dan Abdul Jalil
Zakaria  mendapat anak iaitu Muhammad, Esah dan Abdullah.
Pek beranakkan Halimah, Hj. Mat, Hj. Sani  dan Hj. Sidek
Hj. Bakar  mendapat anak iaitu  Mohd Noh, Ahmad dan Abdul Rahman


KHATIB IPEH

Khatib (Kerani) Ipeh adalah jurutulis segala dokumen Penghulu Tok Keli untuk dipersembah kepada Sultan Pahang.  Beliaulah yang turun ke istana membuat persembahan.  Khatib Ipeh (bernikah dengan Tod anak Endut  anak Ngah Mahiyah  anak Embong Saedah) pula mendapat anak Nong dan Siti Ada   

Nong mendapat anak  bernama Bing, Mat Shah, Abdullah, Daud, Kinah dan Doh. 
Bing (bernikah dengan Omar bin Juan) mendapat anak bernama Ishak, Abd. Wahab, Aminah, Khadijah (Doh), Meriam, Mohd Isa dan  Abd. Manan.
Mat Shah mendapat anak bernama Abdul Menan Timah, Jah, Bedah, Yusuf, Abdul Rahman dan Dandiah.
Abdullah mendapat anak bernama Silan,  Uyah, Tam Satah, Jab, Unah.
Daud mendapat anak bernama Halimah (bernikah dengan Silan bin Abdullah)
Kinah mendapat anak bernama Peah , Selamah, Hjjh Saadiah dan Yahya.
Doh  beranakkan  Ahmad, Tawa, Harun, Idris, Pipah, Ismail dan Abd. Razak.

Siti Ada anak Khatib Ipeh  mendapat anak  bernama Abdul Majid dan Yusuf.  Abdul Majid mendapat anak beranama Aminah, Khadijah, Husin, Bedah, Abdul Razak, Selamah, Zainab dan Zakaria.
Yusuf pula mendapat anak bernama Amirudin dan Nordin


LEBAI  YAT

Akan Bilal Yat ( bernikah dengan Teh Som anak Akub anak  Pamat anak Tok Aki Anak Tok De Abdul Rahman anak Itam Mas Pahang anak Tok Kaya Ibrahim ) mendapat anak bernama Bilal Ibrahim, Hanafi,  Zainab dan Siti Nah.

Bilal Ibrahim (Ketua kampung Kuala Atok yang kedua)   (bernikah dengan Me anak Bak anak Kamis anak Midah anak Tok Mir anak Tok Inah anak Tok Kaya Chandak).  mendapat anak bernama Abas, Abd. Kadir dan Esah
Abas mendapat anak bernama Kamaruzaman (Ketua Kampung Kuala Atok ke-6)

Hanafi mendapat anak bernama Hj. Sani, Hj. Mat, Hj. Sidek dan Halimah
Zainab mendapat anak bernama Maimunah, Muhammad dan Ghazali
Siti Nah mendapat anak bernama Mahmud, Mohamad, Dandiah dan Kamaruzaman.


DAYANG

Akan   Dayang  beranakkan Rotiqah  dan Dino
Rotiqah  beranakkan Kiah  dan Darma.
Dino pula beranakkan Hjjh Safiah, Hjj. Neripah, Hj. Mat Saman, Sulaiman  dan Taifah.

Di kawasan Padi Setempat,  penduduknya mengusahakan tanaman padi tahun untuk sumber makanan.   Selain mencari binatang-binatang hutan dan sungai sebagai lauk pauk, mereka juga  mengusahakan  tanaman jagung di kaki bukit  tanah paya mereka.

ii.       Bukit Setugal

          Oleh kerana belahan Sungai Lipis  sentiasa dibanjiri air setiap kali tibanya musim tengkujuh, maka kawasan Padi Setempat akan digenangi air.  Untuk itu perlu ada kawasan yang selamat untuk tempat tinggal sementara pada waktu banjir itu.  Selain itu, usaha menambah rezeki  tidaklah boleh bergantung kepada tanah paya semata-mata.  Maka  penduduk Padi Setempat  bergotong-royong menebang pokok besar dan menebas semak samun hendak dibuat cherang bagi tujuan bercucuk tanam.

          Memandangkan  kawasan kaki paya hingga ke permatang bukit  itu tidaklah terlalu luas, maka diusahakan kawasan itu secara beramai-ramai dengan menugal jagung.   Setiap keluaga diperuntukkan setahil benih jagung.  Dalam kerja berderau mengusahakan kebun jagung itu, terbitlah pakatan menamakan kawasan kebun mereka itu sebagai Bukit Setahil Tugal atau Bukit Setugal.

iii.                Pembukaan  Kuala Atok, Bukit Atok dan Merang

          Sekitar tahun  1800, penduduk di sekitaran Padi Setempat semakin ramai.  Maka dianggar-anggarkan kerja membuka kampung Kuala Atok itu di antara tahun 1805M  hingga 1815M . 
          Akan  kampung halaman di Padi Setempat  selalu ditenggelami air bah setiap tahun, beralihlah  Imam Long   dan anak-anaknya  Haji Derapor, Tok Khatib Ipeh Lebai Yat dan Dayang   serta anak cucu Imam Long   membuat kampung  di permatang bukit  bersebelahan kebun jagung mereka di Bukit Setahil Tugal (Setugal).  Maka kerja membuka kampung  memakan masa berbulan-bulan kerana kawasan  berbukit-bukit itu masih hutan dara  dan kawasan tanah paya di tepi anak sungai sangat selut dan sesuai bertanam padi.  Berhari-hari dan berbulan-bulan mereka  bekerja  untuk urusan itu.

          Maka pada suatu hari yang panas, sesudah bekerja membersihkan kawasan  untuk bertanam padi, Imam Long mengajak anak cucunya mandi-manda di sungai berdekatan.  Oleh air sungai yang jernih dan sejuk, bermain-main  mereka  di sungai  itu  dengan menyelam lama-lama.   Akan Imam Long mempunyai kebolehan menyelam lama di dalam air.  Diajak anak cucunya  bermain-main menyelam siapa yang lama.  Maka dalam permainan itu, tidaklah mampu anak cucunya   mengalahkan Imam Long  menahan nafas di dalam air.   Dilaung-laung oleh Derapor, Ipeh, Yat, Dayang dan anak-anak merka  supaya Imam Long segera timbul.  Didengar Imam Long  akan laungan itu  lalu  timbullah dia dipermukaan air.

          Oleh peristiwa itu, dinamakan sungai itu Sungai Atok merujuk kepada  kebolehan  Imam Long  menyelam lama di dalam sungai itu.  Maka bersandarkan kepada nama sungai  yang mengairi tanah paya di sekitarnya, dipanggil orang kemudian kawasan itu   sebagai KUALA ATOK  kerana  tempat mandi-manda  Imam Long itu sudah hampir benar dengan kuala  sungai itu.  Sungai itu bertemu dengan  Sungai Lepeh  di kawasan kampung tinggal mereka bernama Padi Setempat.
          Pada peringkat awalnya  Imam Long  dan anak buahnya bersolat Jumaat di masjid      kampung  datoknya, Imam Mat Amin di Kampung Tersan.  Sehingga kemudiannya sekitar tahun 1870-an  apabila penduduk  Kuala Atok telah bertambah dan sahlah pada hukum syarak mendirikan sembahyang Jumaat mengikut Mazhab Imam As-Syafi'e, baharulah dibina masjid lama di permatang Bukit Kuala Atok.  Masjid itu dibuat di atas tanah  yang diwaqafkan oleh Tok Wok binti Haji Por @ Derapor bin Imam Long 
            Di masjid itu, naiklah:
            i.          Khatib Ismail anak Tok Dino binti Tok Kembar bin Tok Hamid bin Tok Pamat bin Tok Ibrahim bin Tok Lil bin Tok Yop bin Panglima Embong Pian   sebagai pembaca khutbah Jumaat.  Amat hafaz  seluruh isi khutbah tanpa membaca teks khutbah yang dibekalkan oleh pejabat agama Islam di Istana Sultan Pahang.  
            ii.         Sementara itu, seorang imam dilantik ( tidak dapat dikesan namanya) dan kemudian harinya,  Imam Abdullah bin Sintam bin Imam Janal bin Wan Husin @ Tok Dahalek  menjadi Imam di kampung Kuala Atok.  Selain itu diangkat pula Imam Bulat @ Mat Akil anak Beh binti Tok Panglima Juan. Maka sesudah itu diangkat pula menjadi Imam itu ialah Md Isa bin Omar bin Panglima Juan  dan Jaafar bin Mat Yasin bin Tok Kumbar.  Sesudah itu diangkat menjadi imam itu ialah Imam Mohd Nor bin Lebai Ali dan Imam  Zainal bin Abdul Rahman bin Sintam @ Abdul Karim .   Kemudiannya diangkat sesudah itu Imam Mohamad Asnawi bin Lebai Hasan bin Mukim Tut  dan Imam Wan Hasan bin Wan Mat Zin bin Wan Lingga.
            iii.        Akan Mukim Tut anak Tok Teh binti Tok Sebudin diangkat menjadi tukang hebah berita.  Akan tugas ini digelar orang Tok Mukim.  Sesudah meninggal Mukim Tod, diangkat pula anak saudaranya bernama Ahmad bin Li anak Tok Teh binti Tok Sebudin menjawat jawatan Tok Mukim Masjid Kuala Atok.  Akan segala urusan anak buah yang ada di kampung itu,  Mukim Ahmad ini  menjadi rujukan  dan beliaulah tukang hebah segala aktiviti di kampung itu sebelum bersembahyang Jumaat.  Anak Ahmad ini bernama Yusof pada sekitar 1980-an diangkat menjadi Ketua Kampung Kuala Atok ke-5.

            Semakin hari, penduduk semakin bertambah apabila lebih ramai penghijrah dari Penjum dan Budu  mendiami Kuala Atok,  maka mahu tidak mahu perlu diteroka tanah hutan  yang lebih luas untuk kediaman.  Berlakulah pakatan untuk  mengagihkan kawasan  penempatan mengikut ahli kekeluargaan yang  rapat.


a.     Kampung Kuala Atok,  Bukit Atok dan Kampung Sekolah

          Oleh Imam Long bin Tok Sabudin, diajaknya anak-anaknya iaitu Hj. Derapor,  Khatib Ipeh, Yat dan Dayang membuka jaluran pematang  dari Bukit Setugal menuju ke air mudik.  Kerja meneroka hutan itu berhenti  di satu tempat disebut ‘ Kubang Sawa’ (simpang tiga kuala atok – dekat masjid baru)

          Ada pun tanah paya di seberang Sungai Atok itu cantik juga untuk bertanam padi  dan diminta oleh adik  beliau  bernama  Tok   Teh   binti Tok Sabudin  untuk diteroka dan dijadikan kampong halaman.  Diteroka oleh Tok Teh  dan anak-beranaknya iaitu Tok Timah, Tok Li dan Mukim Tut,   dijadikan kampong halaman lalu dipanggil kawasan itu ‘ Bukit Atok’.

          Setelah Kampung Bukit Atok itu didirikan, maka akan Tok Yat bin Imam Long ingin pula membuka kampong halaman di sebelah  kampong  Bukit Atok itu. Lalu diteroka pula kampong  bersesuaian dengan keperluan anak beranaknya   Setelah sekolah kebangsaan Kuala Atok didirikan pada tahun 1910, dikenali kawasan kampong itu sebagai  KAMPUNG SEKOLAH.

            Maka meluasnya pembukaan kawasan penempatan di Kuala Atok ini sampai ke pendengaran kaum kerabat di kampung Pagar.  Lalu Tok Kembar bernikah dengan  Siti Yang Bertih binti Tok Rok binti  Abul binti Tok Malek bin Tok Hamid bin  Imam Pamat bin Tok Ibrahim bin Tok Lil  bin Tok Yop bin Embong Pian bin Muhamad Ali Jaafar Sidek bin Baginda Demu berpindah ke Kuala Atok. Mereka menduduki sebelah bahagian darat Kuala Atok  bersebelahan dengan kampung bawah dekat masjid lama .  Di sini beliau mendapat anak iaitu  Dino, Monek, Yasin  dan Lebai Sidek

            Selain itu, keluarga Tok Sintam dari Budu turut datang menetap di Kuala Atok ini.  Sebahagian ahli keluarganya pergi ke Kampung Sejuk untuk membuka tanah paya.

Dino binti Tok Kembar
Akan Dino itu mendapat pula anak bernama Dijah, Khatib Ismail, Muhamad, Harun, Bakar dan Seliah.

Akan Muhamad anak Dino mendapat anak bernama Zakaria, Som, Abdullah dan Man.
            Akan Harun (bernikah dengan Saripah) mendapat anak bernama  Kamaruzaman, Bedah, Abdul Rahim, Zaitun, Puteh, Jenak, Leha dan Abdul Aziz.
            Akan Bakar anak Dino pula mendapat anak bernama   Abdul Jalil (bernikah dengan Rogayah binti Merah binti awang bin  Tok Cha (ulu Sungai) binti Bilal Muhamad (keramat Budu Terap),  Ghazali , Senah dan Mastura.

  Monek pula mendapat anak bernama Yusuf, Abdullah dan Pipah. Semuanya mendiriakan rumah di Bukit Atok.

Yasin pula mendapat anak bernama Wok, Koteh, Ajar, Timah, Ibrahim, Esah dan Jaafar.
Ibrahim anak Yasin mendapat anak iaitu Hamidah  dan Hjjh  Maimunah.
Jaafar pula mendapat anak bernama Badariah, Badri, Rahimi dan Nazri.

Lebai Sidek (bernikah dengan Doh anak Nong anak Khatib Ipeh) pula mendapat anak iaitu Ahmad, Tawa, Harun, Idris, Pipah, Ismail dan A. Razak.
Ahmad mendapat anak bernama Lokman Hakimi
Tawa mendapat anak iaitu Halimah, Musa
Harun mendapat anak bernama Sabarudin, Sabariah, Jamaludin
Idris mendapat anak... .
Ismail mendapat anak iaitu Salim, Norehan (Tersan) Mohd Sabri @ Awang, Abdul Rahman, Norizan, Hamid dan Norasiah

           
Dijah binti Tok Kembar
Akan Dijah anak Dino mendapat anak bernama Awa, Tin, Udah, Perau dan Kenek.
           
Khatib Ismail bin Tok Kembar
Akan Khatib Ismail pula mendapat anak bernama Asiah, Siti Fatimah dan Husin.
           
b.         Kampung Sejuk
            Ketika kampung Kuala Atok itu melebar dengan pesat sampai ke Pulai, kampung Sejuk turut dibuka.  Ramai pahlawan-pahlawan yang handal berkampung di situ.  Antaranya ialah  ahli keluarga Tok Sintam (Abdul Karim )  bin   Imam Janai bin WanHusin (Tok Dahalek)

c.     Kampung Merang
          Dalam perkembangan  seterusnya Kampung Kuala Atok ini,  didapati kawasan antara Pulau dan Sejuk itu terdapat kawasan belukar dan paya yang belum diteroka.  Akan Imam Abdullah bin Sintam, Ahmad bin Sintam, Teh bin Sintam,  Abdul Rahman bin Sintam, Mohamad bin Ismail bin Panglima Juan , Yusof anak Siti Ada binti Khatib Ipeh, Buyung dan  lain-lain meneroka kawasan tersebut. Semasa kerja-kerja membuka penempatan itu terlalu banyak binatang ‘ Merang ‘  terdapat di kawasan sungai.  Lalu sepakat mereka menamakan kawasan itu sebagai ‘ Kampong Merang.’  

c.      Kampung Paya Peranggan dan Kampung Olok Empang.

          Berlakunya perang  saudara di Selangor kira-kira pada tahun 1873 ramai  penduduk di mukim Sega  yang dipanggil berkhidmat menjadi panglima perang.  Antara mereka ialah Tok Juan bin Imam Muhamad Keramat Budu Terap, Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad , Tok Keli bin Mohd bin Tok Aya  bin Tok De Abdul Rahman  .  Tok Juan memimpin  Sayap Kiri, Abdul Rahman memimpin Sayap kanan  menuju ke Kuala Kubu dan Tok Keli bersama-sama Hj. Mohd Nor menuju ke Ulu Kelang.

          Setelah tamat perang  sekitar 1884 dan kalahlah pihak Raja Mahadi, maka baginda Sultan Ahmad  menangguhkan pengunduran pulang pasukan Pahang di Kuala Kubu.  Ini bertujuan supaya dapat dikutip cukai bagi membayar belanja perang  dan menjaga keamanan .  Mana-mana penduduk  yang gagal membayar cukai dijadikan hamba kerahan   kepada panglima perang untuk  bekerja di Pahang.

          Dalam hal ini, Tok Juan bin Imam Muhamad  yang menjadi Ketua Sayap Kiri pasukan Pahang dianugerah  40 orang hamba.  Hamba-hamba ini dikerah membuka kampong  yang kemudiannya dikenali sebagai PAYA PERANGGAN.
  
          Akan hal Tok Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad;  dia juga seperti  bapanya membawa pulang hamba dan membuka pula kampong di kawasan tanah berselut di hulu (Kg. Sekolah) . Dibuatnya empang kecil untuk tujuan mengairi kawasan paya dan di hilir empang itu dibangunkan kampong halamannya.     Dengan kerjasama hamba kerahan dan penduduk kampong Kuala  Atok, dibina saliran parit dari olok empang menuju ke  Bukit Atok.  Satu lagi saliran ialah dari Gambut menuju paya peranggan.  Setelah selesai  kerja-kerja membina kampong itu, Tok Juan dan Tok Abdul Rahman membebaskan hamba kerahan itu.  Pulanglah mereka semula ke Kuala Kubu dan ada juga hamba kerahan perempuan  yang diambil oleh penduduk Kuala  Atok sebagai isteri.

Akan  Tok Juan ini berdiam dia di Paya Peranggan.  Berkembang biak keturunannya seperti berikut:
Juan berzuriatkan  Jebah, Ismail, Beh, Sidek, Ahmad, Salleh, Omar dan Abdul Rahman.

Jebah berzuriatkan  Hj.  Man (Gambut) dan Esah
Hj. Man (Zabedah –isteri pertama)  berzuriatkan Abdul Mubin, Syukur.  Bernikah pula dengan Meriah binti Idrus bin Panglima Mat Akil (Akal) bin Imam Muhamad (Terap Budu)  berzuriatkan Daud dan Hablah.
Ismail berzuriatkan  We Pah (emak Hj. Karim  sekolah), Bakar, Muhammad  (ayah Yusof di kampung. Merang)   
  
Beh berzuriatkan  Imam Akil  @ Imam Bulat( bernikah dengan Hjj. Sepiah anak Siti Dinar binti Abu Seman), Mengsusah dan Rahmah

Sidek berzuriatkan Hjj. Sepiah, Neripah (nikah dengan Hj. Abd. Wahab), Hj. Mat Saman, Taipah dan Sulaiman.

Ahmad berzuriatkan  Saharifah  , Zaharah (bernikah dengan Hj. Nor- gambut) , Minah (bernikah dengan Yusof masuk felda  ) dan Kiah

Salleh (dibawa Sultan Sulaiman ke Pekan dijadikan panglima di istana- putus hubungan)

Omar berzuriatkan  Hj. Ishak, Khadijah (Ngah Doh), Hj. Abd. Wahab (nikah dengan Neripah binti Sidek) , Meriam (bernikah dengan Lebai Merah bin Awang – Ulu Sungai), Hj. Md Isa  (bernikah dengan Ramlah binti Mat Akhir ) dan Hj. Abd. Manan.

Abdul Rahman (bernikah dengan Ubi binti Mat Saman) berzuriatkan Zainab dan Osman



Melantik Ketua Kampung

          Sehingga tahun 1888,  sealam-alam Kuala Atok itu menjadi sangat  luas.  Apabila Tok keli memegang jawatan Pembesar Berlapan di Mukim Sega, maka dikeluarkan arahan melantik ketua kampong Kuala Atok bagi memudahkan urusan berkerajaan di Pahang.

          Maka akan penduduk Kuala Atok    memandang hal ini juga penting.   Untuk melantik seorang ketua  perlu banyak perkara yang dipertimbangkan.  Terlebih lagi sang ketua ini perlu sangat-sangat dipercayai oleh Penghulu Mukim Sega yang menjadi  Penghulu  Raja Pahang.

          Maka pada waktu itu tidaklah ada tokoh yang rapat dengan  Tok Keli dari segi kekeluargaan  melainkan  anak sepupu Tok Keli yang bernama  Tok Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad (Keramat Budu Terap) .  Dalam jalur keturunan lain dapat dibaca sebagai Abdul Rahman binti   Mastera binti Uji  bin Ngah Janggut bin Tok Aya  bin Tok De binti Itam Mas Pahang bin  Tok Kaya Ibrahim (Budu ).

          Setelah Tok Abdul Rahman ini meninggal dunia sekitar tahun 1920-an, maka sepakat pula penduduk Kuala Atok mengangkat tokoh kedua  menjadi  ketua kampong   iaitu Bilal Ibrahim bin Yat  bin  Imam Long bin Sabudin bin Tok Kaya Busu bin Tok Kaya Chandak binti Itam Mas Pahang bin Tok Kaya Ibrahim (Budu).     Dapat dibaca juga jalur keturunannya seperti berikut. Bilal Ibrahim bin Yat binti   Imam Long binti Embong Saedah bin Tok Mohd Amin (Keramat Bukit Tersan) bin Abdul Malik Tok Malek     bin  Tok Mat Saleh bin  Ngah Endek bin  Mohd Ali Jaafar Sidek. Mohd Ali Jaafar Sidek bin  Raja Muhamad baginda Demu  binti  Seri  .

          Sesudah Bilal Ibrahim meninggal dunia, berlama-lama juga Kampung Kuala Atok tiada berketua.  Sehingga sesudah  merdeka (1964) diangkat Mahmud bin Ubar bin Umar bin Teh  Din bin Tok Mat Amin Bukit Tersan menjadi ketua kampung.  Semasa zaman pentadbirannya, Tanah Pinggir Sejuk dan Tanah Pinggir Ulu Temalir dibuka.  Tanah seluas lima ke enam ekar itu diagih kepada penduduk Kuala Atok  untuk tanaman getah. Pada masa ini juga (1963) jambatan besi dibina merentasi Sungai Lipis dan pada (1967) sebuah masjid  batu dibina di sisi tanah perkuburan Kuala Atok.

          Sesudah Mahmud bin Ubar berhenti menjadi ketua kampung, agak lama juga Kampung Kuala Atok tiada berketua.  Maka kira-kira tahun 1970, diangkat  Abdul Manan bin Umar bin Juan bin Bilal Muhamad  (anak Saudara Hj. Abdul Rahman – ketua kampung pertama) menjadi ketua  kampung Kuala Atok ke-4.   Pada zaktu pentadbirannya, tanah berkelompok kampung Sejuk dibuka dan diagih kepada penduduk Kuala Atok.  Pada waktu ini juga api letrik dan air paip dibawa masuk dan jalan berturap tar dibina.
          Sesudah Abdul Manan bin Umar melepaskan jawatan  ketua kampung, agak lama juga  Kampung Kuala Atok tiada berketua.  Jawatan itu kemudiannya disandang oleh Yusuf bin Mat sebagai ketua kampung Kuala Atok ke-5 pada 1981. Beliau cicict kepada Tok Teh.  Boleh dibaca jalur keturunannya seperti berikut.  Yusuf  (beristerikan Halimah binti Bakar) bin  Mat anak Tok Li anak Tok Teh anak Tok Sebudin anak  Tok Kaya Busu anak Tok Kaya Chandak.

          Sesudah Yusuf bin Mat ,  pada tahun  1993 . Ahmad Asnawi   bin Lebai Hasan anak Timah anak Hj. Derapor anak Imam Long diangkat menjadi ketua kampung ke-6.  Akan jalur keturunan Ahmad Asnawi sebelah maknya boleh dibawa seperti berikut. Ahmad Asnawi anak Dayang anak Siti Nah anak Tok Tahir anak Baanum (bernikah dengan Imam Pamat ) .  Abang Iparnya tirinya Mahmud bin Ubar adalah ketua kampung Kuala Atok  sebelum itu  dan Tok Empat keria, abang Ipar tirinya menjadi Tok Empat Kampung Tersan)

          Kamarudin bin Abas bin Bilal Ibrahim (Ketua kampung Kuala Atok ke-2) bin Lebai Yat bin Imam Long   diangkat menjadi ketua kampung  pada 1996  dan    meletak jawatan tahun  2010.  
            Pada Julai 2016, Musafa Khairi bin Abdul Latif dilantik sebagai ketua kampung Kuala Atok  yang ke-8.  Beliau ialah cicit kepada Tok Abdul Rahman bin Tok Juan (Ketua Kampung Kuala Atok yang pertama - dibaca jalur itu seperti berikut:  Mustafa Khairi anak Juairiah anak Ramlah anak Zainab binti Abdul Rahman bin Juan.  ATAU   Mustafa Khairi  anak Juairiah binti Md Isa bin Omar bin Tok Juan  ).

          Disudahi riwayat ini dengan dua rangkap pantun yang indah.

          Batu Pahat Pantai Kundur,
          Nampak berbalam tanah seberang;
          Hamba yang ralat mohon berundur,
          Moga tidak menyusahkan orang.

          Asal santan darinya santan,
          Darinya santan dijadikan minyak;
          Jika salah laku perbuatan,
          Mohon maaf berbanyak-banyak.

Sekian
Dicatat oleh HASANUDDIN MD ISA   2016